Browsed by
Month: August 2013

Terowong tikus tentera vietkong

Terowong tikus tentera vietkong

Pengalaman mengunjungi bumi Saigon adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Saigon atau Vietnam adalah salah sebuah bekas negara komunis, dan juga pernah dijajah oleh Perancis selama dua dekad. Keadaan iklim dan muka bumi tidak jauh bezanya dengan iklim dan keadaan muka bumi di Malaysia. Ketika didalam pesawat minda saya mula terbayangkan filem-filem yang pernah ditonton berkaitan peperangan di Vietnam. Bagaimana agaknya keadaan bumi Saigon yang sebenar?

Tan Son Nhat International Airport
Tan Son Nhat International Airport

Setibanya di Tan Son Nhat International Airport yang mengambil masa satu jam setengah penerbangan, ternyata sangkaan saya mula meleset kerana melihat keadaan airport yang besar dan moden, berbeza dengan apa yang tergambar didalam minda bahawa Vietnam adalah negara yang mundur dan terkebelakang.

Tidak dinafikan saya sendiri mula mencungkil sejarah negara Vietnam selepas pulang dari lawatan disana. Maklumat awal hanyalah lebih kepada kekalahan Amerika dalam peperangan dengan tentera vietkong, tetapi bila menyelusuri sejarahnya banyak lagi perkara yang masih tidak saya ketahui. Perlahan-lahan saya mula menyelongkar sejarah vietnam dari internet, tidak pasti mana sumber yang benar-benar sahih. Ada diantaranya yang menyalahkan tentera vietkong dan ada juga yang menyalahkan tentera Amerika.

Sedikit mengenai sejarah negara Vietnam dipetik dari sumber wikipedia, menurut legendanya, sejarah Vietnam bermula sejak lebih 4,000 tahun.  Namun begitu, sumber-sumber boleh dipercayai yang ada menunjukkan bahawa sejarah Vietnam bermula sejak 2,700 tahun dahulu. Bagi kebanyakan zaman mulai 111 SM hingga abad ke-10, Vietnam diperintah secara langsung oleh dinasti China yang berturut-turut. Vietnam meraih kembali autonominya pada awal abad ke-10, diikuti kemerdekaan sepenuhnya pada tahun 938 M. Sepanjang kebanyakan sejarahnya, Vietnam masih menjadi negara ufti kepada jirannya yang lebih besar iaitu China, dan menolak cubaan berulang oleh China untuk menyatukan semula Vietnam sebagai sebahagian wilayah di bawah pemerintahan diraja secara langsung. Lebih-lebih lagi Vietnam mampu menangkis tiga cubaan serang oleh orang Mongol ketika Dinasti Yuan, apabila China diperintah Mongolia. Namun, raja pada masa itu, Trần Nhân Tông, kemudiannya mengaku dirinya dengan aman sebagai pengufti kepada pemerintah Yuan untuk mengelak konflik daripada berterusan. Zaman kedaulatan ini terhenti pada pertengahan hingga akhir abad ke-19, apabila negara dijajah oleh Perancis. Ketika Perang Dunia II, Empayar Jepun mengusir pihak Perancis untuk menduduki Vietnam, meskipun pada masa yang sama mengekalkan pentadbir Perancis ketika pendudukannya. Setelah berakhirnya perang, Perancis cuba menguasai semula Vietnam namun akhirnya gagal. Perjanjian Geneva membahagikan negara menjadi dua dengan janji pilihanraya demokratik untuk menyatukan semula negara.

Bagaimanapun, penyatuan semula secara aman tidak menjadi kenyataan, sebaliknya pembahagian ini membawa kepada Perang Vietnam yang bergantung kepada perspektif individu, merupakan sama ada perang saudara atau sebidang medan pertempuran dalam konflik ideologi sedunia yang berterusan ketika itu, iaitu Perang Dingin. Ketika itu, Vietnam Utara disokong oleh Republik Rakyat China dan Kesatuan Soviet, manakala Vietnam Selatan disokong Amerika Syarikat. setelah berjuta-juta nyawa rakyat Vietnam dan pengunduran pihak Amerika dari Vietnam pada bulan Mac 1973, perang berakhir dengan kejatuhan Saigon ke tangan Vietnam Utara pada April 1975. Kini Vietnam mula bangkit seiras dengan negara China. Sejak pertengahan 1980-an, Vietnam menikmati pertumbuhan ekonomi yang cukup besar dan sedikit pengurangan dalam penindasan politik.

Kesan daripada 'Herbicidal warfare' menyebabkan tanaman mati.
Kesan daripada ‘Herbicidal warfare’ menyebabkan tanaman mati.

Ketika melawat Muzium Perang antara yang dipaparkan adalah kesengsaraan rakyat Vietnam kesan dari peperangan. Saya cukup tersentuh melihat kesan dari ‘herbicide spraying’  yang dilakukan dari udara oleh tentera Amerika.  ‘Herbicide spraying’ atau ‘Herbicidal warfare’ adalah satu bentuk peperangan kimia di mana tujuannya adalah untuk memusnahkan ekosistem berasaskan tumbuhan sesuatu kawasan. Tujuannya adalah untuk mengganggu pengeluaran makanan pertanian dan memusnahkan tumbuh-tumbuhan yang menyediakan perlindungan atau penyembunyian kepada musuh. Peperangan kimia telah diharamkan oleh Konvensyen Pengubahsuaian Alam sejak tahun 1978, yang mengharamkan “mana-mana teknik untuk menukar komposisi atau struktur biota bumi”. Apabila melihat gambar-gambar yang dipaparkan kesan dari herbicidal warfare, saya kira ini adalah suatu perbuatan yang begitu zalim yang dilakukan oleh tentera Amerika.

Beginilah gambaran chu chi tunnel dari sudut sisi
Beginilah gambaran chu chi tunnel dari sudut sisi

Diantara lawatan yang menarik ketika disana ialah lawatan ke Chu Chi Tunnel (Terowong Chu Chi) atau dikenali dengan Tunnel Rats. Terowong Cu Chi terletak kira-kira 25km dari Bandaraya Ho Chi Minh. Terasa kagum dengan kegigihan tentera vietkong yang telah membina terowong kecil bawah tanah yang dikatakan memakan masa hampir 25 tahun, yang mana jarak keseluruhan terowong ini sepanjang 250km! Kalau mengikut ceritanya terowong ini bertingkat-tingkat yang menempatkan juga bilik rawatan, bilik senjata, bilik kelamin, juga berfungsi sebagai tempat komunikasi rahsia dan juga laluan rahsia untuk membekal ubat-ubatan, makanan, senjata dan tempat kediaman untuk Pejuang Gerila. Ketika peperangan berlangsung beribu-ribu orang Vietnam di Wilayah Chu Chi menetap di dalam Terowong ini sebagai satu cara berlindung dan menyelamatkan diri dari serangan musuh dan mereka hanya keluar pada waktu malam untuk mencari bekalan. Amat mengagumkan, terowong bawah tanah ini dijadikan pusat kehidupan masyarakat seolah sebuah perkampungan yang lengkap yang mana terdapat sekolah dan juga ruang awam untuk mereka berkumpul dan berhibur dengan lagu-lagu tradisional.

Saiz terowong hanya boleh dilalui memuatkan seorang yg bertubuh sederhana
Saiz terowong hanya boleh dilalui memuatkan seorang yg bertubuh sederhana

Kini terowong yang terpelihara hanya sepanjang 120km dan telah dijadikan sebagai sebuah Pusat Taman Peringatan Perang dan dibuka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman melalui terowong yang memuatkan hanya seorang tubuh manusia yang bersaiz kecil, kalau badan big size tu setakat di pintu masuk terowong sajalah, jangan cari pasal cuba masuk takut nanti tidak boleh keluar pula. Disepanjang terowong telah dipasang lampu berkuasa rendah bagi memudahkan pengunjung melaluinya. Terowong tersebut sebenarnya banyak laluan-laluan rahsia yang lain, pengunjung yang melaluinya hendaklah melalui lorong yang disediakan lampu sahaja sebagai panduan, lorong-lorong yang tidak berlampu tidak dilalui. Untuk memberi sedikit gambaran sebenar bolehlah menonton filem ‘Tunnel Rats’ di Youtube.

Usop, pemandu pelancong kami sedang menunjukkan salah satu contoh jerangkap samar
Usop, pemandu pelancong kami sedang menunjukkan salah satu contoh jerangkap samar

Ketika disana pengunjung berpeluang menggunakan senjata-senjata yang pernah digunakan ketika peperangan diantaranya seperti M16, AK47 dan GPMG. Cuma pengunjung perlu membeli peluru sebelum menggunakan senjata tersebut yang mana sesi menembak akan dilakukan dipadang sasar. Disana juga dipamerkan beberapa jenis jerangkap samar yang digunakan oleh tentera vietkong. Melihat sendiri keadaan jerangkap samar itu cukup mengerikan kerana terbayang bagaimana mangsa yang terkena perangkap tersebut. Jika anda ke bumi saigon, pastikan anda mengunjungi Chu Chi Tunnel sebagai melengkapkan syarat anda ke Vietnam.

Peluang merasai rifel AK47, boleh tahan tendangannya kuat juga.

Saya berpeluang berkunjung ke kawasan penduduk muslim di Vietnam dan berkesempatan untuk melawat Madrasah Al Nur yang berada di tengah bandar Ho Chi Minh. Di Ho Chi Minh cuma ada sekitar 300 keluarga muslim dan keseluruhan masyarakat Islam di Vietnam sekitar 70,000 orang. Purata penduduk di Vietnam adalah sekitar 90 juta penduduk, jika dilihat dari segi angka penduduk muslim disana terlalu kecil jumlahnya. Madrasah Al Nur ini berada didalam masjid bernama Thanh Buong Hoi Giao Jamiul Anwar, ianya adalah sebuah madrasah yang mengajar agama bagi anak-anak penduduk Islam disana yang mana pelajarnya sekitar 200 orang. Di madrasah inilah penduduk-penduduk Islam disini dan sekitarnya belajar agama. Di Vietnam, segala aktiviti keagamaan hanya dibenarkan dilakukan di masjid sahaja.

Penduduk Islam di Ho Chi Minh City mengamalkan mazhab yang sama di Malaysia iaitu mazhab Syafie. Di sini Islam banyak dipengaruhi oleh masyarakat Islam dari Pattani, Thailand dan ada yang datang dari Kelantan yang dahulunya merupakan masyarakat Cham. Sebagai kaum minoriti di bumi sendiri, sememangnya banyak perbezaan cara mengamalkan Islam itu sendiri dan terpaksa bersaing untuk survival komuniti yang kecil dalam kelompok majoriti agama lain. Di sini, laungan azan tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara. Jika anda ke Vietnam, eloklah juga ziarah saudara seagama kita disini untuk mengenali mereka dengan lebih dekat.

Pintu masuk ke terowong bawah tanah, hanya saiz tubuh badan bersaiz sederhana.
Pintu masuk ke terowong bawah tanah, hanya saiz tubuh badan bersaiz sederhana.
Selipar yang diperbuat dari kulit tayar kenderaan. Kalau mengikut ceritanya, selipar ini cara pakainya terbalik, ianya bertujuan utk mengelirukan musuh apabila terjumpa tapak kaki.
Selipar yang diperbuat dari kulit tayar kenderaan. Kalau mengikut ceritanya, selipar ini cara pakainya terbalik, ianya bertujuan utk mengelirukan musuh apabila terjumpa kesan tapak selipar.
Antara jenis-jenis jerangkap samar yang dipamerkan.
Antara jenis-jenis jerangkap samar yang dipamerkan.
Dihadapan muzium perang.
Dihadapan muzium perang.
Dihadapan madrasah An-Nur
Dihadapan madrasah An-Nur