Browsed by
Month: November 2008

Kuncinya ada pada ibu kamu

Kuncinya ada pada ibu kamu

“Tak payahlah nak belajar ilmu tinggi-tinggi kalau kunci ilmunya korang takde” Kata-kata rakanku itu membuatkan aku tertanya-tanya, apakah kunci ilmu tu? Seolah-olah tanpa kuncinya ilmu yang kita belajar tak jadi apa.

“Apa kunci ilmu tu Kamal?” (bukan nama sebenar) tanyaku kepadanya.

“Itulah ko, nak belajar ilmu hebat-hebat tapi kunci ilmu tu ko takde, tak kemana pun. Kunci ilmu tu ada dekat mak engkau dan itulah juga kunci segala kebahagiaan dan keselamatan bagi engkau” kata rakanku itu.

Dekat mak aku? Kalau betullah kunci tu penting kenapa mak tak bagi dekat aku? Dan apa benda kunci yang istimewa yang ada dekat mak aku tu? Kalau aku minta dekat mak aku pun dia tahu ke pasal kunci ini, hishh. Bertubi-tubi soalan menerjah di kotak fikiranku.

“Eh Mal, camne caranya? Macamana nak dapatkannya?” tanyaku lagi padanya.

“Engkau carilah sendiri”

Jawapan yang macam nilah yang aku malas nak dengar ni. Satu kerja pula aku nak mencarinya. Kalau aku tanya mak aku tahu ke dia? Atau ada maksud tersirat dari kata-kata si Kamal tu.

Disebabkan malas nak menyemakkan otak dan aku pun tiada pula bertanya perkara ni kepada emak, jadinya ianya berlalu begitu sahaja sehingga suatu hari aku terbaca suatu kisah di dalam sebuah majalah. Kisah seorang anak yang hendak keluar menuntut ilmu, aku tak ingat lokasi kisah ni terjadi dimana, tapi seingat aku di negara timur tengah. Ceritanya lebih kurang begini.

Disuatu pagi, ”Mak, Lie nak pegi belajar ilmu di Baghdad boleh?” tanya Razali (bukan nama sebenar) kepada ibunya.

”Jauh tu Lie, sape nak jaga mak ni… mak dah tak larat nak buat kerja.. engkau sorang je harapan mak” keluh ibu Razali.

”Nanti Lie minta tolong makcik Salmah jiran kita tu tengok-tengokkan emak masa Lie takde nanti. Tolonglah mak Lie nak sangat belajar dekat sana” rayu Razali pada ibunya.

”Lie tak kesian dekat mak ke, tak payahlah kamu belajar dekat sana tu Lie. Dah takde sape mak harapkan Lie, mak nak engkau saja jaga mak Lie. Kesiankan emak ni Lie” rayu ibu Razali, air mata ibunya sudah mula mengalir membasahi pipi.

“Ala emak ni, ramai kawan-kawan Lie yang belajar dekat sana, balik dah jadi ulama dan mencurahkan ilmu pada masyarakat. Emak tak nak ke Lie jadi ulama?” Razali cuba juga memujuk ibunya.

“Bukan tak mahu Lie, Lie tengoklah keadaan emak yang uzur ni, takkan Lie nak pergi juga” rayu ibunya lagi.

“Yelah mak, kalau emak tak bagi Lie nak buat macam mana” jawab Razali, dia sudah malas mahu mendengar alasan ibunya.

Sebenarnya Razali tetap dengan keputusannya untuk pergi ke baghdad menuntut ilmu. Tanpa mempedulikan rayuan ibunya, pada waktu malam ketika ibunya sedang nyenyak tidur Razali mengemaskan pakaiannya dan keluar ke Baghdad tanpa pengetahuan ibunya.

“Lie.. Lie.. tolong mak Lie. Ambilkan bekas air di dapur Lie. Eh si Lie ni mana pulak peginya ni. Lie ohh Lie.. ” dengan kederat yang ada, ibu Razali mengagahkan dirinya pergi ke bilik Razali.

”Eh mana Lie ni, takde dekat bilik pulak”

Ibunya terlihat suatu kertas di suatu sudut tempat tidurnya. Kandungan surat tersebut:

’Assalamualaikum mak, maafkan Lie mak, Lie pergi menuntut ilmu di Baghdad’

“Razaliiiiiii…. Sampai hati kamu lie tinggalkan mak!” terjelepuk emaknya diatas lantai.

Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba Razali ditahan sekumpulan perompak.

”Hah kamu! Serahkan segala wang yang ada” bentak perompak.

”Maafkan saya, saya tiada apa”

Panggg! Singgah penampar ke pipi Razali.

”Jangan cuba bohong kami, mari sini!” badan Razali diperiksa perompak, akhirnya perompak terjumpa duit yang disimpan dipoket Razali.

“hah ini apa? Kata tadi tiada! Banyak ini je yang ada?” bentak perompak itu dengan rasa tidak puas hati.

“saya orang susah tuan, itu saja yang ada. Tolonglah tuan jangan ambil duit saya.” rayu Razali pada perompak.

“Aku peduli apa ko susah ke senang. Heh geng, dia ni menyusahkan kita dahlah sikit je hasil. Potong tangan dan kaki dia!”

“Tolong tuan jangan, jangan buat saya macam ni!”

Tanpa menghiraukan rayuan Razali dan tanpa rasa belas kasihan kaki dan tangan razali dipotong oleh perompak.

“Eh ayah tengok tu, ada orang terbaring!”

“Ya Allah, kenapa jadi macam ni.”

Seorang petani bersama anaknya telah mengangkat razali kerumahnya. Razali telah dirawat oleh keluarga petani ini, hampir sebulan juga razali tinggal disini.

“Terima kasih pakcik kerana menolong dan menjaga saya.” ucap Razali pada petani.

“Sama-sama, sudah tanggungjawab pakcik. Nasib kamu kurang baik bertembung dengan perompak kejam tu. Ada juga dikalangan penduduk kampung ni yang menjadi mangsa. Syukurlah kamu tidak dibunuhnya. Kamu tinggal dimana?”

“Saya tinggal dikampung hulu mungkin ini balasan Allah terhadap saya pakcik.” Kolam mata Razali mula bergenangan.

“Kenapa kamu kata begitu?”

“Tujuan saya keluar dari kampung untuk belajar di baghdad, tapi ibu saya tidak benarkan. Tapi saya tetap berdegil pergi tanpa pengetahuan ibu saya. Entah apalah nasib ibu saya setelah saya tinggalkan.” air mata Razali mula mengalir.

“Mungkin ini balasan tuhan terhadap saya pakcik. Tolong saya pakcik, bawa saya pulang ke kampung saya. Saya hendak minta maaf padanya.”

“Kalau macam tu, pakcik dan anak pakcik akan tolong kamu bawa kamu pulang.”

Suasana hening diwaktu petang di kampung hulu.

“Limah, macamana agaknya keadaan anak saya ya?” tanya emak Razali pada Limah jirannya. Semenjak razali tiada, Limah jandalah yang selalu menjenguk ibu razali.

“Doakan dia selamat jelah, itu yang termampu.”

Tiba-tiba terdengar suara diluar rumah.

“Assalamualaikummm…”

“Waalaikumussalammm..” serentak makcik Limah dan ibu Razali menjawab.

“Mari kak saya bawa kakak lihat siapa diluar.” Makcik limah memimpin ibu Razali keluar beranda.

“Saudara ni cari siapa?” Tanya ibu Razali kepada seorang lelaki yang berada di tangga beranda.

“Ini rumah Fatimah Abu ke?”

“Iyer, sayalah Fatimah Abu. Kenapa?” jawab ibu Razali.

Petani tadi terus mengangkat Razali dibantu anaknya dan terus dibawa kedepan ibunya.

“Emak, ni Lie emak. Maafkan Lie mak.”

“Ya Allah.. Lie kenapa jadi macam ni?” fatimah memeluk anaknya erat.

Air mata petani dan anaknya mula mengalir menyaksikan peristiwa syahdu itu.

“Macamana jadi macam ni nak, hampir-hampir emak tak kenal kamu Lie.”

“Maafkan Lie mak, kalau Lie dengar cakap mak mungkin tak jadi macam ni. Lie dirompak, tangan dan kaki Lie perompak tu potong mak. Mungkin ni balasan Lie sebab tinggalkan mak.”

“Sudahlah Lie, mak maafkan kamu. Syukurlah kau tidak dibunuhnya.”

Begitulah kisah yang telah ku baca. Sebenarnya detail cerita ini tidaklah aku ingat sangat. Sedikit perubahan dan penambahan telah aku reka, tapi tidak lari dari cerita asal.

Tidak semena-mena aku teringatkan kata-kata kawanku kamal. Seolah-olah cerita ni ada kaitan dengan kata-katanya, dan didalam kotak fikiranku datang pula hadis rasulullah yang berbunyi:

“Redho Allah terletak diatas redho kedua ibu bapa mu”

Adakah kunci ilmu itu adalah RESTU? Emm.. rasanya itulah jawapannya. Iyer kalau sesuatu ilmu yang dipelajari jika tanpa restunya bukankah ianya tidak memberi erti apa-apa? Menuntutlah ilmu mempertahankan diri ke, ilmu perubatan ke, ilmu pelindung diri ke jika tidak dapat restunya tidak memberi erti apa-apa (terkecuali pada ilmu fardhu ain) Misalnya begini, jika kita ada sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan dan pekerjaan itu tidak mendapat redho ibu kita maka Allah tidak redho akan pekerjaan itu dan bila Allah tidak redho urusan kerja akan menjadi payah, bukankah Allah yang menguruskan segala urusan hidup kita, bagaimana mungkin Allah hendak memudahkan urusan kita padahal dalam masa yang sama kita telah merosakkan hubungan pertalian redho itu! Nilai RESTU bagi seorang ibu ibarat sebagai kunci kebahagiaan hidup bagi seseorang. Iyer, itulah kuncinya, kunci ‘kebahagiaan kehidupan’. wallahuaklam