Syiar Islam di Krabi semakin pudar

Syiar Islam di Krabi semakin pudar

Krabi, Thailand? Automatik ramai yang menggambarkan tempat pelancongan tepi laut yang indah dan meriah seperti Phuket. Benar. Tarikan Krabi kerana ia memiliki permandangan pantai dan pulau-pulau yang cantik serta air laut yang jernih. Krabi adalah sebuah wilayah (changwat) yang terletak di pinggir pantai Laut Andaman, selatan Thailand. Wilayah Krabi mempunyai keluasan 4,708.5km2.

Walaupun Islam di Thailand agama minoriti tetapi Krabi mempunyai 90% penduduknya beragama Islam. Kerana begitu hebatnya tarikan pelancongan di situ, dunia, terutamanya dunia Islam tidak tahu betapa gentingnya keadaan di Krabi kerana cahaya syiar Islamnya semakin pudar dan malap.

Pada 20-22 Feb 2017, saya berpeluang menyertai kumpulan amal SUPERFRENDS ke Krabi dalam ‘Misi Pengukuhan Islam di Krabi’ selama 3 hari. Ini misi sama Superfrends yang sudah berlangsung beberapa kali. Banyak kali pengasasnya Kusyi Hirdan mengajak saya turut serta membantu, baharu kali ini saya berkesempatan turut serta.

Sebenarnya saya sendiri tidak dapat membayangkan apa yang dimaksudkan oleh Superfrends bahawa Krabi perlukan bantuan kita. Jadi inilah peluang melihat dan menilai sendiri.

Ketika didalam pesawat saya teringat kisah Rasulullah dan para sahabat ketika mereka menyebarkan dakwah. Mereka menempuh laluan sangat sukar untuk memastikan risalah dakwah tersebar keseluruh umat. Allahurabbi, saya mula membandingkan diri sendiri, betapa selesanya usaha dakwah yang saya lakukan. Sangat-sangat tidak wajar jika saya merungut atau mengeluh andai menempuh kesukaran dalam usaha dakwah yang sebesar zarah pun tidak ada berbanding Rasulullah dan sahabat.

Setiba di Lapangan Terbang Krabi yang mengambil masa sejam setengah, kami disambut Haji Mokhtar Thaokloy atau kami memanggilnya Pak Mokhtar, 57 tahun. Pak Mokhtar mengambil kami kerana mahu meminjamkan kereta sekolah bagi kegunaan kami sepanjang di sana. Mereka ini tidak mengenakan sebarang bayaran pun kerana tahu urusan kami ialah kerjasama bersama.

Kami terus ke Sekolah Rendah Muslim Anuban Wangthong terletak di Khlong Yang, lebih kurang sejam dari Aonang.

Ketika di Lapangan Terbang Krabi, kami menghadapi sedikit masalah ketika hendak melepasi kastam Thailand. Kerana terlalu banyak barang-barang sumbangan yang kami bawa seperti telekung, sejadah, kopiah dan kain pelekat, pihak kastam menyangkakan kami membawa barang untuk berniaga. Ketua rombongan cuba menjelaskan kepada pegawai kastam Thailand bahawa semua ini adalah barang untuk disumbangkan ke sebuah sekolah. Pegawai tersebut meminta kami apa-apa dokumen sokongan untuk memastikan bahawa barangan tersebut adalah bukan barang dagangan. Dalam keadaan yang agak kelam-kabut kak Kusyi menunjukkan tentatif program kami kepada pegawai tersebut dan abang Zul memanggil Pak Mokhtar yang berada di luar pintu kastam untuk membantu menerangkan kepada pegawai tersebut mengenai status barang yang kami bawa. Alhamdulillah, setelah berbincang antara pegawai kastam dan Pak Mokhtar akhirnya pegawai tersebut melepaskan barang kami.

Sekolah Rendah Muslim Wangthong adalah sekolah yang dibina keluarga Pak Mokhtar. Sekolah Rendah ini dikirakan sekolah baru juga selepas sekolah pertama Sekolah Menengah Muslim Wangthong yang dikenali sebagai sekolah pondok.

Sekolah menengah adalah sekolah yang dibangunkan oleh arwah bapa Pak Mokhtar lebih 50 tahun lalu. Walaupun sudah naik bangunan batu yang agak selesa, namun beberapa pondok asal sekolah masih ada dan tetap digunakan. Pembinaan sekolah adalah hasil dari biaya keluarga Pak Mokhtar dan sumbangan warga Muslim dari dalam dan luar negara termasuk Malaysia. Walaupun ia dalam kategori sekolah swasta tetapi berbeza sekali dengan sekolah swasta Malaysia, tiada sebarang yuran dikenakan langsung. Manakala sekolah menengahnya pula hanya mengenakan sekitar RM50 sebagai yuran.

Andai ada dari pelajar yang susah yuran tidak dikenakan. Kami ada bertanya, kenapa tidak dikenakan sebarang yuran, sekurang-kurangnya dapat juga menampung perbelanjaan untuk membayar gaji guru dan keperluan sekolah. Ustaz Imran selaku mudir Anuban Wangthong memberitahu, “Kalau kami kenakan yuran nescaya orang kampung tak hantar ke sini. Sebab sekolah kerajaan percuma. Jadi lenyaplah matlamat kami untuk memastikan anak-anak muslim Krabi dapat mendalami dan menghayati agama Islam.”

Menurut Ustaz Imran lagi, untuk menampung segala perbelanjaan keperluan sekolah dan gaji guru mereka mendaftar di bawah kerajaan, jadi dapatlah bantuan dari kerajaan untuk gaji guru. Tetapi kerajaan hanya beri separuh sahaja. Separuh lagi kami kena cari sendiri…”
Bermakna, boleh dikatakan guru-guru di sana hanya menerima separuh gaji yang sangat rendah (sekitar RM500-RM700) kerana pihak sekolah Wangthong tidak mampu menambah. Dengan segala kekurangan, guru-guru itu setia juga kerana sayangkan usaha keluarga Thaokloy. Kalau diikutkan memang sangat rendah gaji mereka tetapi kebanyakan guru-guru yang bertugas di sekolah ini adalah bekas murid yang pernah belajar di sini dan mereka sayangkan sekolah ini, jadi mereka memang berkhidmat demi untuk membantu sekolah.

“Ada juga kami buka jawatan kosong guru, tapi disebabkan faktor gaji orang tidak berminat.” Beritahu Imran dan menambah syarat lain yang dikenakan kerajaan, pihak sekolah hendaklah mengikut modul pelajaran yang telah ditetapkan kerajaan.

Menurut Ustaz Imran, bahagian pendidikan Thailand sangat menitik beratkan silibus sukan di sekolah. Sehinggakan aktiviti sukan adalah satu subjek wajib yang perlu pelajar ikuti. Namun pihak sekolah berusaha juga supaya pelajaran agama tetap diterapkan walaupun melalui kesukaran.

Seorang lagi anak Pak Mokhtar, Fauzi menjadi pembantu bapanya di Sekolah Menengah dan juga tenaga pengajar di situ.

“Pada mulanya saya sendiri pun mahu mencari pekerjaan lain diluar selepas tamat belajar tetapi bapa saya mengamanahkan saya menjaga sekolah ini. Awalnya rasa terpaksa tetapi lama-kelamaan saya mula rasa sayang dan mahu menjaga sekolah ini.

Memandangkan keadaan masyarakat kampung muslim di sini semakin tenggelam syiarnya, saya akan teruskan menjaga dan mentadbir sekolah ini. Semua ini adalah demi memastikan Islam tidak hilang di Krabi.”

Seorang lagi anak Pak Mokhtar iaitu Suwairah, juga dipertanggungjawabkan menjaga sekolah rendah anuban selepas tamat universitinya. Suwairah ialah isteri kepada Ustaz Imran.

Begitulah cita-cita murni Mokhtar Thaokloy yang mahu kesemua anak-anaknya, Rushdy, Suwairah, Fauzi, Fetri dan Sayed menyambung misinya.

Keluarga ini mahu seramai mungkin warga muslim datang ke sekolah mereka dan tidak ke sekolah kebangsaan aliran kerajaan. Walaupun sangat kurang dari segi guru terutama guru agama, kewangan dan keselesaan, mereka mahu warga kampung tahu betapa pentingnya anak-anak diterapkan asas Islam seperti membaca Al-Quran, solat dan menutup aurat. Bilangan pelajar semakin bertambah saban tahun. Sekolah rendah mempunyai lebih kurang 370 orang pelajar manakala sekolah menengah 200 orang pelajar.

PROGRAM PENUH MASA TERHAD
1) Hari pertama tiba kami terus mengadakan program di sekolah rendah Anuban Wangthong. Dimulai majlis ringkas dan taaruf kami menyampaikan sumbangan terkumpul dari rakyat Malaysia sebanyak RM6000 untuk membina surau/kuarters guru/bangunan belajar.
2) Selepas itu, tanpa membuang masa kami laksanakan bengkel menyemak bacaan Al-Fatihah. Semakan dibuat terhadap pelajar tahun 5 dan 6 serta para guru. Tugas ini sangat mencabar, bukan kerana perlu membetulkan sebutan makhraj pada mereka yang lidah siamnya sukar menyebut beberapa huruf seperti nun, lam dan ya tetapi juga kerana mereka tidak tahu langsung bahasa melayu atau inggeris. Kami pula tak tahu bahasa siam jadi kami semua kena menghafal beberapa bahasa siam bagi memudahkan komunikasi dalam membetulkan dan memperbaiki bacaan Al-Fatihah mereka.
3) Dalam masa yang sama kami edarkan aiskrim pulut kepada pelajar sekolah ianya sumbangan kiriman dari Malaysia. Dengan sukarelawan yang terhad, semua ada tugas masing-masing dan kami langsung tak boleh buang masa.
4) Malam, kami ke Makro untuk membeli beras dan barangan dapur bagi edaran kepada orang kampung susah esoknya. Barang bernilai RM50 satu set untuk 20 keluarga.
5) Hari kedua, sebelah pagi kami adakan bengkel menyemak bacaan Al-Fatihah dan Tahiyat pada guru-guru sekolah menengah dan beberapa orang penduduk kampung. Sekolah rendah dan sekolah menengah bukanlah dekat. Lebih kurang 40 minit berkereta.
6) Selepas zohor, kami adakan program ‘street dakwah’ di tepi jalan raya. Kami mengedarkan 150 beg berisi keperluan solat seperti telekung, sejadah, kopiah, kain pelekat, tasbih, jubah lelaki dan tudung pada warga kampung sambil menyebutkan dalam bahasa siam ‘Ya Lerm Lamard Nah’ yang bermaksud ‘Jangan lupa solat ya’. Menurut Imran ia adalah program pertama seumpamanya dan kami tak sangka begitu mendapat sambutan. Setengah jam sahaja barang kami habis diedarkan kepada mereka yang lalu lalang majoritinya bermotor.
7) Habis Street Dakwah, kami edarkan 20 beras dan barang dapur kepada warga susah. Kami masuk ke kampung dibantu oleh ketua kampung masing-masing. Saya dan sukarelawan Superfrends naik kereta pick up untuk memudahkan urusan mengedar barang.

Beruntungnya kita yang Islam di Malaysia kerana ada badan yang menguruskan hal-hal pengagihan bantuan kepada fakir dan miskin seperti pusat zakat dan baitulmal. Semua ini tiada di Krabi. Di Krabi tiada semua itu. Nasib warga fakir miskin agak tidak terbela, walaupun ada a’mil yang bertugas di masjid-masjid, tapi peranan mereka hanyalah ketika bulan Ramadhan sahaja.

Dalam sibuk kami melaksanakan program, ada sumbangan dari penyumbang Malaysia yang masuk ke akaun kami. Jadinya kami sepakat untuk menyampaikan sumbangan yang terkemudian ini kepada setiap guru di sekolah seramai 21 orang. Sumbangan kecil sahaja sekitar Rm20 seorang.

Alhamdulillah, semua program berjalan lancar. Memang sangat letih dan penat kerana program dirancang begitu banyak sekali. Kak Kusyi berkali-kali memberitahu kami ke sana kerana misi amal dan bukan melancong. Namun, rasa letih dan penat semua hilang apabila dapat melihat terukirnya senyuman dari penerima sumbangan. Walaupun tidak seberapa pemberiannya, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah meringankan sedikit kesusahan mereka. Pesanan ‘Jangan lupa solat’. saya anggap itulah pesanan kasih sayang dari saudara seagama, mereka saudara seagama kita.

Dari Anas bin Malik, Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya.” (Bukhari dan Muslim).

At-Thobrani meriwayatkan daripada hadis Ka’ab bin Ujrah r.a. daripada Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat.”

Krabi memerlukan kita untuk membantu mereka. Mereka sangat kekurangan tenaga pengajar agama, mereka sangat kurang dari segi dana untuk pembangunan umat, mereka perlukan bantuan dan perhatian kita dalam mengukuhkan pegangan iman masyarakat muslim Krabi di sana. Krabi jiran terdekat kita. Janganlah kita menutup mata dari permasalahan yang dilalui jiran kita.

Marilah sama-sama kita membantu mereka. Insha Allah kumpulan amal Superfrends akan terus menerus melaksana program-program amal mereka di sana. Perancangan akan datang kami cuba untuk mengusahakan guru dan pelajar mereka dapat belajar di Malaysia untuk mendalami ilmu agama.

Program amal Superfrends seterusnya ialah di bulan Ramadan ini. Kali ini di Sarawaki. Mereka perlukan bantuan dana. Mari sama-sama kita bantu supaya program amal seterusnya dapat diadakan. Untuk mengetahui perkembangan lanjut anda boleh buat carian di facebook ‘Kami Superfrends’ atau ke blog www.jendelaku.com.

Pintu masuk Sekolah Rendah Islam Anuban Wangthong
Setibanya di Sekolah ini kami disambut oleh pelajar-pelajar sekolah

 

Kantin Sekolah

  

Pelajar sekolah menengah.

 

Antara bangunan untuk kelas yg. masih dalam binaan. Menggunakan barang binaan terpakai yang dijual dipasaran. Sumbangan masih diperlukan untuk pembinaan ini.

 

Edaran aiskrim pulut kepada pelajar.

 

Pondok asal yang dibina oleh arwah bapa Pak Mokhtar yang masih kekal.

 

Antara misi street dakwah.

Antara barang sumbangan yang akan di edarkan pada warga susah.

Inilah van sekolah yang dipinjamkan oleh Pak Mokhtar kepada kami.

 

Solat Zohor bersama pelajar Anuban Wangthong.

Pelajar sekolah sedang melaungkan azan zohor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *