Aku dan wajah kematian

Aku dan wajah kematian

kuburMasih saya ingat pesan ulama, salah satu cara untuk mengingatkan diri kepada kematian ialah dengan mengenangkan saudara, sahabat atau kenalan terdekat yang telah meninggal dunia. Bayangkan wajah mereka. Kenangkan detik-detik terakhir bersama mereka. Dulu dia yang ada di sisi, kini tiada lagi. Itu sesungguhnya akan menginsafkan.

Pesan ulama itu lagi, “jika mereka telah pergi, resapkan ke dalam hati mu sendiri bahawa kau juga pasti menyusul. Ingat mati itu ‘zikir yang senyap’. Apabila hati semakin keras, keinginan dan godaan untuk melsayakan dosa kian membuak-buak, ingatlah mati… hati mu akan lembut kembali.”

Bila direnung wajah kematian, terasa sangat aneh dan misteri. Betapa ada insan yang dirasakan  akan hidup lama, tetapi mati dengan tiba-tiba. Dan betapa ada insan yang dijangka tidak mempunyai harapan lagi, tetapi mampu terus bertahan dan hidup lebih lama. Cerita mati, cerita yang misteri. Detik tibanya ajal adalah rahsia seni Ilahi. Terlindung, tanpa dapat ditebak. Tersembunyi, tanpa dapat diagak. Itulah wajah kematian, pemutus segala kelazatan, mencantas  impian dan harapan.

Dari diari kehidupan ku sendiri, saya cuba mencoret beberapa kisah tentang wajah kematian.

I.

Saya mulakan dengan cerita pertama, mesejnya: Bagaimana mati itu pemutus segala cita-cita dan harapan:

“Bagaimana ustaz, apakah wajar tindakan saya ini?”

Saya senyum, lalu saya tepok bahunya.

“Tahniah. Kamu anak yang baik, “ kata saya sambil merenung wajah kacaknya. Pemuda yang bekerja sebumbung dengan saya itu turut tersenyum. Jelas terpancar kelegaan pada wajahnya. Dia begitu pasti dengan keputusannya.

Hati saya turut berbangga. Masakan tidak, betapa masih ada seorang pemuda muslim yang rela menangguhkan perkahwinannya demi memberi laluan untuk keselesaan ibu yang dikasihinya.  Sudah semakin sukar untuk kita temui pemuda yang begitu.

“Ibu dan keluarga telah lama berkorban untuk membesar dan mendidik saya. Sekarang, saya pula ingin memberi sedikit kesenangan buat ibu yang telah tua. Bimbang, tidak sempat.  Jadi, saya ambil keputusan menangguhkan sementara perancangan pernikahan saya. Tidak lama… hanya lebih kurang 6 bulan. Apa pendapat ustaz?”

“Sudah istikharah?”

“Sudah…”

“Bagaimana dengan hati mu? Sudah tetap?”

“Hati saya tetap. Tak berbelah bagi. Kebajikan ibu perlu saya dahulukan.”

Begitulah antara isi perbualan kami sepanjang masa rehat menjelang solat Zuhur di surau tempat kami bekerja. Saya sudah menganggapnya seperti anak sendiri, walaupun kesempatan berbual seperti itu cuma datang sekali-sekala. Kami sering sahaja berpapasan, bertukar senyuman dan bertegur sapa. Tapi luar biasanya, perbualan kami tengah hari itu sangat mengesankan. Itulah kali pertama perbualan kami seserius itu. Dia meminta pandangan tentang dilema dirinya.

Namun, tidak sampai sebulan kemudian, tiba-tiba pada saat saya memandu menuju masjid untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan itu, terdengar suara seorang sahabat di hujung talian…menyampaikan berita tentang pemergiannya. Dia meninggal  dunia serta-merta di tempat kejadian apabila motosikal yang dipandunya bergeser dengan sebuah lori. Saya sangat terkejut. Selepas solat maghrib saya terus bergegas ke hospital…dan setelah menunggu beberapa ketika, baru dapat menatap wajah jenazah yang sudah siap dibedah siasat. Pucat sekali…

Tidak dapat saya bayangkan apa agaknya reaksi ibu dan bakal isterinya. Sehingga ke hari ini, apabila teringat sahaja perbualan terakhir kami berdua , air mata saya akan terus mengalir. Izrail, telah mendahului cita-cita dan cintanya! Saya mendoakan niat baiknya akan diberi  ganjaran oleh Allah. Di sisi Allah segala niat baik akan kesampaian. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa niat orang mukmin itu lebih baik daripada amalnya?

II.

Mari saya kongsikan cerita kedua. Mesejnya, mati itu menamatkan semua persoalan dan jawapan.

Dia seorang ahli kumpulan nasyid yang mencipta sejarah  Tanah Air. Saya rapat dengannya lama sebelum dia mencapai tahap populariti seperti itu. Namun, dek pelbagai ujian dan cabaran dalam kehidupan, hubungan kami semakin jarak. Bukan disebabkan oleh apa-apa salah faham atau masalah, tetapi hanya kerana kesibukan dan bidang kerja kami yang berbeza. Dia dalam dunia hiburan Islamiknya. Saya pula sibuk melsayakan pelbagai kerja – pada satu masa, daripada bertugas sepenuh masa sebagai ko-kaunselor, menulis artikel dan skrip, mengambil upah menaip, membuat  serta menjual kuih-muih dan nasi lemak.

Walaupun saya pernah menulis beberapa lirik nasyid untuk kumpulannya lama sebelum mereka tersohor, tetapi cabaran menyara hidup keluarga pada waktu itu begitu getir.  Mungkin itu menyebabkan kami renggang. Ketika dia di puncak, saya masih merangkak.  Walaupun begitu… ada masanya dia masih sudi singgah di meja tepi jalan tempat isteri saya menjual nasi lemak. Menurut isteri, kemesraan dan budi bahasanya masih kekal seperti dulu. Hati saya tetap menyimpan hasrat, mudah-mudahan dapat lagi berbual mesra dengannya seperti dulu-dulu…

Entah apa sebabnya, pada satu malam, ketika bersiap-siap untuk menghantar anak ke kelas malam di sekolah berhampiran, telefon di rumah berdering. Terkejut, rupa-rupanya dia yang membuat panggilan.

“Boleh saya nak berjumpa ustaz sekarang? Ada hal penting yang hendak dibincangkan.”

“Boleh…tapi saya perlu menghantar anak ke kelas malamnya dahulu,”jawab saya.

“Berapa lama tu?”

“InsyaAllah, lebih kurang 10 minit. Saya akan balik semula ke rumah.”

“Oklah,”jawabnya pendek.

Balik sahaja daripada menghantar anak, saya menunggu di tepi telefon. Saya belum mampu lagi memiliki telefon bimbit ketika itu. Saya menunggu dan terus menunggu. Ingin rasanya membuat panggilan, tetapi silap saya juga, tidak tahu nombor telefonnya. Malam itu berlalu tanpa panggilan darinya. Sekali-sekala saya menjenguk keluar tingkap kalau-kalau ada kereta yang singgah. Mana tahu, dia datang membuat kejutan.

Malam demi malam, hari demi hari, dan akhirnya beberapa bulan pun berlalu. Ingatan kepadanya cuma datang sekali-sekala terutamanya apabila telefon berdering. Diakah itu?

Tiba-tiba pada satu pagi, ketika berada di sebuah pusat latihan di tengah belantara, saya mendapat berita tentang pemergiannya. Dia mati mengejut ketika dalam perjalanan dari sebuah tugasan. Masih muda. Masih bertenaga. Masih membara dan menyala oleh jiwa kreatif dan inovatifnya dalam bidang yang diminatinya sejak lama. Namun maut, mana mengenal itu semua…Manusia merancang penuh harapan, Allah menentukan penuh kepastian.

Tanpa punya kenderaan dan kesempatan, saya yang berada jauh ketika itu hanya sempat mendoakan agar rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Sehingga sekarang, hati saya masih tertanya-tanya, apakah perkara penting yang hendak dikongsinya bersama saya pada malam itu? Mengapa dia tidak membuat panggilan semula? Mengapa dia terus menyepi? Pelbagai tanda tanya terus ternganga tanpa siapa pun dapat menjawabnya hingga kini…

Maut, begitulah tabiatnya. Tidak tercepat, tidak terlambat, walau sesaat. Ia menamatkan semua persoalan dan meranapkan segala jawapan. Bila Izrail sudah memanggil, setiap insan akan sibuk dengan dirinya masing-masing tanpa sempat memikirkan sedikit pun hal-hal yang lain. Hari kematiannya itulah yang jauh lebih besar, dahsyat dan hebat berbanding hari-hari istimewa sepanjang kehidupan kita.

III.

Ini cerita terakhir, cerita yang menghiris hati ku sehingga kini. Mesejnya, mati tidak kenal erti tunggu dan nanti.

Dia dan saya bukan sekadar besan tetapi sudah menjadi semacam sahabat yang akrab. Jarang bertemu, kerana saya tinggal di tengah, dia pula…nun di Selatan Tanah Air. Namun sekali bertemu, kami jadi sangat mesra. Seperti adik dan abang. Setiap kali bertemu saya akan menjadi pendengar setianya. Mendengar cerita lamanya sebagai peneroka tanah pertanian yang asalnya hutan belantara. Berbekalkan sabit, cangkul, parang dan sebagainya dia menerangi hutan.

Di situlah dia membina ‘istana’ buat keluarga yang dicintainya. Di tanah itulah dia ‘bertarung’ dengan segala cabaran dan kesusahan. Duri, ular, binatang buas dan sebagainya.  Semuanya diceritakannya satu persatu. Kesusahan, apabila sudah menjadi kenangan, akan membuahkan satu kepuasan. Kepuasan itulah kemanisan. Sambil bercerita, dia akan sibuk menyuruh saya makan, minum dan menjamu apa sahaja untuk meraikan kedatanganku.

“Ustaz, saya tidak ada ilmu…yang ada cuma pengalaman. Saya bekerja pakai tenaga, pakai otot, ilmu agama sekadarnya, tetapi cukuplah itu untuk mengenalkan anak-anak kepada agamanya. Isteri sayalah yang banyak mengajar anak-anak. Dia lebih banyak ilmu daripada saya,” begitulah selalu kata-kata yang diulang-ulang kepada saya. Bila sudah tua, kita akan cenderung menceritakan kisah yang sama berulang-ulang. Orang tua tidak ada cerita baru, yang ada hanya cerita lama yang masih baru dalam kenangan dan ingatannya. Untuk menyayangi mereka… cukup hanya dengan mendengar!

Saya masih ingat kali terakhir bertemunya, dia telah begitu uzur. Tidak mampu lagi melangkah kecuali dalam jarak yang dekat-dekat. Tetapi kemesraan kami berdua tetap hangat. Sambil dia bercerita, saya urut-urut tangannya. Kulit dan otot yang kendur itu umpama kanvas yang telah melukiskan segala perjuangan dan pahit getirnya membina sebuah keluarga yang stabil dan berjaya seperti yang sedang dinikmati oleh anak-anak, menantu dan cucu-cucunya sekarang. Kadangkala dia menangis sambil bercerita. Saya hanya mampu menahan sebak di dada.

“Ayah sunyi. Ayah semakin uzur,” kata menantu lelaki saya apabila saya bertanya khabar tentang ayahnya . Saya diam, itulah juga yang mula saya rasakan sekarang. Sunyi…kerana tidak ada lagi berita, cerita atau langkah baru. Usia tua bagaikan satu ‘raptai’ untuk tinggal di alam Barzakh. Tanpa amal, solat, sedekah, Al Quran, sebagai pendamping… hidup ‘di sana’ pasti sunyi. Justeru, saya bukan sahaja memahami bahkan merasai, kesunyian besan saya itu. Lalu setiap kali ke Selatan, jika punya masa dan kesempatan, saya akan menziarahinya di daerah pedalaman itu.

Saya masih ingat lagi pada suatu program latihan dan kuliah saya ke Selatan waktu itu. Saya betul-betul dalam dilema.  Oleh sebab terlalu ingin bertemu, saya ada membayangkan kepada menantu lelaki yang saya akan singgah menziarahi ayahnya. Saya tahu itu khabar gembira dan sangat dinanti oleh ayahnya. Namun, setelah melihat jadual yang padat… seakan-akan mustahil untuk saya memenuhi hajat itu.

Bayangkan, selepas memberi kuliah pada waktu pagi sampai tengah hari, dan perlu bergerak ke lokasi agak jauh pada waktu petang, dan perlu kembali semula ke Kuala Lumpur untuk program pada pagi berikutnya.

“Beritahu ayah,  mungkin  kami tak dapat singgah kali ini,”beritahu saya kepada menantu melalui telefon. Teman yang menjadi pemandu di sebelah saya mengangguk-angguk sama.   Dia juga keletihan. Program kami sangat padat. Saya penat melaksanakan program latihan, memberi kuliah dan mengendalikan sesi soal-jawab, manakala dia pula letih memandu berjam-jam di samping mengendalikan semua peralatan teknikal.

“Tidak mengapa, 2 minggu lagi kita akan ada program lagi di selatan. Kita boleh ziarah nanti, insyaAllah,” ujar pembantu saya menyedapkan hati saya. Agaknya dia boleh membaca keresahan di wajah saya. Saya mengangguk perlahan. Tetapi, entah mengapa hati saya masih resah.

Malam itu setelah tamat program kami berkejar pulang ke Kuala Lumpur. Esoknya, awal pagi saya terus mengendalikan program lagi. Mujur tidak jauh. Di sekitar Lembah Kelang juga. Hari-hari berikutnya, program latihan terus kami kendalikan. Inilah rutin yang saya istilahkan sebagai ‘tidak sempat letih’… (untuk merasa letih pun tidak sempat.)

Seingat saya tidak sampai 4 hari selepas program di Selatan itu, tiba-tiba pada satu senja saya mendapat panggilan daripada menantu, “ayah sakit kuat. Sekarang sudah berada di hospital.” Bayangkan, saya mendapat panggilan itu sebelum masuk waktu maghrib dan saya dijadualkan akan memberi kuliah selepas itu. Untuk tidak menghampakan ahli jemaah yang begitu ramai datang (ada majlis kenduri sempena maulidur Rasul atau maal hijrah…saya sudah tidak berapa ingat), saya memberi kuliah juga. Cuma setengah jam…saya mohon pada pengerusi untuk segera bergerak ke Selatan.

Sebaik masuk ke dalam kereta yang telah sedia menunggu di perkarangan masjid, saya terus berkata, “jom kita terus ke Selatan!” Semua ahli keluarga yang ada di dalam kereta menyepi. Senyap dan bungkam. Tiba-tiba, anak seorang anak lelaki saya bersuara perlahan…tetapi sangat jelas didengar, “ayah, Pak cik telah meninggal dunia sebentar tadi!”

Semacam luruh seluruh anggota saya. Saya menangis teresak-esak. Sebak. Sungguh ini tidak saya jangka. Tidak saya pinta. Namun, siapalah saya…untuk mohon menangguhkan kematian orang lain sedangkan kematian sendiri pun nanti, pasti saya tidak mampu minta penangguhannya.

Apabila sampai di rumah Allahyarham beberapa jam kemudian, saya hadir seperti orang yang bersalah dan kalah. Saya tidak dapat menahan tangis sewaktu solat jenazah dan mengiringi jenazahnya ke pusara. Selain saat pemergian ibu mertua dan ayah saya sendiri, itulah saat yang paling sedih dalam hidup saya. Saya mula memikirkan, apalah yang saya cari dan buru dalam hidup ini? Apabila saya lihat liang lahad tempat wajahnya bersentuh tanah, saya terus menangis… kenikmatan walau sebesar langit dan bumi, segala-galanya akan berakhir di sini.

Lebih menyedihkan apabila saya mendapat berita dari seorang anaknya yang meluahkan, “ ayah sebenar-benar sangat sedih bila ustaz tak jadi datang. Dia berkata, tak apa ustaz tu sibuk….bukan senang dia nak atur masa…”

“… Tetapi walaupun setelah berkata begitu, ayah masih dan terus berharap. Dia bergerak sekali-sekala ke depan rumah dan matanya menoleh pandang ke jalan raya di hadapan rumah, kami tahu, dia masih berharap ustaz datang…dia masih terus menanti,”sambungnya lagi.

Lalu apa yang saya rasa sebagai insan yang paling malang? Menghampakan harapan orang sesungguhnya lebih menyakitkan. Rasa bersalah yang menusuk pedih hingga ke saat ini. Jauh di sudut hati, menjerit-jerit mahu meminta maaf…namun pada siapa? Di mana? Bagaimana?  Sungguh saya berjanji pada diri, saya tidak akan berani lagi ‘bermain-main’ dengan mati… yang tidak pernah mengenal istilah tunggu dan nanti.

Lalu, ketika saya menulis artikel ini, yakni ketika sunyi-sunyi sendiri, ketika mendidik diri supaya sentiasa mengingati mati, saya tulis peringatan buat hati sendiri:

“Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita tidak akan tega untuk terus bersengketa.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan menghargai setiap pertemuan.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan bersedia memaafkan bahkan melupakan.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan menekuni ketaatan dan meminggirkan kemaksiatan.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan banyak memberi dan kurang menerima.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan memandang segalanya penuh cinta…penuh hiba! “

Ah, itulah kisah saya dengan wajah-wajah kematian orang. Akan tiba jua masanya kisah kematian saya pula ditulis orang… sudikah?

Pahrol Mohd Juoi
www.genta-rasa.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *