Browsed by
Month: July 2015

Kita ni hamba Allah atau hamba Ramadhan?

Kita ni hamba Allah atau hamba Ramadhan?

Alhamdulillah syukur, Allah tolong kita untuk dapat melaksanakan ibadah puasa kali ini. Hari raya adalah tanda kegembiraan kita kerana berjaya melaksana ibadah puasa, itupun kerana pertolonganNya, Alhamdulillah.

Kita sedia maklum, bagi pengguna-pengguna smartphone macam kita ni, talian agak sibuk sehari dua sebelum raya dan raya pertama. Penuh whatsapp dengan ucapan raya, meriah juga kan. Sampai kita ni kenalah buat ayat skema sikit untuk meng copy paste kan mesej yang dah siap dikarang untuk membalas ucapan-ucapan raya yang datang berduyun-duyun. Allahurabbi, inilah dia peralihan zaman yang kita terpaksa tempuh. Suatu ketika dulu, jangan mimpilah abang-abang posmen nak dapat cuti awal beraya, selagi tak settle hantar kad-kad raya yang berkoyan-koyan tu selagi itulah abang-abang posmen kita tak boleh nak cuti. Tapi zaman tu dah berlalu, walaupun saya ni dulu bukanlah jenis rajin menghantar kad raya, tapi bila dah dapat kad raya kawan-kawan tu terpaksalah balas juga. Mana tidaknya, kalau dah penghujung ucapan raya tu ada pulak pantun. Pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas… dah tu tak reti-reti nak membalasnya ke? kenalah beli kad raya nak membalasnya. Allahuakbar, nostalgia betul kan.

Antara banyak-banyak mesej dalam whatsapp yang diterima, ada satu ucapan yang berunsur nasihat membuatkan saya merenung tentang bait-bait nasihatnya. Biasa dengar dah sebelum-sebelum ni, cuma kali ini saya cuba ambil serius.

“Jadilah Hamba kepada Allah Jangan Jadi hamba kepada Ramadhan…. Amalan Pasti Berterusan. Bukan terhenti Selepas Ramadhan.”

Lama saya renungkan. Saya mula akur dengan nasihat ini. Ketika ramadhan tiba, semangat untuk melaksanakan ibadah tu jangan cakaplah kan, lebih-lebih lagi bila malam pertama ramadhan. Melimpah-melimpah jemaah yang hadir untuk solat terawikh. Solat Subuh pula kalau di surau dan masjid tu lebih ramai dari hari biasa. Semangat nak bertaddarus pun begitu juga dan juga sedekah serta amalan-amalan lain. Semangatnya lain macam untuk melaksanakan bermacam-macam ibadah dibulan ramadhan ni. Tapi bila berlalunya ramadhan, semuanya kembali seperti sebelum ramadhan… saya mula memikir apakah sebabnya? Apakah benar kita ni hamba ramadhan?

Apa erti sebenar hamba? Kalau menurut huraian dari Wikipedia, perkataan hamba berasal dari bahasa Mesir Purba Hem (Hm), yang bermaksud ‘tubuh’. Sistem hamba abdi ini telah wujud sejak berkurun lamanya. Misalnya piramid di Mesir, telah dibina oleh golongan ini.

Dalam segi penggunaan dalam dunia Melayu, hamba dibahagi kepada dua, iaitu hamba abadi – iaitu hamba yang kelak sepanjang hayat dan hamba – termasuk dapat ditebus selepas membayar hutang dan juga merangkumi golongan hamba abadi.

Mengikut huraian lainnya pula, hamba bermaksud budak suruhan. Hanya patuh dan taat mengikut apa sahaja arahan dari tuannya.

Berbalik kepada nasihat yang disebutkan sebelum ini, ‘jangan jadi hamba ramadhan, jadilah hamba kepada Allah’. Segala amalan yang dilaksanakan yang kita pulun sungguh-sungguh ketika hadirnya ramadhan seolah-olah kerana suruhan ramadhan? Ramadhan tuan dan kita pula hambanya, patuh dan taat apa yg disuruh? Seolahnya begitukah? Atau disebabkan dorongan kelebihan beramal di bulan ramadhan yang mendorong kuat kita untuk beramal bersungguh-sungguh? Mungkin ramai yang setuju dengan kenyataan ini, bahawa kita beramal bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan kerana fadhilat dan kelebihan yang ada pada Ramadhan itu sendiri. Adakah nasihat yang diberikan itu hanya bahasa kiasan, yang mengatakan bahawa beramal bersungguh-sungguh hanya di bulan ramadhan ibarat seperti hamba ramadhan? Jadinya kita beramal KERANA RAMADHAN…. Jadi, apabila ramadhan berlalu maka habislah KERANA RAMADAN itu? Betul kah begitu??? Hanya dengan KERANA itu, maka bila selesai KERANA itu, maka berakhirlah semuanya. Adakah betul begitu ya? Aduh macam pening ayatnya…

Oklah persoalannya sekarang, bagaimana nak betulkan KERANA itu? Sudah tentulah kita sekarang nak betulkan KERANA itu hanya untuk DIA (ALLAH).

Baiklah saya nak lihat dari sudut lain pula. Apabila berakhirnya ramadhan kita akan menghadapi dua musuh berbanding satu sahaja bila tiba ramadhan. Dua musuh itu iaitu NAFSU dan SYAITAN. Bila menjelang ramadhan tiada lagi syaitan, yang tinggal nafsu sahaja… menghadapi satu musuh lebih mudah daripada menghadapi keduanya sekali gus. Apakah ini salah satu faktor pendorong atau penyebab kita lebih mudah melaksanakan ibadah dari bulan-bulan lain dek kerana tukang hasut dah dirantai?

Ada pula orang cakap, kenapa ada juga orang buat dosa di bulan puasa ni? Syaitan kan ke dah kena ikat. Jawapan saya, syaitan ni pun cerdik cik abang cik akak… selama sebelas bulanlah dia dok pulun tarbiyah dan menghasut nafsu kita, lagipun sebulan je dia cuti… jadi kalau dah selama sebelas bulan tu nafsu kita dah serasi dengan maksiat hasil didikan syaitan, maka syaitan bolehlah relaks. Senang contohlahkan macam ni, ops sebelum tu nak minta maaf bagi perokok ye… hehe, sebab ambil contoh seorang perokok. Asal mula orang merokok ni (tidak semua) mulanya atas pelawaan kawan-kawan yang merokok juga, mula-mula tu atas ajakan. Bila dah lama-lama dah mula rasa nikmatnya merokok kawan yang mengajak tu pun dah tak perlu nak mengajak lagi dah, kita pun pandai sendiri pegi beli rokok dan hisap. Sama lah juga macam syaitan ni, mula-mula dia ajak dulu buat maksiat. Bila dah rasa seronok buat maksiat syaitan tak payah nak penat-penat hasut dah. Betul tak? Jadinya, bila tiba bulan ramadhan tu walau syaitan dah dirantai, orang yang dah terbiasa buat maksiat macam tiada apa-apa lah. Maksiat boleh on macam biasa tak gitu?

Berbalik kepada perbincangan asal kita pasal hamba ni. Ramadhan sebenarnya adalah sebagai alat manifestasi cinta Khaliq kepada hambanya. Lagi sekali saya ulang Ramadhan itu sebagai ALAT untuk Tuhan melahirkan rasa sifat Rahman dan RahimNya. Senang macam ni lah bagi nak mudah faham, pembaca yang budiman pasti pernah bercintakan? Kalau tak pernah saya no komen. Baiklah, saya nak cerita pengalaman saya senang sikit (cerita orang yang dah berkahwin ye). Dalam tempoh setahun bagi sayalahkan ada 2 hari istimewa yang saya sambut, yang pertama hari ulangtahun perkahwinan dan kedua hari lahir isteri saya. Biasanya pada hari tersebut saya akan beli bunga dan juga berserta hadiah iringan. Apa istimewanya dua hari tersebut? Pertama, sebab itulah tarikh bersejarah saya disatukan dengan isteri dan yang keduanya sebab tarikh lahir isteri saya. Jadi sebagai tanda kasih sayang, saya belilah hadiah yang kiranya istimewa jugalah untuk meraikan hari tersebut. Jadinya disini, HARI dan HADIAH itu sebenarnya hanyalah ALAT untuk meluahkan rasa KASIH dan SAYANG saya pada isteri. Kalau ada orang bertanya pada saya, perlukah hari tersebut disambut atau diraikan? Jawapan saya PERLU. Sebabnya sebagai untuk membugarkan atau menyegarkan kembali hubungan kasih sayang yang mungkin semakin luntur. Implikasinya nanti kan ke lebih baik selepas itu, kalau dulu khidmat kita dalam keluarga yang mula dah suam-suam kuku akan menjadi hangat semula. Kalau dulu picit-picit tu macam hendak tanak je buat, akan mula bersungguh semula tak gitu? Oklah berbalik cerita asal kita. Jadinya sekarang bolehlah saya misalkan bulan Ramadhan itu sebagai hari istimewa itu, manakala kelebihan beramal di bulan Ramadhan pula adalah bunga dan hadiah istimewa. Jadi sekarang apa yang kita boleh lihat dalam misalan ini? Boleh tak kita sama-sama ubah sekarang KERANA itu tadi? Jadinya adakah patut isteri saya bersungguh-sungguh melaksanakan rasa tanggungjawab dalam rumah tangga kerana dek hadiah yang saya beri? Kan lebih baik kerana saya, kerana suaminya yang dicintainya itu cewahh… kalaulah dek kerana bunga dan hadiah yang saya beri… maka keciwalah saya..

gambar-bunga-rosAllah dah bagi hadiah yang sangat istimewa dengan hadirnya Ramadhan. Allah sayang kita, Allah kasih kita. Dia beri hadiah sangat istimewa sebagai melahirkan kasih sayangNya kepada kita. Apakah wajar kita hanya melihat hadiah yang istimewa itu tanpa melihat si pemberi hadiah itu? Semoga hadiah pemberian yang kita terima itu sebagai alat untuk membugarkan semula cinta kasih antara TUHAN dan HAMBA. Semoga perkataan KERANA kita selepas ini menjadi lebih baik… iaitu KERANA ALLAH. Wallahuaklam…