Menghayati keindahan Supermoon dari sudut pandang Rasulullah

Menghayati keindahan Supermoon dari sudut pandang Rasulullah

Pasti ramai yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena supermoon malam tadi. Supermoon atau lebih dikenali dengan nama saitifiknya iaitu Lunar Perigee adalah satu fenomena bulan penuh yang kelihatan lebih besar dan terang. Fenomena ini mengakibatkan kedudukan bulan menjadi lebih dekat dengan Bumi berbanding biasa. Bulan sebenarnya berputar dalam paksinya yang berbentuk bujur dan bukannya bulat. Ada masanya bulan akan berada dekat dengan Bumi dan kejadian ini akan mencetuskan fenomena supermoon.

Jarak yang dekat dengan Bumi dipanggil perigee dan jarak yang jauh dengan Bumi dipanggil apogee. Apabila bulan berada pada kedudukan perigee, bulan akan berada lebih dekat dengan Bumi dan kesannya bulan akan nampak lebih besar dan lebih bercahaya.

Foto ini diambil dari langit Eka Matahari, Negeri Sembilan

Namun, saiz sebenar bulan masih sama cuma apa yang berlaku adalah kesan ilusi yang juga dikenali sebagai ilusi bulan yang akan menyaksikan bulan menjadi besar ketika menghampiri ufuk.

Apa pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil dari fenomena yang kita lihat semalam?

Dari Jarir bin Abdillah al-Bajali radhiallahu’anhu, beliau berkata, “Kami sedang duduk bersama Rasulullah shalallahu’alaihi wa salam saat beliau melihat bulan di malam badar, beliau shalallhu’alaihi wa salam bersabda:

“Sesungguhnya kalian akan melihat Tuhan kalian seperti kalian melihat bulan ini, tidak membahayakan kalian saat melihatnya. Jika kalian mampu untuk tidak meninggalkan sholat sebelum terbit dan terbenamnya matahari maka lakukanlah” (HR. Bukhari no. 554 dan Muslim no. 632).

Kita berpeluang melihat Allah didalam syurga seperti mana melihat bulan di langit. Permandangan bulan itu sangat indah, jiwa yang memandang pasti akan tenang serta leka menikmati akan keindahannya. Lebih-lebih lagilah keadaan ahli-ahli syurga bila dapat menatap wajah Allah. Malah lebih indah yang tidak tergambarkan oleh kita keindahannya.

Supermoon sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah, walaupun supermoon itu hadirnya dan keindahannya tidak dapat dinikmati selalu. Tetapi tidaklah bagi Allah, Dia sentiasa wujud dan sentiasa terzahir kewujudannya dalam hati hambaNya yang sering mengingatinya setiap turun naik nafas. Limpahan kasih sayang yang terzahir dalam mengingatinya lebih indah dari menghayati keindahan bulan.

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (ar-Ra’d:28)

Dalam ayat lain Allah Ta’ala juga berfirman,

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

“Muka mereka (orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Rabbnya mereka melihat.” (Al-Qiyamah: 22-23)

Ibnu Katsir dalam tafsirnya terhadap ayat di atas menjelaskan, “Orang mukmin akan melihat Rabbnya secara nyata dengan mata kepala mereka, hal ini sebagaimana terdapat dalam hadist riwayat Bukhari rahimahullah,

‘Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian dengan mata kalian sendiri.’ (HR. Bukhari no. 485).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *