Browsed by
Month: August 2017

AMALAN KIRIM SALAM KEPADA NABI SAW

AMALAN KIRIM SALAM KEPADA NABI SAW

🔴Soalan: Salam. Ana nak tanya. Tentang amalan menyampaikan salam org lain apabila menziarahi maqam baginda saw? Adakah ia dibolehkan? Atau sunnah yg diharuskan?

✍️Jawapan:
Asas kepada perbuatan mengirimkan salam melalui seseorang kepada orang lain itu tsabit dalam hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzi rahmahullah :

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” لَقِيتُ إِبْرَاهِيمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي ، فَقَالَ : يَا مُحَمَّدُ ، أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلامَ .

Daripada Ibni Mas’uud Radhiyallahu ‘Anhu berkata : Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam bersabda ; ” Aku telah menemui Ibrahim ‘alaihissalam pada malam aku disra’kan, lalu Baginda berkata ; ” wahai Muhammad! Sampaikan salam dari ku buat umatmu” ( HR at-Tirmidzi : 3409 )

Setiap kali mendapat tahu ada seseorang yang akan ke tanah suci, ada dari kalangan kaum Muslimin yang berkirim salam kepada Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wassalam. Ia adalah perbuatan yang dibolehkan, Imam an-Nawawi rahimahullah dalam kitab al-Idhah fi manaasikil hajj wal umrah pada halaman 453 menyatakan:

“Kemudian, jika seseorang berpesan kepadanya (yakni berpesan kepada si penziarah) untuk menyampaikan salam kepada Junjungan Rasulullah SAW, maka disampaikannya dengan mengucapkan: “as-Salamu ‘Alaika, Ya RasulAllah min fulanibni fulan” (Salam kesejahteraan atasmu wahai Utusan Allah daripada si fulan anak si fulan ) atau “Fulanubnu fulan yusallim ‘alaika, ya RasulAllah” (Si fulan anak si fulan mengucap salam kepadamu, wahai Utusan Allah) atau dengan ucapan lain yang seumpamanya.”

Perbuatan mengirimkan salam ini juga pernah dilakukan oleh salafuna as-Soleh.

Qadhi Iyadh rahimahullah dalam kitabnya asy-Syifaa bi ta’riifi huquuqil Musthafa pada juzuk ke-2 halaman 85 menyatakan:-

“Daripada Yazid bin Abi Said al-Mahriy berkata: “Aku telah datang mengadap Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz, ketika hendak pulang, beliau berkata kepadaku: “Aku mempunyai satu hajat daripadamu, apabila engkau datang ke Madinah dan menziarahi kubur Nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam, maka sampaikanlah kepada baginda salam daripadaku.”

Dalam riwayat yang lain dinyatakan bahawa Khalifah Umar bin ‘Abdul ‘Aziz mengutus salamnya kepada Nabi SAW melalui surat yang beliau hantar dari Syam.”

(Seorang ulama yang warak , alim dan adil seperti ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz juga mengamalkan kiriman salam, ini menunjukkan ia bukanlah satu perkara bidaah yang tercela-pen.)

Para ulama juga menyatakan perbuatan berkirim salam kepada baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam itu juga disusuli dengan doa agar beroleh syafaat baginda.

Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam karya beliau yang diterjemahkan dengan jodol Fadhilat Haji pada halaman 204 – 205 menyebut:-

” ……., mungkin seorang lain yang telah menyuruh kamu untuk menyampaikan salamnya kepada Rasulullah SAW. Dengan demikian sampaikan salam secara demikian: (Salam ke atasmu ya Rasulullah, daripada orang ini bin orang ini yang memohon syafaatmu dengan Allah bagi pihaknya) Jika ini menjadi satu kesukaran untuk diucapkan di dalam bahasa Arab, maka lakukanlah di dalam bahasa Urdu atau di dalam bahasamu sendiri. ”

Peringatan :

Kita dianjurkan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam. Sesungguhnya setiap ucapan itu akan disampaikan kepada baginda oleh para malaikat Allah sebagaimana hadis :

إِنَّ لِلَّهِ مَلائِكَةً سَيَّاحِينِ فِي الأَرْضِ ، يُبَلِّغُونِي عَنْ أُمَّتِي السَّلامَ

Sesungguhnya Allah mempunyai para malaikat yang ditugaskan berjalan ke serata pelusuk bumi untuk menyampaikan kepadaku salam umatku.” ( HR. Ahmad : 1/144, Al-Nasaa’i : 1282 )

Kesimpulan:

Tidak salah berkirim salam kepada baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam dan ia adalah perbuatan para solihin dan hukumnya adalah harus.

Dan tidak salah juga bagi mereka yang tidak mengamalkan berkirim salam ini kerana setiap yang dihukumkan harus itu boleh ditinggalkan. Bahkan dengan keyakinan yang penuh bahawa selawat dan salam kita sendiri pun sampai kepada baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam sebagaimana dalam hadis di atas.

Yang salah ialah sikap tidak terbuka dalam menanggapi amalan orang lain tanpa merujuk dulu pandangan ulama yang muktabar dan membuat rujukan sumber ilmu yang sebenar.

Ilmu Allah amat luas. Apakah hanya dengan merujuk beberapa kitab hadis kita boleh membuat tafsiran hukum sendiri dan mengenepikan pandangan dan amalan para solehin yang jelas keberkatan hidup dan ilmu mereka.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayah buat kita semua.

Ustaz Mohd Hazri al-Bindany
Penjelasan Bidaah
klik👉🏼 @mso_bidaah
#notatasawwuf

Sikap Orang Kita Bila Mendengar Berita

Sikap Orang Kita Bila Mendengar Berita

Lambakan maklumat di media sosial sudah tidak lagi mampu ditahan-tahan. Bercampur dengan yang benar dengan rekaan. Apakah sikap kita dengan keadaan ini? Apakah begitu mudah kita menyebarkannya tanpa meneliti kesahihannya benar atau tidak. Mari kita sama-sama lihat kupasan dari mufti wilayah persekutuan mengenai ‘Konsep Tabayyun dan Penerimaannya’. Sebelum itu mari kita lihat video dibawah.

 

Definisi Berita dan Tabayyun

Menurut kamus Dewan edisi keempat berita bermaksud perkhabaran laporan tentang sesuatu hal atau kejadian. Mengikut tafsiran para ulama, tabayyun berasal daripada perkataan arab yang bermaksud mesabitkan dan menyemak asas kebenarannya.

Tafsir Ayat 6 Surah al-Hujurat

Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perkara ini menjadi salah satu agenda al-Quran di mana Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat: 6)

Imam Ibn Kathir berkata : Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan mewaspadainya supaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyakan ahli tafsir menyebut turunya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’ith ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq.[1]

Imam al-Syaukani rahimahullah berkata: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adakah memeriksa dengan teliti yang dimaksudkan dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” Lihat Fathul Qadir (5/65).

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT mendidik hamba-hamba-Nya yang mukmin dengan sifat sopan yang berguna bagi mereka dalam soal agama atau dunia. Berhubung perkara ini apabila mereka dihampiri oleh seorang fasik yang terang-terangan meninggalkan syiar agama dengan membawa sesuatu berita hendaklah tidak terus mempercayainya sehinggalah betul-betul mendapat kepastian dan berusaha mengetahui perkara yang sebenarnya tanpa bersandar kepada ceritanya semata-mata. Ini disebabkan orang yang tidak ambil kisah melakukan kefasikan tentu tidak kisah pula untuk berbuat dusta kerana dusta memang termasuk cabang kefasikan. Langkah ini perlu diambil supaya jangan sampai orang mukmin menimpakan bencana ke atas kaum yang tidak mereka ketahui keadaan mereka, yang mana nanti mereka akan menyesal di atas perbuatan terlanjur yang mereka lakukan lalu mereka pun berangan-angan sekiranya perkara ini tidak pernah berlaku.[2]

Syed Qutb berkata: ‘Perbuatan meragui secara mutlaq terhadap segala sumber dan segala berita adalah bertentangan dengan dasar kepercayaan yang seharusnya wujud diantara individu kelompok yang beriman, dan melumpuhkan perjalanan kehidupan dan peraturan dalam masyarakat Islam , sedangkan Islam membiarkan kehidupan masyarakat itu berjalan mengikut perjalanan tabi’enya dan Islam hanya mengadakan jaminan dan kawalan untuk memelihara perjalanan kehidupan itu sahaja bukan untuk melumpuhkan. Inilah contoh dasar kebebasan dan pengecualian dalam menangani sumber berita.‘[3]

Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran.

Sebab itulah dalam Surah al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuhkan hukum atau kesimpulan sebagaimana yang disebut ayat 12 dalam surah yang sama: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.

Berita Dan Cara Penerimaannya.

Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran. Kegagalan mengamalkan tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramat di dunia dan akhirat. Inilah diisyaratkan Allah dalam Surah al-Hujurat ayat keenam sebagaimana ulasan di atas.

Justeru dalam berhadapan dengan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat begitu canggih masa kini, umat seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan mahupun berkongsi satu-satu berita.

Di samping itu juga, pemberitaan atau perkhabaran yang mudah diterima pada hari ini melalui Facebook, emel, twiter, surat khabar, majalah atau sebagainya tidak pasti akan ketepatan dan kesahihan maklumat. Perkara ini amat penting bagi kita semua, kerana perkhabaran atau berita yang tidak mempunyai asas atau dalil, menjadikan kita hanya sebagai manusia yang diibaratkan seperti tin yang kosong, bunyi yang kuat tetapi tidak mempunyai maklumat atau berita yang sia-sia sahaja.

Tambahan dari itu juga, medium ini seperti WhatsApp, Facebook, emel dan sebagainya dijadikan tempat untuk memburukkan seseorang individu, penyebaran berita palsu yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama manusia. Oleh itu satu kaedah menyatakan:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.

Kaedah fiqh yang lain ada menyatakan;

اَلْبَيِّنَةُ عَلَى المُدّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Beban bukti itu adalah atas pendakwa dan sumpah itu atas yang mengingkari.”[4]

Kaedah ini seharusnya difahami dan diteliti maknanya secara mendalam oleh setiap masyarakat kerana kaedah ini merupakan satu garis panduan dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Perkara ini amat penting dan mesti diberi penekanan oleh pihak yang berwajib terutamanya dan seluruh masyarakat agar segala berita atau maklumat yang ingin di sampaikan atau disebar luaskan, mempunyai asas kebenaran yang kukuh.

Kesan Berita Tanpa Tabayyun

Perpaduan atau tali persaudaraan yang telah dibina selama ini mampu dileraikan atau diputuskan akibat daripada maklumat serta berita yang disampaikan ini tidak tepat dan dusta. Agenda menfitnah, menipu dan membuka aib orang lain begitu mudah untuk disebarkan berlandaskan segala ruangan yang ada sangat mudah untuk dilayari seperti internet, Facebook, YouTube dan sebagainya.

Semua laman ini amat berbahaya kepada kita, sekiranya ruangan ini dijadikan sebagai medan untuk melakukan perkara sedemikian.

وَاتْرُكِ القَالَ وَ القِيلَ

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang orang kata, dan apa yang dikatakannya.

Di samping itu juga, sekiranya tabiat sebegini yang disemai di dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini, maka keamanan, persaudaraan dan masyarakat harmoni hanyalah menjadi satu harapan atau angan-angan yang tidak berkesudahan. Oleh itu, penekanan kepada semangat untuk mencari dan menyampaikan kebenaran perlu ditekankan dan diteruskan. Perlunya kita mempunyai Fiqh al-Khabar Wa al-Istikhbar yang benar-benar memahami realiti berita dan cara mendapatkan maklumat agar tidak tersalah atau menyimpang dari asas kebenaran.

Peringatan Oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan di dalam kitabnya “Al-Halal Wa Al-Haram” di mana Rasulullah SAW bersabda:

شِرَارُ عِبَادَ اللهِ المَشَّاؤُونَ بِالنَمِيمَةِ، المُفَرِّقُونَ بَيْنَ الأَحِبَّةِ، البَاغُونَ لِلبُرَءاءِ العَيْبَ

Maksudnya: ‘Sejahat-jahat hamba Allah SWT ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah belah antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencatatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.‘ (Riwayat Imam Ahmad)

Pada hakikatnya apabila Islam berperanan untuk melenyapkan permusuhan dan mendamaikan antara dua orang yang berselisih faham, juga membenarkan pendamai itu menyembunyikan apa yang didengar dari kata-kata yang buruk, yang dikatakan seseorang itu kepada yang lain, dan menambah pula kata-kata yang baik dari mulutnya sendiri, yang tidak didengarnya dari salah seoarang antara kedua dalam suatu hal atau perkara, kerana hal tersebut dinyatakan di dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ بِكَذَابٍ مَنْ أَصْلَحَ بَيْنَ اثْنَينِ فَقَالَ خَيْرًا أَوْ نَمَّى خَيْرًا

Maksudnya: ‘Tidaklah dikira berdusta, siapa yang mahu mendamaikan antara dua orang yang berselisih, lalu dikatakannya segala yang baik-baik atau dia menambah apa yang baik.’

Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak perandakan hubungan antara satu sama yang lain supaya hancur binasa.

Orang seperti ini tidak hanya cukup untuk menyampaikan apa yang didengarnya sahaja, malahan perasaan ingin memporak perandakan yang ada pada diri mereka itu akan mendorong mereka untuk menambah sesuatu benda yang lain daripada apa yang mereka dengar, iaitu dengan mencipta sesuatu yang tidak didengarnya itu.

إِنْ يَسْمَعُوا الخَيْرَ أَخْفَوْهُ, وَإِنْ سَمِعُوا شَرّاً أَذَاعُوا وَإِنْ لَمْ يَسْمَعُوا كَذِبُوا

Maksudnya: ‘Jika dengar baik mereka sembunyikan, sebaliknya dengar yang buruk mereka hebahkan, jika tidak dengar, lalu dusta.

Suatu ketika seorang lelaki datang kepada Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah, lalu dia menyampaikan sesuatu yang tidak baik tentang seorang temannya. Lalu Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah berkata kepadanya: Sekarang kami terpaksa menyiasat perkara ini! Jika kamu dusta, maka kamu termasuk dalam golongan orang yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

Maksudnya: ‘Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.‘ (Surah al-Hujurat: 6)

Jika sekiranya kamu bercakap benar, maka kamu tergolong dalam kumpulan orang yang dikatakan dalam firman Allah SWT:

هَمَّازٍ مَّشَّاءٍ بِنَمِيمٍ

Maksudnya: ‘Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)’ (Surah al-Qalam: 11)

Tetapi, jika kami memaafkan kamu dengan syarat kamu tidak akan melakukannya lagi? Lelaki itu menjawab: Maafkan sahaja, hai Amirul Mukminin, saya tidak akan mengulanginya lagi perbuatan itu.[5]

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Ketika Hajjatu al-Wada’ (Haji Perpisahan), Nabi SAW bangun berkhutbah di hadapan khalayak ramai yang berkumpul di Padang Arafah, katanya:

فَإِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَدْ حَرَّمَ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ، إِلاَّ بِحَقِّهَا، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا ‏

Maksudnya: ‘Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan darah kamu, harta benda kamu maruah kamu, seperti keharaman hari kamu ini, pada negeri kamu ini.’ Riwayat al-Bukhari (6785)

Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa Rasulullah SAW mengingatkan kita berkaitan hubungan sesama Muslim untuk memelihara harta benda, maruah dan jiwa raga yang termasuk dalam Maqasid al-Syariah.

Hendaklah kita fahami yang bahawa fitnah merupakan senjata yang paling tua dan kuno telah digunakan dalam peperangan. Ia lebih dahulu daripada senjata konvensional seumpama keris, pedang, lembing serta panah dan lain-lain.

Sejarah membuktikan setiap tamadun manusia telah tercatat bagaimana fitnah digunakan sebagai senjata saraf yang paling berkesan dalam melemahkan serta menumpaskan musuh. Akibat dan natijahnya boleh memberi kesan yang mendalam yang berpanjangan sehingga diwarisi oleh ganerasi kemudian.

Justeru, sebelum kita menerima satu-satu berita atau ingin menyampaikannya maka pastikan dahulu kesahihan berita tersebut atau sesuatu kenyataan itu. Ini kerana jika kita alpa dan lalai dibimbangi ramai yang tercedera dan boleh memusnahkan bukan sekadar individu tetapi masyarakat dan negara.

Hakikatnya permainan dari sudut persepsi dan khabar angin yang ditelan bulat-bulat oleh yang tidak mempunyai maklumat yang secukupnya akan mengundang pelbagai petaka dan bahaya. Semoga Allah selamatkan kita dan menjadikan kita benar-benar memahami realiti dan situasi semasa berkenaan dengan pemberitaan.

Penutup

Allah SWT berfirman :

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Maksudnya: ‘Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.’ (Surah al-Ahzab: 58)

Sesungguhnya, seberat-berat cara yang mencemari kehormatan seseorang ialah menuduh wanita-wanita beriman yang suci dari perkara keji dengan menuduh wanita itu melakukan kejahatan. Ini jelas menunjukkan tuduhan seperti ini akan menimbulkan bahaya yang besar ke atas kehormatan diri dan saudara mara tertuduh serta akan merosakkan masa depannya dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi jika berita itu sampai kepada mereka yang gemar menyebarkan berita buruk ini kepada masyarakat Islam seluruhnya.

Oleh itu, Nabi SAW menghitung perbuatan ini termasuk dalam kategori tujuh dosa-dosa besar yang membahayakan di mana al-Quran al-Karim melarang sama sekali mereka yang terlibat dengan seksaan yang amat pedih.

Marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari sejarah yang panjang betapa sesebuah pemerintahan jatuh berpunca dari fitnah penyebaran maklumat yang tidak betul dan boleh menghuru-harakan keharmonian sesebuah negara. Semoga Allah selamatkan kita dan juga negara kita dari sebarang musibah, bencana dan juga hal yang boleh menyebabkan runtuhnya negara kita.

Akhukum Fillah,

Datuk Dr Zulkifli bin Muhammad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan,
20 Mei 2015 bersamaan 1 Sya’ban 1436.

*Dikemaskini pada: 13 Ogos 2015

Sumber : www.muftiwp.gov.my