Browsed by
Category: Tasauf

Sikap Orang Kita Bila Mendengar Berita

Sikap Orang Kita Bila Mendengar Berita

Lambakan maklumat di media sosial sudah tidak lagi mampu ditahan-tahan. Bercampur dengan yang benar dengan rekaan. Apakah sikap kita dengan keadaan ini? Apakah begitu mudah kita menyebarkannya tanpa meneliti kesahihannya benar atau tidak. Mari kita sama-sama lihat kupasan dari mufti wilayah persekutuan mengenai ‘Konsep Tabayyun dan Penerimaannya’. Sebelum itu mari kita lihat video dibawah.

 

Definisi Berita dan Tabayyun

Menurut kamus Dewan edisi keempat berita bermaksud perkhabaran laporan tentang sesuatu hal atau kejadian. Mengikut tafsiran para ulama, tabayyun berasal daripada perkataan arab yang bermaksud mesabitkan dan menyemak asas kebenarannya.

Tafsir Ayat 6 Surah al-Hujurat

Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perkara ini menjadi salah satu agenda al-Quran di mana Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat: 6)

Imam Ibn Kathir berkata : Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan mewaspadainya supaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyakan ahli tafsir menyebut turunya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’ith ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq.[1]

Imam al-Syaukani rahimahullah berkata: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adakah memeriksa dengan teliti yang dimaksudkan dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” Lihat Fathul Qadir (5/65).

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT mendidik hamba-hamba-Nya yang mukmin dengan sifat sopan yang berguna bagi mereka dalam soal agama atau dunia. Berhubung perkara ini apabila mereka dihampiri oleh seorang fasik yang terang-terangan meninggalkan syiar agama dengan membawa sesuatu berita hendaklah tidak terus mempercayainya sehinggalah betul-betul mendapat kepastian dan berusaha mengetahui perkara yang sebenarnya tanpa bersandar kepada ceritanya semata-mata. Ini disebabkan orang yang tidak ambil kisah melakukan kefasikan tentu tidak kisah pula untuk berbuat dusta kerana dusta memang termasuk cabang kefasikan. Langkah ini perlu diambil supaya jangan sampai orang mukmin menimpakan bencana ke atas kaum yang tidak mereka ketahui keadaan mereka, yang mana nanti mereka akan menyesal di atas perbuatan terlanjur yang mereka lakukan lalu mereka pun berangan-angan sekiranya perkara ini tidak pernah berlaku.[2]

Syed Qutb berkata: ‘Perbuatan meragui secara mutlaq terhadap segala sumber dan segala berita adalah bertentangan dengan dasar kepercayaan yang seharusnya wujud diantara individu kelompok yang beriman, dan melumpuhkan perjalanan kehidupan dan peraturan dalam masyarakat Islam , sedangkan Islam membiarkan kehidupan masyarakat itu berjalan mengikut perjalanan tabi’enya dan Islam hanya mengadakan jaminan dan kawalan untuk memelihara perjalanan kehidupan itu sahaja bukan untuk melumpuhkan. Inilah contoh dasar kebebasan dan pengecualian dalam menangani sumber berita.‘[3]

Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran.

Sebab itulah dalam Surah al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuhkan hukum atau kesimpulan sebagaimana yang disebut ayat 12 dalam surah yang sama: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.

Berita Dan Cara Penerimaannya.

Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran. Kegagalan mengamalkan tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramat di dunia dan akhirat. Inilah diisyaratkan Allah dalam Surah al-Hujurat ayat keenam sebagaimana ulasan di atas.

Justeru dalam berhadapan dengan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat begitu canggih masa kini, umat seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan mahupun berkongsi satu-satu berita.

Di samping itu juga, pemberitaan atau perkhabaran yang mudah diterima pada hari ini melalui Facebook, emel, twiter, surat khabar, majalah atau sebagainya tidak pasti akan ketepatan dan kesahihan maklumat. Perkara ini amat penting bagi kita semua, kerana perkhabaran atau berita yang tidak mempunyai asas atau dalil, menjadikan kita hanya sebagai manusia yang diibaratkan seperti tin yang kosong, bunyi yang kuat tetapi tidak mempunyai maklumat atau berita yang sia-sia sahaja.

Tambahan dari itu juga, medium ini seperti WhatsApp, Facebook, emel dan sebagainya dijadikan tempat untuk memburukkan seseorang individu, penyebaran berita palsu yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama manusia. Oleh itu satu kaedah menyatakan:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.

Kaedah fiqh yang lain ada menyatakan;

اَلْبَيِّنَةُ عَلَى المُدّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Beban bukti itu adalah atas pendakwa dan sumpah itu atas yang mengingkari.”[4]

Kaedah ini seharusnya difahami dan diteliti maknanya secara mendalam oleh setiap masyarakat kerana kaedah ini merupakan satu garis panduan dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Perkara ini amat penting dan mesti diberi penekanan oleh pihak yang berwajib terutamanya dan seluruh masyarakat agar segala berita atau maklumat yang ingin di sampaikan atau disebar luaskan, mempunyai asas kebenaran yang kukuh.

Kesan Berita Tanpa Tabayyun

Perpaduan atau tali persaudaraan yang telah dibina selama ini mampu dileraikan atau diputuskan akibat daripada maklumat serta berita yang disampaikan ini tidak tepat dan dusta. Agenda menfitnah, menipu dan membuka aib orang lain begitu mudah untuk disebarkan berlandaskan segala ruangan yang ada sangat mudah untuk dilayari seperti internet, Facebook, YouTube dan sebagainya.

Semua laman ini amat berbahaya kepada kita, sekiranya ruangan ini dijadikan sebagai medan untuk melakukan perkara sedemikian.

وَاتْرُكِ القَالَ وَ القِيلَ

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang orang kata, dan apa yang dikatakannya.

Di samping itu juga, sekiranya tabiat sebegini yang disemai di dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini, maka keamanan, persaudaraan dan masyarakat harmoni hanyalah menjadi satu harapan atau angan-angan yang tidak berkesudahan. Oleh itu, penekanan kepada semangat untuk mencari dan menyampaikan kebenaran perlu ditekankan dan diteruskan. Perlunya kita mempunyai Fiqh al-Khabar Wa al-Istikhbar yang benar-benar memahami realiti berita dan cara mendapatkan maklumat agar tidak tersalah atau menyimpang dari asas kebenaran.

Peringatan Oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan di dalam kitabnya “Al-Halal Wa Al-Haram” di mana Rasulullah SAW bersabda:

شِرَارُ عِبَادَ اللهِ المَشَّاؤُونَ بِالنَمِيمَةِ، المُفَرِّقُونَ بَيْنَ الأَحِبَّةِ، البَاغُونَ لِلبُرَءاءِ العَيْبَ

Maksudnya: ‘Sejahat-jahat hamba Allah SWT ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah belah antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencatatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.‘ (Riwayat Imam Ahmad)

Pada hakikatnya apabila Islam berperanan untuk melenyapkan permusuhan dan mendamaikan antara dua orang yang berselisih faham, juga membenarkan pendamai itu menyembunyikan apa yang didengar dari kata-kata yang buruk, yang dikatakan seseorang itu kepada yang lain, dan menambah pula kata-kata yang baik dari mulutnya sendiri, yang tidak didengarnya dari salah seoarang antara kedua dalam suatu hal atau perkara, kerana hal tersebut dinyatakan di dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ بِكَذَابٍ مَنْ أَصْلَحَ بَيْنَ اثْنَينِ فَقَالَ خَيْرًا أَوْ نَمَّى خَيْرًا

Maksudnya: ‘Tidaklah dikira berdusta, siapa yang mahu mendamaikan antara dua orang yang berselisih, lalu dikatakannya segala yang baik-baik atau dia menambah apa yang baik.’

Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak perandakan hubungan antara satu sama yang lain supaya hancur binasa.

Orang seperti ini tidak hanya cukup untuk menyampaikan apa yang didengarnya sahaja, malahan perasaan ingin memporak perandakan yang ada pada diri mereka itu akan mendorong mereka untuk menambah sesuatu benda yang lain daripada apa yang mereka dengar, iaitu dengan mencipta sesuatu yang tidak didengarnya itu.

إِنْ يَسْمَعُوا الخَيْرَ أَخْفَوْهُ, وَإِنْ سَمِعُوا شَرّاً أَذَاعُوا وَإِنْ لَمْ يَسْمَعُوا كَذِبُوا

Maksudnya: ‘Jika dengar baik mereka sembunyikan, sebaliknya dengar yang buruk mereka hebahkan, jika tidak dengar, lalu dusta.

Suatu ketika seorang lelaki datang kepada Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah, lalu dia menyampaikan sesuatu yang tidak baik tentang seorang temannya. Lalu Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah berkata kepadanya: Sekarang kami terpaksa menyiasat perkara ini! Jika kamu dusta, maka kamu termasuk dalam golongan orang yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

Maksudnya: ‘Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.‘ (Surah al-Hujurat: 6)

Jika sekiranya kamu bercakap benar, maka kamu tergolong dalam kumpulan orang yang dikatakan dalam firman Allah SWT:

هَمَّازٍ مَّشَّاءٍ بِنَمِيمٍ

Maksudnya: ‘Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)’ (Surah al-Qalam: 11)

Tetapi, jika kami memaafkan kamu dengan syarat kamu tidak akan melakukannya lagi? Lelaki itu menjawab: Maafkan sahaja, hai Amirul Mukminin, saya tidak akan mengulanginya lagi perbuatan itu.[5]

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Ketika Hajjatu al-Wada’ (Haji Perpisahan), Nabi SAW bangun berkhutbah di hadapan khalayak ramai yang berkumpul di Padang Arafah, katanya:

فَإِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَدْ حَرَّمَ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ، إِلاَّ بِحَقِّهَا، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا ‏

Maksudnya: ‘Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan darah kamu, harta benda kamu maruah kamu, seperti keharaman hari kamu ini, pada negeri kamu ini.’ Riwayat al-Bukhari (6785)

Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa Rasulullah SAW mengingatkan kita berkaitan hubungan sesama Muslim untuk memelihara harta benda, maruah dan jiwa raga yang termasuk dalam Maqasid al-Syariah.

Hendaklah kita fahami yang bahawa fitnah merupakan senjata yang paling tua dan kuno telah digunakan dalam peperangan. Ia lebih dahulu daripada senjata konvensional seumpama keris, pedang, lembing serta panah dan lain-lain.

Sejarah membuktikan setiap tamadun manusia telah tercatat bagaimana fitnah digunakan sebagai senjata saraf yang paling berkesan dalam melemahkan serta menumpaskan musuh. Akibat dan natijahnya boleh memberi kesan yang mendalam yang berpanjangan sehingga diwarisi oleh ganerasi kemudian.

Justeru, sebelum kita menerima satu-satu berita atau ingin menyampaikannya maka pastikan dahulu kesahihan berita tersebut atau sesuatu kenyataan itu. Ini kerana jika kita alpa dan lalai dibimbangi ramai yang tercedera dan boleh memusnahkan bukan sekadar individu tetapi masyarakat dan negara.

Hakikatnya permainan dari sudut persepsi dan khabar angin yang ditelan bulat-bulat oleh yang tidak mempunyai maklumat yang secukupnya akan mengundang pelbagai petaka dan bahaya. Semoga Allah selamatkan kita dan menjadikan kita benar-benar memahami realiti dan situasi semasa berkenaan dengan pemberitaan.

Penutup

Allah SWT berfirman :

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Maksudnya: ‘Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.’ (Surah al-Ahzab: 58)

Sesungguhnya, seberat-berat cara yang mencemari kehormatan seseorang ialah menuduh wanita-wanita beriman yang suci dari perkara keji dengan menuduh wanita itu melakukan kejahatan. Ini jelas menunjukkan tuduhan seperti ini akan menimbulkan bahaya yang besar ke atas kehormatan diri dan saudara mara tertuduh serta akan merosakkan masa depannya dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi jika berita itu sampai kepada mereka yang gemar menyebarkan berita buruk ini kepada masyarakat Islam seluruhnya.

Oleh itu, Nabi SAW menghitung perbuatan ini termasuk dalam kategori tujuh dosa-dosa besar yang membahayakan di mana al-Quran al-Karim melarang sama sekali mereka yang terlibat dengan seksaan yang amat pedih.

Marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari sejarah yang panjang betapa sesebuah pemerintahan jatuh berpunca dari fitnah penyebaran maklumat yang tidak betul dan boleh menghuru-harakan keharmonian sesebuah negara. Semoga Allah selamatkan kita dan juga negara kita dari sebarang musibah, bencana dan juga hal yang boleh menyebabkan runtuhnya negara kita.

Akhukum Fillah,

Datuk Dr Zulkifli bin Muhammad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan,
20 Mei 2015 bersamaan 1 Sya’ban 1436.

*Dikemaskini pada: 13 Ogos 2015

Sumber : www.muftiwp.gov.my

ANTARA DUA SABAR

ANTARA DUA SABAR

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam menyeru agar kita bersabar dengan cara yang baik.

Firman Allah:
“Bersabarlah dengan cara yang sebaiknya” (Al-Maarij:5)

Melalui ayat ini Allah menyatakan bahawa sabar itu baik dan indah.

Lihatlah bagaimana Nabi Yaakub menyatakan kesabarannya terhadap segala apa yang dialami adalah baik. “Bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya”. (Yusuf: 18)

Melalui sifat sabar yang dinyatakan ini, kita boleh membahagikan sabar kepada 2 bahagian:
1-Bahagian pertama: Sabar yang negatif iaitu sabar yang tidak diuruskan dengan baik. Oleh itu seorang yang beriman tidak boleh berpegang kepada sifat sabar ini.

Sabar negatif yang dimaksudkan adalah bersabar dalam keadaan:
* berputus asa
* kecewa
* hilang keazaman dan cita-cita untuk bangkit semula
* melihat masa depan yang gelap

2-Bahagian kedua: Sabar yang positif
Inilah sabar yang sepatutnya dimiliki oleh seorang mukmin yang berpegang teguh dengan apa yang ingin dicapai.

Inilah sabar yang:
* mengerakkan, mengaktifkan dan menguatkan keazaman kita.
* memberikan motivasi agar terus berusaha
* bersama-samanya cita- cita yang ingin dicapai.
* telah membangkitkan dan menggerakkan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam serta memberikan motivasi kepadanya untuk mencapai kejayaan dalam tugasan dan mesej yang dibawanya.

Wahai saudaraku yang penyabar,
Janganlah bersabar sabar yang negatif. Tetapi bersabarlah dengan sebaik-baiknya. Ikutlah model sabar yang ditunjukkan oleh Rasulullah yang merupakan ikutan yang terbaik.

-Syeik Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi. BERINTERAKSI DENGAN AL-QURAN
@nota_tasawwuf🌸

ZIKIR YANG MARTABAT DARI ALLAH DAN DENGAN ALLAH…

ZIKIR YANG MARTABAT DARI ALLAH DAN DENGAN ALLAH…

Menurut Syekh Ibnu Atha’ilah, boleh jadi ketika seorang hamba diam tak berzikir, kalbu yang bertempat di dadanya akan segera bergerak meminta zikir seperti gerakan anak di perut ibunya. Kalbu manusia ibarat Isa ibn Maryam as., sementara zikir adalah susunya. Ketika besar dan kuat, ia akan menangis dan berteriak kerana rindu pada zikir dan objeknya (Allah).

Zikir kalbu ibarat suara lebah. Ia tidak terlalu nyaring dan menganggu, tetapi tidak pula terlalu samar tersembunyi. Ketika objek zikir (Allah) sudah bersemayam dalam kalbu dan zikir itu menjadi samar dan tak tampak, maka sang penzikir takkan lagi menoleh pada zikir dan kalbu. Tapi, kalau ia masih menoleh pada zikir atau pada kalbunya, bererti masih ada hijab.

Keadaan saat seseorang tidak lagi memperhatikan zikir dan kalbunya disebut keadaan fana. Dalam keadaan seperti itu, ia melenyapkan dirinya sehingga tak lagi merasakan keberadaan anggota tubuhnya dan sifat-sifat dirinya lagi, mahupun hal-hal lain di luar dirinya, ataupun lintasan-lintasan jiwanya.

Semua itu ghaib dari dirinya dan dirinya juga ghaib dari semua itu untuk bergegas menuju Tuhan lalu lenyap di dalam-Nya. Seandainya masih terbersit dalam benaknya bahawa ia sedang dalam keadaan fana bererti suasana fananya masih bercampur noda dan belum sempurna. Yang sempurna adalah kalau ia telah fana dari dirinya sendiri dan fana dari kefanaannya.

Jalan pertama yang harus dilalui seorang salik adalah pergi menuju Allah. Sebab, petunjuk hanya milik Allah. Seperti dikatakan Nabi Ibrahim as., “Aku pergi menghadap kepada Tuhanku. Dialah yang akan memberi petunjuk kepadaku.” (Q.S. al-Shaffat [37]: 99).

Ketika pergi menuju Allah telah mantap dan berlangsung secara berterusan sampai menjadi kebiasaan yang melekat kuat, naik mikrajlah ia menuju alam yang paling tinggi seraya menyaksikan hal hakiki yang paling suci.

Gambaran alam Malaikat tertanam kuat dalam dirinya dan kesucian dialam Lahut tampak jelas di hadapannya. Hal pertama yang tampak di alam tersebut adalah substansi malaikat serta alam roh para Nabi dan Wali-Wali dalam bentuk yang sangat indah.

Dengan perantaraannya, ia bisa mengetahui berbagai hakikat yang ada. Itulah yang terdapat di awal perjalanan sampai pada tingkatan yang sulit digambarkan. Dalam segala sesuatu al-Haq tampak secara jelas. Inilah hasil dari esensi zikir.

Tahap pertama adalah zikir lisan. Kemudian zikir kalbu yang cenderung diupayakan dan dipaksakan. Selanjutnya, zikir kalbu yang berlangsung secara sempurna, tanpa perlu dipaksakan lagi. Serta yang terakhir adalah ketika Allah sudah berkuasa di dalam kalbu serta sirnanya zikir itu sendiri.

Inilah rahsia dari sabda Nabi saw., “Siapa ingin bersenang-senang di taman syurga, perbanyaklah mengingat Allah.” Juga sabda Nabi saw., “Zikir diam (khafiy) tujuh puluh kali lebih utama daripada dzikir yang terdengar oleh para malaikat pencatat amal.”

—Syekh Ibnu Atha’illah dalam Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah

Tn. Ir Alias Hashim Asy-Syattariyyah
@nota_tasawwuf🌸

DUA TANDA CINTA DAN BENCI ALLAH SWT KEPADA KITA

DUA TANDA CINTA DAN BENCI ALLAH SWT KEPADA KITA

imagesDalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Nabi Musa a.s. berkata sesuatu kepada Tuhan, “Wahai Tuhanku, bagaimana saya dapat membezakan antara orang ya­ng Engkau cintai dengan orang yang Engkau benci?’

Allah Swt. menjawab, ‘Hai Musa, sesungguhnya jika Aku mencintai seorang hamba, maka Aku akan menjadikan dua tanda kepadanya.’

Musa bertanya, ‘Wahai Tuhanku, apa kedua tanda itu?’ Allah Swt. menjawab, ‘Aku akan mengilhamkan kepadanya agar ia berdzikir kepada-Ku agar Aku dapat menyebutnya di kerajaan langit dan Aku akan menahannya dari lautan murka-Ku agar ia tidak terjerumus ke dalam azab dan siksa–Ku.

Hai Musa, jika Aku membenci seorang hamba, maka Aku akan menjadikan dua tanda kepadanya.’

Musa bertanya, ‘Wahai Tuhanku, apa kedua tanda itu?’ Allah Swt. menjawab, ‘Aku akan melupakannya berzikir kepada-Ku dan Aku akan melepaskan ikatan antara dirinya dan jiwanya, sehingga ia terjerumus ke dalam lautan murka-Ku sehingga ia merasakan siksa-Ku.’”

-Imam Al-Ghazali dalam Al-Mahabbah

Ir. Alias Hashim Zawiyah AsSyattariyyah
@nota_tasawwuf🌸

zikir… zikir… dan teruskan berzikir wahai sahabat

zikir… zikir… dan teruskan berzikir wahai sahabat

Rasulullah SAW bersabda, “Tiada suatu kaum yang duduk sambil berdzikir kepada Allah melainkan mereka akan dikelilingi oleh malaikat, diselimuti oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka di hadapan makhluk yang ada di sisi-Nya.” (HR. Bukhari).

Rasulullah juga bersabda, “Tiada suatu kaum yang berkumpul sambil mengingat Allah dimana dengan perbuatan itu mereka tidak menginginkan apa pun selain diri-Nya, melainkan penghuni langit akan berseru kepada mereka, ‘Bangkitlah, kalian telah diampuni. Keburukan-keburukan kalian telah diganti dengan kebaikan-kebaikan’.” (HR. Ahmad).

Sungguh luar biasa kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Manfaat dzikir yang sedemikian luar biasa bagi kehidupan dunia-akhirat kita senantiasa Allah ulang-ulang di dalam kitab-Nya agar kita terus menerus mengamalkannya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً

“Hai orang-orang yang beriman, berdzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, dengan dzikir yang sebanyak-banyaknya.” (QS. Al-Ahzab [33]: 41).

Bahkan saat kita selesai sholat pun, Allah tekankan agar kita terus berdzikir kepada-Nya.

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى جُنُوبِكُمْ فَإِذَا اطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَاباً مَّوْقُوتاً

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan shalat, ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring” (QS. An-Nisa [4]: 103).

Malah orang yang berpaling dari berdzikir akan disertakan baginya syaitan dan syaitan akan menjadi teman terdekatnya.

Allah SWT berfirman:

وَمَنْ يَّعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمٰنِ نُقَيِّضْ لَهٗ شَيْطٰنًا فَهُوَ لَهٗ قَرِيْنٌ
“Dan sesiapa yang (hatinya) tidak mengindahkan zikir kepada Allah Yang Maha Pengasih, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
(QS. Az-Zukhruf: Ayat 36).

Marilah kita terus berdzikir agar hati kekal bersama Allah swt dan tidak bersama syaitan…

Keharusan Bertawasul

Keharusan Bertawasul

حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ مُحَمَّدٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيُّ حَدَّثَنِي أَبِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْمُثَنَّى عَنْ ثُمَامَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا قَالَ فَيُسْقَوْن.

Maksud hadith :-
Telah bercerita kepada kami Al Hasan bin Muhammad telah bercerita kepada kami Muhammad bin ‘Abdullah Al-Ansori telah bercerita kepadaku bapaku, ‘Abdullah bin Al Muthannaa daripada Thumamah bin ‘Abdullah bin Anas *daripada Anas radhiallahu ‘anhu bahawa ‘Umar bin Al Khatthab ketika mereka ditimpa musibah musim kering (gersang) dia meminta hujan dengan berwasilah kepada ‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib seraya berdo’a;

اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا
(Ya Allah, kami dahulu pernah meminta hujan kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami kemudian Engkau menurunkan hujan kepada kami. Maka sekarang kami memohon kepada-Mu dengan perantaraan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan untuk kami”. Anas berkata; “Kemudian turunlah hujan. (Hadith riwayat Al-Bukhari : 3434)

Sumber: Jakim

ikhlaskan niatmu

ikhlaskan niatmu

Jika lidah menyebut “sahaja aku…” itu cuma lafaz pada lidah dan belum lagi dinamakan niat. Lafaz itu merupakan cita-cita untuk melakukan sesuatu, mungkin datang dari hati yang benar-benar ikhlas dan mungkin juga merupakan sebuah azam yang wujud kuat ketika itu.

Lafaz juga digunakan untuk mengingatkan diri sendiri supaya niat dibetulkan. Allah SWT itu Maha Mendengar baik diucapkan di lidah mahupun hanya terdetik di hati sedangkan manusia hanya mampu menganalisa ucapan yang terdengar pada telinga. Sering berlaku sesuatu yang kita dengar dan lihat tidak sama dengan hakikat yang sebenarnya.

Read More Read More