Browsed by
Month: September 2009

Bos nak dengar cakap siapa?

Bos nak dengar cakap siapa?

Train komuter sudah menjadi pilihan utama masyarakat semenjak ianya mula memberikan perkhidmatan. Aku menjadi salah seorang penggunanya walaupun tidak menjadikannya pengangkutan harian ke tempat kerja, bukannya apa sebab tiada stesen komuter yang berhampiran dengan tempat kerja dan tempat tinggalku, kalau tidak mungkin ianya menjadi pilihanku untuk ketempat kerja. Tetapi hari ini aku rasanya malas nak memandu, nak bersantai-santai sikit dan ada hajat. Ya, aku nak bawa sahabat ku berubat di pusat perubatan Islam di bangi. Aku menaiki komuter dari stesen Seremban. Setibanya di stesen labu, naiklah seorang lelaki cina yang umurnya agak-agakku 40-an. Kebetulan disebelahku ada tempat duduk kosong, dan lelaki cina itu pun duduk disebelahku sambil memandangku dengan senyuman. Aku membalas senyumannya itu, dan bermulalah dialog aku dan dia..

“Mana pegi kawan?,” kata lelaki cina ni.. emm ramah pulak.

“Pegi bangi”. Kataku ringkas. “Bikin kerja ka?”. Tanyanya lagi.

Eh banyak pula tanya dia ni, takpelah layan jer. “Takdalah kawan, saya bawa kawan mahu pegi berubat dekat bangi”. Alahai, kenapalah aku tercerita pasal ni pulak, kalau cakap pergi rumah kawan pun bukannya dia tahu.

“Wooo.. apa sakit kawan?”. Tanya lelaki cina tu. Aduss, kan dah jadi panjang ceritanya. Kenapalah aku tak fikir dulu sebelum bagi jawapan tadi.

“Ala kawan, sakit-sakit biasa saja”. Jawabku, harapannya takdelah meleret-leret lagi pertanyaannya.

“Aiyaa.. sakit-sakit biasa hantar klinik sajalah kawan, apa pasal jauh-jauh mahu kasi hantar?” Aduhhh.. apalah nasib aku jumpa lelaki cina yang peramah hari ni. Apa aku nak jawab pula ni?

“Kawan saya punya sakit ni, doktor pun tak boleh ubat, itu pasallah saya mahu jumpa sorang ustaz dekat bangi mahu kasi ubat.” Jawabku.

“Woo.. itu macam ka, itu ustaz bagus ka.. boleh kasi baik orang ka?” Pulak dah, kesitu pula dia ni.

“Itu susah mahu cakaplah kawan, saya biasa juga pergi situ tapi kadang-kadang ada juga yang tak baik, kadang-kadang ada baik itu ustaz pun minta sama Tuhan. Tapi saya mahu cuba ini kawan saya berubat situ, manalah tahu boleh baik.” Kataku padanya.

“Alo kawan, saya mahu suggest bagus punya tempat. Wa selalu pegi itu tempat, ini tok sami sudah kasi baik orang sudah banyak, sapa-sapa mari datang mahu baik gerenti baik punya. Ini sami manyak bagut woo.. itu tempat sembahyang jalan pudu sana” Eh, dia ni nak melawa aku pegi berubat dekat sami dia plak.

“Takpelah kawan, terima kasih. Saya sudah janji ini kawan mahu bawa dekat bangi punya tempat” Harapannya, jawapanku itu dapat memuaskan hati dia.

“Halo kawan, ini sami gerenti boleh kasi baik lu punya kawan. Ini sami hari-hari semayang woo… dia sama Tuhan sudah macam kawan. Apa saja dia minta sama tuhan, mesti tuhan bagi punya. Itu pasallah dia boleh ubat orang kasi baik.” Ewah ewah.. cam sindir plak bunyinya. Emm.. nampak cam nak perleceh je ni.

Aku cuba memikirkan sesuatu untuk pekenakan dia ni, tak boleh jadi ni. Nampak macam nak perlecehkan rawatan Islam pulak.

“Takpelah kawan terima kasihlah ya… eh kawan, lu kerja mana? Ini hari tara kerja ka?”. Aku cuba mengalih topik perbualan.

“Wa kerja dekat kajang, itu Billion shopping kompleks… wa kuli juga, store keeper” Jawabnya.

“Sudah lama kerja ka?” Tanyaku lagi. “Bolehlah kawan, sudah 10 tahun”.

“Eh itu billion tokey apa bangsa?” Tanyaku padanya. “Woo.. itu company chinesse, itu tokey pun ok, ada jaga staf punya. Kadang-kadang bila cakap-cakap sama staf macam kawan juga, selalu belanja minum.” Jack bos dia nampaknya dia ni.

“Wooo.. kira lu punya tokey best punya tokeylah. Teruk ka kerja sana?”

“Biasalah kawan kilija, kadang-kadang ada sibuk kadang-kadang ada relaks.” jawab cina tu.

“Eh kawan mahu tanya sikit boleh ka?” aku cuba untuk menanyakan soalan. “Apahal?” jawabnya ringkas.

“Lu kata lu punya bos ok kan? Saya mahu tanya, kalau ada satu hari lu ada malas mahu bikin kerja, lepas tu lu cakap sama lu punya bos hari ni wa malas mahu kerja wa mahu relaks-relaks, lu punya bos bagi ka kawan?” tanyaku kepadanya.

“Aiyaa mana boleh itu macam kawan, gerenti bos wa tarak bagi punya. Nanti dia marah sama gua” jawab cina tu.

“Laa lu kata lu punya bos ok macam kawan, tak kan dia tarak bagi?” perangkapku hampir mengena nampaknya.

“Memanglah dia ok, tapi dia bos. Mana boleh bos dengar cakap wa mestilah wa dengar cakap bos. Kita kuli dia maaa…” Yesss.. inilah jawapan yang aku nanti-nantikan.

“Kalau itu macam, kita mesti dengar cakap boslah. Sebab dia bos kita kan?” kataku lagi. “Iyalah kita kuli ma. Dia bos, mesti dengar cakap dia lah bukan dengar cakap kita.” jawab cina tu.

“Kalau itu bos dengar cakap kita amacam?” tanyaku lagi.

“Kalau bos dengar cakap kita, baik dia tak payah jadi bos. Itu macam boleh bangkrup itu company woo…” jawab cina tu bersungguh.

“Samalah macam saya cerita tadi kawan, tadi saya ada cerita pasal ustaz yang boleh ubat orang dekat bangi kan? Kadang-kadang dia ubat ada baik kadang-kadang tak baik, sebab dia minta sama Tuhan. Itu tuhan dia punya bos, dia minta sama tuhan, kalau tuhan nak kasi baik, baiklah. Kalau tak itu ustaz pun tak boleh buat apa-apa. Sebab itu ustaz bukan bos, itu Tuhan juga bos. Jadi kena ikut cakap boslah, kalau bos kata ok kira oklah, kalau tak itu ustaz pun tak boleh bikin apa-apa. Ada betul ka kawan?” tanyaku pada cina tu yang dah mula terpinga-pinga sambil menganggukkan kepala. 🙂

**Cerita ini adalah rekaan semata2, tiada kaitan sama ada yang hidup atau yang mati. Cerita ini tercetus apabila ada teman yang cuba mempertikaikan kenapa doanya tidak dimakbulkan oleh tuhan setelah diminta beberapa kali… wallahuaklam.**