“Tak Kan Kerana Berbeza Pemahaman Terhadap Bid’ah Kita Nak Berpecah??”

“Tak Kan Kerana Berbeza Pemahaman Terhadap Bid’ah Kita Nak Berpecah??”

Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya sebaik baik perkataan adalah kitabullah, sebaik baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad SAW dan seburuk buruk perkara baru itu bid’ah, setiap bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu tempatnya neraka” [HR Muslim]

Hadith diatas merupakan dasar ilmu bagi perbincangan dan perbahasan terhadap bid’ah.

Pengertian dari sudut bahasa, bid’ah disepakati oleh para ulama’ bahawa ia bermaksud “apa sahaja perbuatan melalui perkataan ataupun amalan yang baharu adalah bid’ah”.

Pengertian dari sudut istilah pula, bid’ah difahami serta dihuraikan oleh para ulama’ dalam pelbagai kefahaman menurut ijtihad masing masing. Oleh kerana kepelbagaian kefahaman oleh para alim ulama’ inilah yang menyebabkan wujud kelompok umat islam yang berpegang kepada pendapat tertentu sahaja sehinggakan berlaku perpecahan.

Mari kita selidiki pandangan para alim ulama’ :

(1) Imam Ibrahim bin Musa As Syatibi (Imam Syatibi) mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ad itu suatu cara dalam agama (akidah dan ibadah) yang direka menyerupai syariat syariat dan dimaksudkan dalam melakukannya untuk berlebih lebih dalam beribadah kepada Allah SWT.”

(2) Imam Syafie Rahimahullah mendafinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah itu ada dua jenis iaitu bid’ah yang terpuji dan bid’ah yang tercela. Apa apa yang selari dengan sunnah maka ianya bid’ah yang terpuji dan apa apa yang bercanggah dengan sunnah ianya tercela.”

(3) Iz bin Abd Salam mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah ialah sesuatu perbuatan yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW dan ia terbahagi kepada bid’ah wajib, bid’ah haram, bid’ah sunat, bid’ah makruh dan bid’ah harus.”

(4) Imam An Nawawi Rahimahullah mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah pada syarak ialah mengada adakan sesuatu yang tidak ada di zaman Rasulullah SAW dan ianya terbahagi kepada dua bahagian iaitu bid’ah hasanah dan bid’ah qabihah (bid’ah yang keji).

(5) Ibn Al Atsir Rahimahullah mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu bid’ah Huda dan bid’ah Dhalalah.”

(6) Abdul Aziz bin Baz mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah ialah ibadat yang baru yang tidak dibawa oleh syariat. Semua bid’ah adalah sesat serta ia tidak ada pembahagian (baik atau buruk).”

(7) Muhammad bin Soleh Al Usaimin mendefinasi bid’ah sebagai : “Dan tidak ada dalam agama bid’ah hasanah selama lamanya, sunnah yang baik ialah perkara yang selari dengan syarak.”

Melalui definasi para alim ulama’ diatas, bid’ah merupakan perkara “ijtihadi” dan bukan perkara “qat’ie” yang mana seseorang boleh memilih pandangan yang mereka suka daripada alim ulama’ dalam memahami bid’ah.

Adalah sama sekali tidak adil bagi golongan yang memilih hanya satu padangan ulama’ sahaja dalam memahami bid’ah dan memaksa orang lain untuk menerima pandangan mereka sahaja.

Contoh : –
Pak Wahab berpegang serta cenderung hanya kepada pandangan Imam As Syatibi dan pandangan Abdul Aziz bin Baz serta menolak langsung pandangan ulama’ lain. Apa yang berlaku, fitnah dan tuduh menuduh diantara Pak Wahab dengan masyarakat yang tidak sepandangan dengan dia.

Pak Dollah pula berpegang serta cenderung hanya kepada pandangan Imam Syafie dan Imam An Nawawi sahaja dan tidak mahu endah kepada pandangan alim ulama’ yang lain. Natijahnya, berlakulah fitnah dan tuduh menuduh diantara Pak Dollah dengan masyarakat yang tidak sehaluan dengannya.

Maka kita melihat pada contoh diatas ini gambaran bahawa mereka bercakaran serta mempertahankan hujah masing masing tanpa berlapang dada terhadap pandangan orang lain yang akhirnya berlakulah perpecahan yang sia sia.

Mana tidaknya , Pak Wahab mengatakan solat tidak perlu baca “Usolli” ia bid’ah dan sesat kerana Rasulullah SAW tidak buat. Maka siapa baca “Usolli” dia adalah sesat dan akan masuk neraka.

Pak Dollah pula mempertahankan hujahnya dengan mengatakan solat boleh baca “Usolli” kerana walaupun Rasulullah tidak buat tetapi dengan membaca “Usolli” ketika hendak solat boleh menarik focus seseorang untuk niat dengan betul. Dan membaca “Usolli” tidak bercanggah dengan syariat dan ia adalah bid’ah hasanah.

Oleh kerana percakaran samada boleh baca “Usolli” atau tidak ini telah memecahbelahkan Pak Wahab dan Pak Dollah. Mereka yang sepatutnya boleh solat berjemaah bersama sama akhirnya solat sendirian yang mana masing masing merasakan solat yang dilakukan itulah yang betul dan diterima oleh Allah. Sedangkan sekiranya mereka ini faham, solat kedua duanya adalah sah dan akan diterima oleh Allah.

Alangkah baiknya sekiranya Pak Wahab dan Pak Dollah berlapang dada masing masing menerima pandangan antara satu sama lain. Sudah semestinya solat boleh dilakukan berjemaah dan mendapat pahala ganjaran yang lebih banyak pula. Diluar solat mereka juga boleh bertukar tukar pendapat tentang memahami bid’ah yang mana akhirnya mereka sama sama memperolehi ilmu kefahaman yang lebih luas lagi tentang permasalahan bid’ah.

Jika diteliti lebih dalam lagi permasalahan terhadap perkara menentukan perihal bid’ah ini, masyarakat telah sekian lama berpecah belah yang membawa kepada pergaduhan yang berpanjangan. Media sosial adalah antara saksi perbalahan dan percakaran mereka. Fitnah memfitnah, tuduh menuduh sehingga kafir mengkafir antara satu sama lain. Masing masing juga menunjukkan hero dengan hujah hujah mereka.

Situasi inilah yang dinanti nantikan oleh pihak yang memusuhi islam. Dan kerana pergaduhan inilah umat islam menjadi lemah dan tidak pula bersatu. Jika datang pelbagai bentuk ancaman pemikiran daripada musuh Islam, ia sudah semestinya tidak dapat ditangani oleh umat islam dalam persefakatan yang kukuh dan akhirnya akan kalah.

Cuba kalian fikirkan, sekiranya permasalahan terhadap menentukan bid’ah ini dihadapi dengan penuh berlapang dada maka walaupun kita berbeza pandangan dalam menentukannya, masing masing tetap dalam keadaan menghormati antara satu sama lain bahkan menjadikan sandaran ilmu dan rujukan juga untuk umat islam yang akan datang.

Para alim ulama’ telah lama berlapang dada terhadap permasalahan dalam menentukan sesuatu perkara tetapi yang mencetuskan ketaksuban dan salah tafsir terhadap sesuatu perkara itu sendiri adalah dari orang orang yang datang selepas mereka sehinggalah ke hari ini.

Perpecahan dikalangan umat islam khususnya di Malaysia wajib dielakkan. Ini kerana kita mendepani masalah yang lebih kronik lagi seperti masalah jenayah dan sosial yang meminta kita mengutamakan penyelesaiannya berbanding perbalahan terhadap bid’ah. Malahan lebih elok juga kita bincangkan perkara seperti bagaimana untuk menangani masalah ramai umat islam yang tidak mahu solat.

Akhir kata :
Jauhilah perselisihan yang boleh membawa kepada perpecahan umat islam. Wallahua’lam

[Fahami Bid’ah Jauhi Perpecahan]

One thought on ““Tak Kan Kerana Berbeza Pemahaman Terhadap Bid’ah Kita Nak Berpecah??”

  1. Terdapat dakwaan oleh pihak pembangkang bahawa maksud 1Malaysia masih tidak difahami oleh majoriti rakyat Malaysia . Masing-masing mempunyai pendapat berbeza dan tidak boleh disatukan kerana pemahaman setiap agama itu berbeza dan dengan ini saya berasakan ia perlu diperjelaskan dengan terperinci bagi mengelak salah tanggapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *