Browsed by
Category: Kembara

Syiar Islam di Krabi semakin pudar

Syiar Islam di Krabi semakin pudar

Krabi, Thailand? Automatik ramai yang menggambarkan tempat pelancongan tepi laut yang indah dan meriah seperti Phuket. Benar. Tarikan Krabi kerana ia memiliki permandangan pantai dan pulau-pulau yang cantik serta air laut yang jernih. Krabi adalah sebuah wilayah (changwat) yang terletak di pinggir pantai Laut Andaman, selatan Thailand. Wilayah Krabi mempunyai keluasan 4,708.5km2.

Walaupun Islam di Thailand agama minoriti tetapi Krabi mempunyai 90% penduduknya beragama Islam. Kerana begitu hebatnya tarikan pelancongan di situ, dunia, terutamanya dunia Islam tidak tahu betapa gentingnya keadaan di Krabi kerana cahaya syiar Islamnya semakin pudar dan malap.

Pada 20-22 Feb 2017, saya berpeluang menyertai kumpulan amal SUPERFRENDS ke Krabi dalam ‘Misi Pengukuhan Islam di Krabi’ selama 3 hari. Ini misi sama Superfrends yang sudah berlangsung beberapa kali. Banyak kali pengasasnya Kusyi Hirdan mengajak saya turut serta membantu, baharu kali ini saya berkesempatan turut serta.

Sebenarnya saya sendiri tidak dapat membayangkan apa yang dimaksudkan oleh Superfrends bahawa Krabi perlukan bantuan kita. Jadi inilah peluang melihat dan menilai sendiri.

Ketika didalam pesawat saya teringat kisah Rasulullah dan para sahabat ketika mereka menyebarkan dakwah. Mereka menempuh laluan sangat sukar untuk memastikan risalah dakwah tersebar keseluruh umat. Allahurabbi, saya mula membandingkan diri sendiri, betapa selesanya usaha dakwah yang saya lakukan. Sangat-sangat tidak wajar jika saya merungut atau mengeluh andai menempuh kesukaran dalam usaha dakwah yang sebesar zarah pun tidak ada berbanding Rasulullah dan sahabat.

Setiba di Lapangan Terbang Krabi yang mengambil masa sejam setengah, kami disambut Haji Mokhtar Thaokloy atau kami memanggilnya Pak Mokhtar, 57 tahun. Pak Mokhtar mengambil kami kerana mahu meminjamkan kereta sekolah bagi kegunaan kami sepanjang di sana. Mereka ini tidak mengenakan sebarang bayaran pun kerana tahu urusan kami ialah kerjasama bersama.

Kami terus ke Sekolah Rendah Muslim Anuban Wangthong terletak di Khlong Yang, lebih kurang sejam dari Aonang.

Ketika di Lapangan Terbang Krabi, kami menghadapi sedikit masalah ketika hendak melepasi kastam Thailand. Kerana terlalu banyak barang-barang sumbangan yang kami bawa seperti telekung, sejadah, kopiah dan kain pelekat, pihak kastam menyangkakan kami membawa barang untuk berniaga. Ketua rombongan cuba menjelaskan kepada pegawai kastam Thailand bahawa semua ini adalah barang untuk disumbangkan ke sebuah sekolah. Pegawai tersebut meminta kami apa-apa dokumen sokongan untuk memastikan bahawa barangan tersebut adalah bukan barang dagangan. Dalam keadaan yang agak kelam-kabut kak Kusyi menunjukkan tentatif program kami kepada pegawai tersebut dan abang Zul memanggil Pak Mokhtar yang berada di luar pintu kastam untuk membantu menerangkan kepada pegawai tersebut mengenai status barang yang kami bawa. Alhamdulillah, setelah berbincang antara pegawai kastam dan Pak Mokhtar akhirnya pegawai tersebut melepaskan barang kami.

Sekolah Rendah Muslim Wangthong adalah sekolah yang dibina keluarga Pak Mokhtar. Sekolah Rendah ini dikirakan sekolah baru juga selepas sekolah pertama Sekolah Menengah Muslim Wangthong yang dikenali sebagai sekolah pondok.

Sekolah menengah adalah sekolah yang dibangunkan oleh arwah bapa Pak Mokhtar lebih 50 tahun lalu. Walaupun sudah naik bangunan batu yang agak selesa, namun beberapa pondok asal sekolah masih ada dan tetap digunakan. Pembinaan sekolah adalah hasil dari biaya keluarga Pak Mokhtar dan sumbangan warga Muslim dari dalam dan luar negara termasuk Malaysia. Walaupun ia dalam kategori sekolah swasta tetapi berbeza sekali dengan sekolah swasta Malaysia, tiada sebarang yuran dikenakan langsung. Manakala sekolah menengahnya pula hanya mengenakan sekitar RM50 sebagai yuran.

Andai ada dari pelajar yang susah yuran tidak dikenakan. Kami ada bertanya, kenapa tidak dikenakan sebarang yuran, sekurang-kurangnya dapat juga menampung perbelanjaan untuk membayar gaji guru dan keperluan sekolah. Ustaz Imran selaku mudir Anuban Wangthong memberitahu, “Kalau kami kenakan yuran nescaya orang kampung tak hantar ke sini. Sebab sekolah kerajaan percuma. Jadi lenyaplah matlamat kami untuk memastikan anak-anak muslim Krabi dapat mendalami dan menghayati agama Islam.”

Menurut Ustaz Imran lagi, untuk menampung segala perbelanjaan keperluan sekolah dan gaji guru mereka mendaftar di bawah kerajaan, jadi dapatlah bantuan dari kerajaan untuk gaji guru. Tetapi kerajaan hanya beri separuh sahaja. Separuh lagi kami kena cari sendiri…”
Bermakna, boleh dikatakan guru-guru di sana hanya menerima separuh gaji yang sangat rendah (sekitar RM500-RM700) kerana pihak sekolah Wangthong tidak mampu menambah. Dengan segala kekurangan, guru-guru itu setia juga kerana sayangkan usaha keluarga Thaokloy. Kalau diikutkan memang sangat rendah gaji mereka tetapi kebanyakan guru-guru yang bertugas di sekolah ini adalah bekas murid yang pernah belajar di sini dan mereka sayangkan sekolah ini, jadi mereka memang berkhidmat demi untuk membantu sekolah.

“Ada juga kami buka jawatan kosong guru, tapi disebabkan faktor gaji orang tidak berminat.” Beritahu Imran dan menambah syarat lain yang dikenakan kerajaan, pihak sekolah hendaklah mengikut modul pelajaran yang telah ditetapkan kerajaan.

Menurut Ustaz Imran, bahagian pendidikan Thailand sangat menitik beratkan silibus sukan di sekolah. Sehinggakan aktiviti sukan adalah satu subjek wajib yang perlu pelajar ikuti. Namun pihak sekolah berusaha juga supaya pelajaran agama tetap diterapkan walaupun melalui kesukaran.

Seorang lagi anak Pak Mokhtar, Fauzi menjadi pembantu bapanya di Sekolah Menengah dan juga tenaga pengajar di situ.

“Pada mulanya saya sendiri pun mahu mencari pekerjaan lain diluar selepas tamat belajar tetapi bapa saya mengamanahkan saya menjaga sekolah ini. Awalnya rasa terpaksa tetapi lama-kelamaan saya mula rasa sayang dan mahu menjaga sekolah ini.

Memandangkan keadaan masyarakat kampung muslim di sini semakin tenggelam syiarnya, saya akan teruskan menjaga dan mentadbir sekolah ini. Semua ini adalah demi memastikan Islam tidak hilang di Krabi.”

Seorang lagi anak Pak Mokhtar iaitu Suwairah, juga dipertanggungjawabkan menjaga sekolah rendah anuban selepas tamat universitinya. Suwairah ialah isteri kepada Ustaz Imran.

Begitulah cita-cita murni Mokhtar Thaokloy yang mahu kesemua anak-anaknya, Rushdy, Suwairah, Fauzi, Fetri dan Sayed menyambung misinya.

Keluarga ini mahu seramai mungkin warga muslim datang ke sekolah mereka dan tidak ke sekolah kebangsaan aliran kerajaan. Walaupun sangat kurang dari segi guru terutama guru agama, kewangan dan keselesaan, mereka mahu warga kampung tahu betapa pentingnya anak-anak diterapkan asas Islam seperti membaca Al-Quran, solat dan menutup aurat. Bilangan pelajar semakin bertambah saban tahun. Sekolah rendah mempunyai lebih kurang 370 orang pelajar manakala sekolah menengah 200 orang pelajar.

PROGRAM PENUH MASA TERHAD
1) Hari pertama tiba kami terus mengadakan program di sekolah rendah Anuban Wangthong. Dimulai majlis ringkas dan taaruf kami menyampaikan sumbangan terkumpul dari rakyat Malaysia sebanyak RM6000 untuk membina surau/kuarters guru/bangunan belajar.
2) Selepas itu, tanpa membuang masa kami laksanakan bengkel menyemak bacaan Al-Fatihah. Semakan dibuat terhadap pelajar tahun 5 dan 6 serta para guru. Tugas ini sangat mencabar, bukan kerana perlu membetulkan sebutan makhraj pada mereka yang lidah siamnya sukar menyebut beberapa huruf seperti nun, lam dan ya tetapi juga kerana mereka tidak tahu langsung bahasa melayu atau inggeris. Kami pula tak tahu bahasa siam jadi kami semua kena menghafal beberapa bahasa siam bagi memudahkan komunikasi dalam membetulkan dan memperbaiki bacaan Al-Fatihah mereka.
3) Dalam masa yang sama kami edarkan aiskrim pulut kepada pelajar sekolah ianya sumbangan kiriman dari Malaysia. Dengan sukarelawan yang terhad, semua ada tugas masing-masing dan kami langsung tak boleh buang masa.
4) Malam, kami ke Makro untuk membeli beras dan barangan dapur bagi edaran kepada orang kampung susah esoknya. Barang bernilai RM50 satu set untuk 20 keluarga.
5) Hari kedua, sebelah pagi kami adakan bengkel menyemak bacaan Al-Fatihah dan Tahiyat pada guru-guru sekolah menengah dan beberapa orang penduduk kampung. Sekolah rendah dan sekolah menengah bukanlah dekat. Lebih kurang 40 minit berkereta.
6) Selepas zohor, kami adakan program ‘street dakwah’ di tepi jalan raya. Kami mengedarkan 150 beg berisi keperluan solat seperti telekung, sejadah, kopiah, kain pelekat, tasbih, jubah lelaki dan tudung pada warga kampung sambil menyebutkan dalam bahasa siam ‘Ya Lerm Lamard Nah’ yang bermaksud ‘Jangan lupa solat ya’. Menurut Imran ia adalah program pertama seumpamanya dan kami tak sangka begitu mendapat sambutan. Setengah jam sahaja barang kami habis diedarkan kepada mereka yang lalu lalang majoritinya bermotor.
7) Habis Street Dakwah, kami edarkan 20 beras dan barang dapur kepada warga susah. Kami masuk ke kampung dibantu oleh ketua kampung masing-masing. Saya dan sukarelawan Superfrends naik kereta pick up untuk memudahkan urusan mengedar barang.

Beruntungnya kita yang Islam di Malaysia kerana ada badan yang menguruskan hal-hal pengagihan bantuan kepada fakir dan miskin seperti pusat zakat dan baitulmal. Semua ini tiada di Krabi. Di Krabi tiada semua itu. Nasib warga fakir miskin agak tidak terbela, walaupun ada a’mil yang bertugas di masjid-masjid, tapi peranan mereka hanyalah ketika bulan Ramadhan sahaja.

Dalam sibuk kami melaksanakan program, ada sumbangan dari penyumbang Malaysia yang masuk ke akaun kami. Jadinya kami sepakat untuk menyampaikan sumbangan yang terkemudian ini kepada setiap guru di sekolah seramai 21 orang. Sumbangan kecil sahaja sekitar Rm20 seorang.

Alhamdulillah, semua program berjalan lancar. Memang sangat letih dan penat kerana program dirancang begitu banyak sekali. Kak Kusyi berkali-kali memberitahu kami ke sana kerana misi amal dan bukan melancong. Namun, rasa letih dan penat semua hilang apabila dapat melihat terukirnya senyuman dari penerima sumbangan. Walaupun tidak seberapa pemberiannya, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah meringankan sedikit kesusahan mereka. Pesanan ‘Jangan lupa solat’. saya anggap itulah pesanan kasih sayang dari saudara seagama, mereka saudara seagama kita.

Dari Anas bin Malik, Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya.” (Bukhari dan Muslim).

At-Thobrani meriwayatkan daripada hadis Ka’ab bin Ujrah r.a. daripada Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat.”

Krabi memerlukan kita untuk membantu mereka. Mereka sangat kekurangan tenaga pengajar agama, mereka sangat kurang dari segi dana untuk pembangunan umat, mereka perlukan bantuan dan perhatian kita dalam mengukuhkan pegangan iman masyarakat muslim Krabi di sana. Krabi jiran terdekat kita. Janganlah kita menutup mata dari permasalahan yang dilalui jiran kita.

Marilah sama-sama kita membantu mereka. Insha Allah kumpulan amal Superfrends akan terus menerus melaksana program-program amal mereka di sana. Perancangan akan datang kami cuba untuk mengusahakan guru dan pelajar mereka dapat belajar di Malaysia untuk mendalami ilmu agama.

Program amal Superfrends seterusnya ialah di bulan Ramadan ini. Kali ini di Sarawaki. Mereka perlukan bantuan dana. Mari sama-sama kita bantu supaya program amal seterusnya dapat diadakan. Untuk mengetahui perkembangan lanjut anda boleh buat carian di facebook ‘Kami Superfrends’ atau ke blog www.jendelaku.com.

Pintu masuk Sekolah Rendah Islam Anuban Wangthong
Setibanya di Sekolah ini kami disambut oleh pelajar-pelajar sekolah

 

Kantin Sekolah

  

Pelajar sekolah menengah.

 

Antara bangunan untuk kelas yg. masih dalam binaan. Menggunakan barang binaan terpakai yang dijual dipasaran. Sumbangan masih diperlukan untuk pembinaan ini.

 

Edaran aiskrim pulut kepada pelajar.

 

Pondok asal yang dibina oleh arwah bapa Pak Mokhtar yang masih kekal.

 

Antara misi street dakwah.

Antara barang sumbangan yang akan di edarkan pada warga susah.

Inilah van sekolah yang dipinjamkan oleh Pak Mokhtar kepada kami.

 

Solat Zohor bersama pelajar Anuban Wangthong.

Pelajar sekolah sedang melaungkan azan zohor.

Terowong tikus tentera vietkong

Terowong tikus tentera vietkong

Pengalaman mengunjungi bumi Saigon adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Saigon atau Vietnam adalah salah sebuah bekas negara komunis, dan juga pernah dijajah oleh Perancis selama dua dekad. Keadaan iklim dan muka bumi tidak jauh bezanya dengan iklim dan keadaan muka bumi di Malaysia. Ketika didalam pesawat minda saya mula terbayangkan filem-filem yang pernah ditonton berkaitan peperangan di Vietnam. Bagaimana agaknya keadaan bumi Saigon yang sebenar?

Tan Son Nhat International Airport
Tan Son Nhat International Airport

Setibanya di Tan Son Nhat International Airport yang mengambil masa satu jam setengah penerbangan, ternyata sangkaan saya mula meleset kerana melihat keadaan airport yang besar dan moden, berbeza dengan apa yang tergambar didalam minda bahawa Vietnam adalah negara yang mundur dan terkebelakang.

Tidak dinafikan saya sendiri mula mencungkil sejarah negara Vietnam selepas pulang dari lawatan disana. Maklumat awal hanyalah lebih kepada kekalahan Amerika dalam peperangan dengan tentera vietkong, tetapi bila menyelusuri sejarahnya banyak lagi perkara yang masih tidak saya ketahui. Perlahan-lahan saya mula menyelongkar sejarah vietnam dari internet, tidak pasti mana sumber yang benar-benar sahih. Ada diantaranya yang menyalahkan tentera vietkong dan ada juga yang menyalahkan tentera Amerika.

Sedikit mengenai sejarah negara Vietnam dipetik dari sumber wikipedia, menurut legendanya, sejarah Vietnam bermula sejak lebih 4,000 tahun.  Namun begitu, sumber-sumber boleh dipercayai yang ada menunjukkan bahawa sejarah Vietnam bermula sejak 2,700 tahun dahulu. Bagi kebanyakan zaman mulai 111 SM hingga abad ke-10, Vietnam diperintah secara langsung oleh dinasti China yang berturut-turut. Vietnam meraih kembali autonominya pada awal abad ke-10, diikuti kemerdekaan sepenuhnya pada tahun 938 M. Sepanjang kebanyakan sejarahnya, Vietnam masih menjadi negara ufti kepada jirannya yang lebih besar iaitu China, dan menolak cubaan berulang oleh China untuk menyatukan semula Vietnam sebagai sebahagian wilayah di bawah pemerintahan diraja secara langsung. Lebih-lebih lagi Vietnam mampu menangkis tiga cubaan serang oleh orang Mongol ketika Dinasti Yuan, apabila China diperintah Mongolia. Namun, raja pada masa itu, Trần Nhân Tông, kemudiannya mengaku dirinya dengan aman sebagai pengufti kepada pemerintah Yuan untuk mengelak konflik daripada berterusan. Zaman kedaulatan ini terhenti pada pertengahan hingga akhir abad ke-19, apabila negara dijajah oleh Perancis. Ketika Perang Dunia II, Empayar Jepun mengusir pihak Perancis untuk menduduki Vietnam, meskipun pada masa yang sama mengekalkan pentadbir Perancis ketika pendudukannya. Setelah berakhirnya perang, Perancis cuba menguasai semula Vietnam namun akhirnya gagal. Perjanjian Geneva membahagikan negara menjadi dua dengan janji pilihanraya demokratik untuk menyatukan semula negara.

Bagaimanapun, penyatuan semula secara aman tidak menjadi kenyataan, sebaliknya pembahagian ini membawa kepada Perang Vietnam yang bergantung kepada perspektif individu, merupakan sama ada perang saudara atau sebidang medan pertempuran dalam konflik ideologi sedunia yang berterusan ketika itu, iaitu Perang Dingin. Ketika itu, Vietnam Utara disokong oleh Republik Rakyat China dan Kesatuan Soviet, manakala Vietnam Selatan disokong Amerika Syarikat. setelah berjuta-juta nyawa rakyat Vietnam dan pengunduran pihak Amerika dari Vietnam pada bulan Mac 1973, perang berakhir dengan kejatuhan Saigon ke tangan Vietnam Utara pada April 1975. Kini Vietnam mula bangkit seiras dengan negara China. Sejak pertengahan 1980-an, Vietnam menikmati pertumbuhan ekonomi yang cukup besar dan sedikit pengurangan dalam penindasan politik.

Kesan daripada 'Herbicidal warfare' menyebabkan tanaman mati.
Kesan daripada ‘Herbicidal warfare’ menyebabkan tanaman mati.

Ketika melawat Muzium Perang antara yang dipaparkan adalah kesengsaraan rakyat Vietnam kesan dari peperangan. Saya cukup tersentuh melihat kesan dari ‘herbicide spraying’  yang dilakukan dari udara oleh tentera Amerika.  ‘Herbicide spraying’ atau ‘Herbicidal warfare’ adalah satu bentuk peperangan kimia di mana tujuannya adalah untuk memusnahkan ekosistem berasaskan tumbuhan sesuatu kawasan. Tujuannya adalah untuk mengganggu pengeluaran makanan pertanian dan memusnahkan tumbuh-tumbuhan yang menyediakan perlindungan atau penyembunyian kepada musuh. Peperangan kimia telah diharamkan oleh Konvensyen Pengubahsuaian Alam sejak tahun 1978, yang mengharamkan “mana-mana teknik untuk menukar komposisi atau struktur biota bumi”. Apabila melihat gambar-gambar yang dipaparkan kesan dari herbicidal warfare, saya kira ini adalah suatu perbuatan yang begitu zalim yang dilakukan oleh tentera Amerika.

Beginilah gambaran chu chi tunnel dari sudut sisi
Beginilah gambaran chu chi tunnel dari sudut sisi

Diantara lawatan yang menarik ketika disana ialah lawatan ke Chu Chi Tunnel (Terowong Chu Chi) atau dikenali dengan Tunnel Rats. Terowong Cu Chi terletak kira-kira 25km dari Bandaraya Ho Chi Minh. Terasa kagum dengan kegigihan tentera vietkong yang telah membina terowong kecil bawah tanah yang dikatakan memakan masa hampir 25 tahun, yang mana jarak keseluruhan terowong ini sepanjang 250km! Kalau mengikut ceritanya terowong ini bertingkat-tingkat yang menempatkan juga bilik rawatan, bilik senjata, bilik kelamin, juga berfungsi sebagai tempat komunikasi rahsia dan juga laluan rahsia untuk membekal ubat-ubatan, makanan, senjata dan tempat kediaman untuk Pejuang Gerila. Ketika peperangan berlangsung beribu-ribu orang Vietnam di Wilayah Chu Chi menetap di dalam Terowong ini sebagai satu cara berlindung dan menyelamatkan diri dari serangan musuh dan mereka hanya keluar pada waktu malam untuk mencari bekalan. Amat mengagumkan, terowong bawah tanah ini dijadikan pusat kehidupan masyarakat seolah sebuah perkampungan yang lengkap yang mana terdapat sekolah dan juga ruang awam untuk mereka berkumpul dan berhibur dengan lagu-lagu tradisional.

Saiz terowong hanya boleh dilalui memuatkan seorang yg bertubuh sederhana
Saiz terowong hanya boleh dilalui memuatkan seorang yg bertubuh sederhana

Kini terowong yang terpelihara hanya sepanjang 120km dan telah dijadikan sebagai sebuah Pusat Taman Peringatan Perang dan dibuka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman melalui terowong yang memuatkan hanya seorang tubuh manusia yang bersaiz kecil, kalau badan big size tu setakat di pintu masuk terowong sajalah, jangan cari pasal cuba masuk takut nanti tidak boleh keluar pula. Disepanjang terowong telah dipasang lampu berkuasa rendah bagi memudahkan pengunjung melaluinya. Terowong tersebut sebenarnya banyak laluan-laluan rahsia yang lain, pengunjung yang melaluinya hendaklah melalui lorong yang disediakan lampu sahaja sebagai panduan, lorong-lorong yang tidak berlampu tidak dilalui. Untuk memberi sedikit gambaran sebenar bolehlah menonton filem ‘Tunnel Rats’ di Youtube.

Usop, pemandu pelancong kami sedang menunjukkan salah satu contoh jerangkap samar
Usop, pemandu pelancong kami sedang menunjukkan salah satu contoh jerangkap samar

Ketika disana pengunjung berpeluang menggunakan senjata-senjata yang pernah digunakan ketika peperangan diantaranya seperti M16, AK47 dan GPMG. Cuma pengunjung perlu membeli peluru sebelum menggunakan senjata tersebut yang mana sesi menembak akan dilakukan dipadang sasar. Disana juga dipamerkan beberapa jenis jerangkap samar yang digunakan oleh tentera vietkong. Melihat sendiri keadaan jerangkap samar itu cukup mengerikan kerana terbayang bagaimana mangsa yang terkena perangkap tersebut. Jika anda ke bumi saigon, pastikan anda mengunjungi Chu Chi Tunnel sebagai melengkapkan syarat anda ke Vietnam.

Peluang merasai rifel AK47, boleh tahan tendangannya kuat juga.

Saya berpeluang berkunjung ke kawasan penduduk muslim di Vietnam dan berkesempatan untuk melawat Madrasah Al Nur yang berada di tengah bandar Ho Chi Minh. Di Ho Chi Minh cuma ada sekitar 300 keluarga muslim dan keseluruhan masyarakat Islam di Vietnam sekitar 70,000 orang. Purata penduduk di Vietnam adalah sekitar 90 juta penduduk, jika dilihat dari segi angka penduduk muslim disana terlalu kecil jumlahnya. Madrasah Al Nur ini berada didalam masjid bernama Thanh Buong Hoi Giao Jamiul Anwar, ianya adalah sebuah madrasah yang mengajar agama bagi anak-anak penduduk Islam disana yang mana pelajarnya sekitar 200 orang. Di madrasah inilah penduduk-penduduk Islam disini dan sekitarnya belajar agama. Di Vietnam, segala aktiviti keagamaan hanya dibenarkan dilakukan di masjid sahaja.

Penduduk Islam di Ho Chi Minh City mengamalkan mazhab yang sama di Malaysia iaitu mazhab Syafie. Di sini Islam banyak dipengaruhi oleh masyarakat Islam dari Pattani, Thailand dan ada yang datang dari Kelantan yang dahulunya merupakan masyarakat Cham. Sebagai kaum minoriti di bumi sendiri, sememangnya banyak perbezaan cara mengamalkan Islam itu sendiri dan terpaksa bersaing untuk survival komuniti yang kecil dalam kelompok majoriti agama lain. Di sini, laungan azan tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara. Jika anda ke Vietnam, eloklah juga ziarah saudara seagama kita disini untuk mengenali mereka dengan lebih dekat.

Pintu masuk ke terowong bawah tanah, hanya saiz tubuh badan bersaiz sederhana.
Pintu masuk ke terowong bawah tanah, hanya saiz tubuh badan bersaiz sederhana.
Selipar yang diperbuat dari kulit tayar kenderaan. Kalau mengikut ceritanya, selipar ini cara pakainya terbalik, ianya bertujuan utk mengelirukan musuh apabila terjumpa tapak kaki.
Selipar yang diperbuat dari kulit tayar kenderaan. Kalau mengikut ceritanya, selipar ini cara pakainya terbalik, ianya bertujuan utk mengelirukan musuh apabila terjumpa kesan tapak selipar.
Antara jenis-jenis jerangkap samar yang dipamerkan.
Antara jenis-jenis jerangkap samar yang dipamerkan.
Dihadapan muzium perang.
Dihadapan muzium perang.
Dihadapan madrasah An-Nur
Dihadapan madrasah An-Nur
Rahmat disebalik musibah

Rahmat disebalik musibah

Kunjungan ke negara Aceh yang pernah mengalami gempa bumi dan tsunami adalah satu pengalaman yang begitu menginsafkan. Walaupun sudah 7 tahun musibah itu berlalu, namun kesan-kesannya masih bersisa dan ada yang dikekalkan oleh kerajaan aceh untuk renungan bagi generasi akan datang dan juga pengunjung luar yang datang ke Aceh.

Empat hari tiga malam ketika berada di bumi Aceh terlalu banyak perkara yang membuatkan jiwa saya tersentuh. Kejadian tsunami yang telah meragut lebih kurang 230 ribu nyawa membuatkan saya berasa begitu kerdil di hadapan Allah dan menunjukkan betapa berkuasanya Allah, hanya dengan sekelip mata boleh melenyapkan nyawa yang begitu besar jumlahnya, tiada yang mustahil di sisi-Nya.

Menurut Pak Irwan yang menjadi pemandu pelancong rombongan saya dan juga pembantu Ustaz Zulfikar di Maahad Daarut Tahfiz, sebelum terjadinya tsunami berlaku 2 kali gempa bumi. Pertama tidak begitu kuat kemudian disusuli gempa kedua yang amat kuat iaitu berukuran 9.2 scala richter. Dalam keadaan yang kelam kabut,  tiba-tiba datang pula tsunami besar yang menyebabkan semua orang ketika itu menjadi panik.  Masing-masing melarikan diri tanpa menghiraukan apa yang ada di hadapan. Apa sahaja yang berada di hadapan ketika itu sama ada manusia yang menghalang terus dilanggar atau dipijak, pagar terus dirempuh, sawah terus diredah walau sedalam mana pun yang penting ketika itu nyawa mesti diselamatkan.

Bersama Pak Irwan (kiri)
Bersama Pak Irwan (kiri)

Menurut kata Pak Irwan lagi, ketika tsunami datang ada bersama-sama yang hanyut berupa wang tunai dan ada juga peti yang berisi emas, tetapi ketika itu tiada seorang pun peduli dan mengambilnya. Ya, saat itu tiada siapa yang memikirkan kesenangan duniawi, semuanya ingin menyelamatkan diri masing-masing. Keinsafan terus menyelinap di dalam diri.

Kata Pak Irwan, ketika itu tiada siapa yang tidak menangis dari kecil hingga ke orang tua semuanya menangis. Selama ini tidak solat, selepas kejadian terus rajin solat. Kejadian tsunami benar-benar menginsafkan semua penduduk aceh.

Ustaz Zulfikar, pengasas Maahad Daarut Tahfiz turut berkongsi pengalamannya ketika kejadian tsunami. Pada pagi subuh itu Ustaz Zulfikar mengimami solat subuh berjemaah di masjid Bustanul Jannah, ketika membaca surah al-Hajj ayat 1-2 nafasnya terputus sehingga mengulanginya tiga kali. Ayat tersebut bermaksud:

“Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu; Sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal Sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya.”

img_8680
Ustaz Zulfikar sedang bercerita pengalamannya

Selepas solat subuh Ustaz pulang ke rumah untuk tidur kerana semalaman berjaga. Sampai di rumah rupa-rupanya bapa dan ibu mertuanya juga tidak tidur semalaman kerana anaknya yang baru lahir menangis sepanjang malam. Ustaz memohon izin pada bapa mertuanya untuk tidur dahulu. Ketika sedang nyenyak tidur ustaz dikejutkan dengan gegaran kuat, lantas bangun dan teringatkan surah yang dibacanya ketika mengimami solat subuh pagi tadi lantas mencari isterinya.

Ketika bertemu, ustaz Zulfikar berasa lega kerana isterinya sedang memegang erat anaknya. Mereka bergegas keluar dari rumah. Datang gempa yang kedua lebih kuat dari yang pertama. Ketika itu, Ustaz Zulfikar melihat kedai yang berada di hadapan rumahnya bergoyang bagaikan daun pisang.  Semua duduk kerana tidak mampu untuk berdiri dan berjalan. Andai ada yang berjalan pastilah akan terhoyong hayang kerana goncangan yang begitu kuat. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud;-

“dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk.”
(Surah al-Hajj ayat 2)

Apabila gempa berhenti, ustaz Zulfikar terus masuk ke rumah untuk melihat keadaan di dalam rumahnya. Dilihatnya pinggan mangkuk berserakan, almari tumbang dan banyak harta benda yang musnah. Tiba-tiba terdengar jeritan orang di luar,

“Air laut naik! Air laut naik!”.

Ustaz bergegas keluar rumah, dilihatnya dari arah laut datang air besar bergulung-gulung yang membawa bersamanya pokok dan rumah. Ustaz terus memapah isterinya yang masih dalam pantang manakala ibu mertuanya pula menggendong anaknya, sementara bapa mertuanya pula hanya berpaut pada tiang di tepi rumah. Seraya berkata;

“Kamu pergi selamatkan diri, tinggalkan aku disini. Aku sudah tua tidak larat berlari.” Pesan ayah mertua Ustaz.
Dengan hati yang berat ustaz Zulfikar meninggalkan bapa mertuanya yang berdiri di atas pagar tepi rumah dan berpaut pada tiang.

Air laut naik sehingga paras lutut bapa mertuanya. Situasi cemas itu menghilangkan rasa lelah, entah dari mana datangnya tenaga untuk berlari memapah isteri, sawah separas lutut diredah. Lari dan terus berlari ke arah bukit berdekatan yang jaraknya lebih kurang 5 kilometer dari rumah. Air laut terhenti setakat dikaki bukit. Bukit ketika itu dipenuhi dengan ramai orang yang menyelamatkan diri.

Menurut cerita Ustaz Zul, air laut mulai surut pada waktu tengahari dan Ustaz Zul terus pulang ke rumah untuk melihat keadaan bapa mertuanya.

“Alhamdulillah, bapa mertua saya selamat dan masih berpaut pada tiang di hadapan rumah. Di halaman rumah saya ada 7 mayat yang bergelimpangan.”

Benarkah bencana yang menimpa rakyat Aceh ini satu musibah disebabkan kemurkaan Allah? Tidak layak rasanya untuk menghukum, kerana hikmah disebalik kejadian ini pastilah hanya Allah SWT Maha Mengetahui. Tidak semestinya musibah beerti kemurkaan Allah dan demikianlah juga pada setiap nikmat yang diberi Allah adalah tanda ia dimuliakan.

Kapal ini terdampar di salah sebuah rumah penduduk Aceh
Kapal ini terdampar di salah sebuah rumah penduduk Aceh

Prof. Quraish Shihab dalam kenyataannya menyatakan, “Sebenarnya sesuatu yang menimpa itu tidak selalu buruk. Hujan bisa menimpa kita dan itu dapat merupakan sesuatu yang baik. Memang, kata musibah konotasinya selalu buruk, tetapi boleh jadi apa yang kita anggap buruk itu sebenarnya baik, maka Al-Quran menggunakan kata ini untuk sesuatu yang baik dan buruk.”

Firman Allah yang bermaksud:-
“…boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah ayat 216)

Ada tiga golongan manusia dalam menghadapi musibah:
1. Orang yang menganggap bahwa musibah adalah sebagai hukuman dan azab kepadanya. Sehingga, dia selalu merasa sempit dada dan selalu mengeluh.
2. Orang yang menilai bahwa musibah adalah sebagai penghapus dosa. Ia tidak pernah menyerahkan apa-apa yang menimpanya kecuali kepada Allah SWT.
3. Orang yang meyakini bahwa musibah adalah ladang peningkatan iman dan takwanya. Orang yang seperti ini selalu tenang serta percaya bahwa dengan musibah itu Allah SWT menghendaki kebaikan bagi dirinya.
Saya yakin rakyat Aceh ada jawapannya tersendiri dalam merungkai hikmah disebalik kejadian tsunami ini.

Ketika di sana, saya dibawa oleh pak Irwan ke Muzium Tsunami Aceh. Muzium yang dibangunkan oleh kerajaan Aceh adalah sebagai mengabdikan kenangan peristiwa kejadian gempa bumi dan tsunami. Muzium ini dibangunkan pada tahun 2009, ianya telah direka oleh arkitek Indonesia Ridwan Kamil.

Bentuk muzium ini jika dilihat dari jauh berbentuk sebuah kapal. Di dalam muzium ini terdapat simulasi gempa, gambar-gambar mangsa korban dan kisah-kisah dari mangsa yang terselamat. Apa yang menarik ketika di muzium ini iaitu ketika melalui pintu masuk kami melalui satu lorong yang dihujani dengan hujan gerimis dan suasana suram. Menurut pak Irwan beginilah keadaan cuaca ketika sebelum terjadinya gempa dan tsunami.

Muzium tsunami dari jauh kelihatan seperti sebuah
Muzium tsunami dari jauh kelihatan seperti sebuah kapal laut

Tempat-tempat lain yang dibawa oleh pak Irwan adalah kapal sangkut, makam Syeikh Kuala, Muzium Iskandar Muda, anak-anak yatim tsunami, Maahad Daarut Tahfiz dan perkampungan Jackie Chan.

Perkara yang agak menarik perhatian saya adalah lawatan ke perkampungan Jackie Chan (aktor filem Hong Kong). Kampung persahabatan Indonesia-Tiongkok yang lebih terkenal dengan Kampung Jackie Chan terletak di lereng bukit Desa Neuheun, Kecamatan Mesjid Raya, Aceh Besar, sekitar 17 kilometer dari Banda Aceh.Kenapa ia dipanggil Kampung Jackie Chan? Tetapi yang membangunkannya adalah pemerintah Tiongkok? Menurut ceritanya dana untuk membangunkan perkampungan ini adalah daripada Jackie Chan sendiri.

Perlaksanaan projek untuk pembangunan ini dilakukan oleh kontraktor dari Tiongkok, yakni Synohydro Coorporation China, yang dirasmikan 19 Julai 2007. Menurut kisahnya lagi Jackie Chan sendiri turut turun padang untuk membangunkan perkampungan ini.Pemerintah Tiongkok membangunkan lebih kurang 606 unit rumah dengan kawasan seluas 22.4 hektar untuk mangsa tsunami.

Bergambar dihadapan Maahad Daarut Tahfiz Ustaz Zul
Bergambar dihadapan Maahad Daarut Tahfiz Ustaz Zul

Pembangunan perkampungan ini merupakan hasil kesepakatan pemerintah Indonesia dengan pemerintah Tiongkok saat Presiden berkunjung ke negeri itu pada 28 Julai 2005. Kesepakatan itu dilanjutkan oleh penyumbang masyarakat Tiongkok bekerjasama dengan Kabupaten Aceh Besar ianya juga termasuk dalam hal memilih lokasi. Lokasi yang strategi iaitu di lereng bukit amat menarik. Berada di ketinggian sekitar 300 meter dari paras laut, dan juga jaraknya lebih kurang 1.5 kilometer dari pantai membuat kedudukan kampung itu amat strategik dari tsunami serta memiliki permandangan yang menarik. Berada di puncak bukit Desa Neuheun ini semuanya nampak indah. Laut, pantai, perlabuhan, perkampungan, dan gunung seakan sambung-menyambung. Panorama dari atas bukit benar-benar mempersonakan. Di sini juga dibangunkan prasarana seperti masjid, klinik, kedai, taman permainan dan lain-lain lagi.

Suasana di perkampungan Jackie Chan
Suasana di perkampungan Jackie Chan

MasyaAllah, mungkin ini adalah satu sindiran dari Allah. Allah telah mencampakkan rasa simpati dan membuatkan hati Jackie Chan yang beragama buddha ini boleh tersentuh hati dengan peristiwa tsunami dan sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membangunkan perkampungan buat mangsa tsunami yang dikatakan menelan belanja hampir USD 7 juta.

Saya tertanya, dimanakah perginya hartawan muslim? Apapun, semoga Allah memberikan taufik dan hidayah buat saudara Jackie Chan untuk memeluk agama Islam. Peristiwa tsunami ianya ibarat rahmat disebalik musibah buat penduduk Aceh.