Browsed by
Category: Zikir & Fikir

“Tak Kan Kerana Berbeza Pemahaman Terhadap Bid’ah Kita Nak Berpecah??”

“Tak Kan Kerana Berbeza Pemahaman Terhadap Bid’ah Kita Nak Berpecah??”

Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya sebaik baik perkataan adalah kitabullah, sebaik baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad SAW dan seburuk buruk perkara baru itu bid’ah, setiap bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu tempatnya neraka” [HR Muslim]

Hadith diatas merupakan dasar ilmu bagi perbincangan dan perbahasan terhadap bid’ah.

Pengertian dari sudut bahasa, bid’ah disepakati oleh para ulama’ bahawa ia bermaksud “apa sahaja perbuatan melalui perkataan ataupun amalan yang baharu adalah bid’ah”.

Pengertian dari sudut istilah pula, bid’ah difahami serta dihuraikan oleh para ulama’ dalam pelbagai kefahaman menurut ijtihad masing masing. Oleh kerana kepelbagaian kefahaman oleh para alim ulama’ inilah yang menyebabkan wujud kelompok umat islam yang berpegang kepada pendapat tertentu sahaja sehinggakan berlaku perpecahan.

Mari kita selidiki pandangan para alim ulama’ :

(1) Imam Ibrahim bin Musa As Syatibi (Imam Syatibi) mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ad itu suatu cara dalam agama (akidah dan ibadah) yang direka menyerupai syariat syariat dan dimaksudkan dalam melakukannya untuk berlebih lebih dalam beribadah kepada Allah SWT.”

(2) Imam Syafie Rahimahullah mendafinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah itu ada dua jenis iaitu bid’ah yang terpuji dan bid’ah yang tercela. Apa apa yang selari dengan sunnah maka ianya bid’ah yang terpuji dan apa apa yang bercanggah dengan sunnah ianya tercela.”

(3) Iz bin Abd Salam mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah ialah sesuatu perbuatan yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW dan ia terbahagi kepada bid’ah wajib, bid’ah haram, bid’ah sunat, bid’ah makruh dan bid’ah harus.”

(4) Imam An Nawawi Rahimahullah mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah pada syarak ialah mengada adakan sesuatu yang tidak ada di zaman Rasulullah SAW dan ianya terbahagi kepada dua bahagian iaitu bid’ah hasanah dan bid’ah qabihah (bid’ah yang keji).

(5) Ibn Al Atsir Rahimahullah mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu bid’ah Huda dan bid’ah Dhalalah.”

(6) Abdul Aziz bin Baz mendefinasi bid’ah sebagai : “Bid’ah ialah ibadat yang baru yang tidak dibawa oleh syariat. Semua bid’ah adalah sesat serta ia tidak ada pembahagian (baik atau buruk).”

(7) Muhammad bin Soleh Al Usaimin mendefinasi bid’ah sebagai : “Dan tidak ada dalam agama bid’ah hasanah selama lamanya, sunnah yang baik ialah perkara yang selari dengan syarak.”

Melalui definasi para alim ulama’ diatas, bid’ah merupakan perkara “ijtihadi” dan bukan perkara “qat’ie” yang mana seseorang boleh memilih pandangan yang mereka suka daripada alim ulama’ dalam memahami bid’ah.

Adalah sama sekali tidak adil bagi golongan yang memilih hanya satu padangan ulama’ sahaja dalam memahami bid’ah dan memaksa orang lain untuk menerima pandangan mereka sahaja.

Contoh : –
Pak Wahab berpegang serta cenderung hanya kepada pandangan Imam As Syatibi dan pandangan Abdul Aziz bin Baz serta menolak langsung pandangan ulama’ lain. Apa yang berlaku, fitnah dan tuduh menuduh diantara Pak Wahab dengan masyarakat yang tidak sepandangan dengan dia.

Pak Dollah pula berpegang serta cenderung hanya kepada pandangan Imam Syafie dan Imam An Nawawi sahaja dan tidak mahu endah kepada pandangan alim ulama’ yang lain. Natijahnya, berlakulah fitnah dan tuduh menuduh diantara Pak Dollah dengan masyarakat yang tidak sehaluan dengannya.

Maka kita melihat pada contoh diatas ini gambaran bahawa mereka bercakaran serta mempertahankan hujah masing masing tanpa berlapang dada terhadap pandangan orang lain yang akhirnya berlakulah perpecahan yang sia sia.

Mana tidaknya , Pak Wahab mengatakan solat tidak perlu baca “Usolli” ia bid’ah dan sesat kerana Rasulullah SAW tidak buat. Maka siapa baca “Usolli” dia adalah sesat dan akan masuk neraka.

Pak Dollah pula mempertahankan hujahnya dengan mengatakan solat boleh baca “Usolli” kerana walaupun Rasulullah tidak buat tetapi dengan membaca “Usolli” ketika hendak solat boleh menarik focus seseorang untuk niat dengan betul. Dan membaca “Usolli” tidak bercanggah dengan syariat dan ia adalah bid’ah hasanah.

Oleh kerana percakaran samada boleh baca “Usolli” atau tidak ini telah memecahbelahkan Pak Wahab dan Pak Dollah. Mereka yang sepatutnya boleh solat berjemaah bersama sama akhirnya solat sendirian yang mana masing masing merasakan solat yang dilakukan itulah yang betul dan diterima oleh Allah. Sedangkan sekiranya mereka ini faham, solat kedua duanya adalah sah dan akan diterima oleh Allah.

Alangkah baiknya sekiranya Pak Wahab dan Pak Dollah berlapang dada masing masing menerima pandangan antara satu sama lain. Sudah semestinya solat boleh dilakukan berjemaah dan mendapat pahala ganjaran yang lebih banyak pula. Diluar solat mereka juga boleh bertukar tukar pendapat tentang memahami bid’ah yang mana akhirnya mereka sama sama memperolehi ilmu kefahaman yang lebih luas lagi tentang permasalahan bid’ah.

Jika diteliti lebih dalam lagi permasalahan terhadap perkara menentukan perihal bid’ah ini, masyarakat telah sekian lama berpecah belah yang membawa kepada pergaduhan yang berpanjangan. Media sosial adalah antara saksi perbalahan dan percakaran mereka. Fitnah memfitnah, tuduh menuduh sehingga kafir mengkafir antara satu sama lain. Masing masing juga menunjukkan hero dengan hujah hujah mereka.

Situasi inilah yang dinanti nantikan oleh pihak yang memusuhi islam. Dan kerana pergaduhan inilah umat islam menjadi lemah dan tidak pula bersatu. Jika datang pelbagai bentuk ancaman pemikiran daripada musuh Islam, ia sudah semestinya tidak dapat ditangani oleh umat islam dalam persefakatan yang kukuh dan akhirnya akan kalah.

Cuba kalian fikirkan, sekiranya permasalahan terhadap menentukan bid’ah ini dihadapi dengan penuh berlapang dada maka walaupun kita berbeza pandangan dalam menentukannya, masing masing tetap dalam keadaan menghormati antara satu sama lain bahkan menjadikan sandaran ilmu dan rujukan juga untuk umat islam yang akan datang.

Para alim ulama’ telah lama berlapang dada terhadap permasalahan dalam menentukan sesuatu perkara tetapi yang mencetuskan ketaksuban dan salah tafsir terhadap sesuatu perkara itu sendiri adalah dari orang orang yang datang selepas mereka sehinggalah ke hari ini.

Perpecahan dikalangan umat islam khususnya di Malaysia wajib dielakkan. Ini kerana kita mendepani masalah yang lebih kronik lagi seperti masalah jenayah dan sosial yang meminta kita mengutamakan penyelesaiannya berbanding perbalahan terhadap bid’ah. Malahan lebih elok juga kita bincangkan perkara seperti bagaimana untuk menangani masalah ramai umat islam yang tidak mahu solat.

Akhir kata :
Jauhilah perselisihan yang boleh membawa kepada perpecahan umat islam. Wallahua’lam

[Fahami Bid’ah Jauhi Perpecahan]

Aku dan wajah kematian

Aku dan wajah kematian

kuburMasih saya ingat pesan ulama, salah satu cara untuk mengingatkan diri kepada kematian ialah dengan mengenangkan saudara, sahabat atau kenalan terdekat yang telah meninggal dunia. Bayangkan wajah mereka. Kenangkan detik-detik terakhir bersama mereka. Dulu dia yang ada di sisi, kini tiada lagi. Itu sesungguhnya akan menginsafkan.

Pesan ulama itu lagi, “jika mereka telah pergi, resapkan ke dalam hati mu sendiri bahawa kau juga pasti menyusul. Ingat mati itu ‘zikir yang senyap’. Apabila hati semakin keras, keinginan dan godaan untuk melsayakan dosa kian membuak-buak, ingatlah mati… hati mu akan lembut kembali.”

Bila direnung wajah kematian, terasa sangat aneh dan misteri. Betapa ada insan yang dirasakan  akan hidup lama, tetapi mati dengan tiba-tiba. Dan betapa ada insan yang dijangka tidak mempunyai harapan lagi, tetapi mampu terus bertahan dan hidup lebih lama. Cerita mati, cerita yang misteri. Detik tibanya ajal adalah rahsia seni Ilahi. Terlindung, tanpa dapat ditebak. Tersembunyi, tanpa dapat diagak. Itulah wajah kematian, pemutus segala kelazatan, mencantas  impian dan harapan.

Dari diari kehidupan ku sendiri, saya cuba mencoret beberapa kisah tentang wajah kematian.

I.

Saya mulakan dengan cerita pertama, mesejnya: Bagaimana mati itu pemutus segala cita-cita dan harapan:

“Bagaimana ustaz, apakah wajar tindakan saya ini?”

Saya senyum, lalu saya tepok bahunya.

“Tahniah. Kamu anak yang baik, “ kata saya sambil merenung wajah kacaknya. Pemuda yang bekerja sebumbung dengan saya itu turut tersenyum. Jelas terpancar kelegaan pada wajahnya. Dia begitu pasti dengan keputusannya.

Hati saya turut berbangga. Masakan tidak, betapa masih ada seorang pemuda muslim yang rela menangguhkan perkahwinannya demi memberi laluan untuk keselesaan ibu yang dikasihinya.  Sudah semakin sukar untuk kita temui pemuda yang begitu.

“Ibu dan keluarga telah lama berkorban untuk membesar dan mendidik saya. Sekarang, saya pula ingin memberi sedikit kesenangan buat ibu yang telah tua. Bimbang, tidak sempat.  Jadi, saya ambil keputusan menangguhkan sementara perancangan pernikahan saya. Tidak lama… hanya lebih kurang 6 bulan. Apa pendapat ustaz?”

“Sudah istikharah?”

“Sudah…”

“Bagaimana dengan hati mu? Sudah tetap?”

“Hati saya tetap. Tak berbelah bagi. Kebajikan ibu perlu saya dahulukan.”

Begitulah antara isi perbualan kami sepanjang masa rehat menjelang solat Zuhur di surau tempat kami bekerja. Saya sudah menganggapnya seperti anak sendiri, walaupun kesempatan berbual seperti itu cuma datang sekali-sekala. Kami sering sahaja berpapasan, bertukar senyuman dan bertegur sapa. Tapi luar biasanya, perbualan kami tengah hari itu sangat mengesankan. Itulah kali pertama perbualan kami seserius itu. Dia meminta pandangan tentang dilema dirinya.

Namun, tidak sampai sebulan kemudian, tiba-tiba pada saat saya memandu menuju masjid untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan itu, terdengar suara seorang sahabat di hujung talian…menyampaikan berita tentang pemergiannya. Dia meninggal  dunia serta-merta di tempat kejadian apabila motosikal yang dipandunya bergeser dengan sebuah lori. Saya sangat terkejut. Selepas solat maghrib saya terus bergegas ke hospital…dan setelah menunggu beberapa ketika, baru dapat menatap wajah jenazah yang sudah siap dibedah siasat. Pucat sekali…

Tidak dapat saya bayangkan apa agaknya reaksi ibu dan bakal isterinya. Sehingga ke hari ini, apabila teringat sahaja perbualan terakhir kami berdua , air mata saya akan terus mengalir. Izrail, telah mendahului cita-cita dan cintanya! Saya mendoakan niat baiknya akan diberi  ganjaran oleh Allah. Di sisi Allah segala niat baik akan kesampaian. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa niat orang mukmin itu lebih baik daripada amalnya?

II.

Mari saya kongsikan cerita kedua. Mesejnya, mati itu menamatkan semua persoalan dan jawapan.

Dia seorang ahli kumpulan nasyid yang mencipta sejarah  Tanah Air. Saya rapat dengannya lama sebelum dia mencapai tahap populariti seperti itu. Namun, dek pelbagai ujian dan cabaran dalam kehidupan, hubungan kami semakin jarak. Bukan disebabkan oleh apa-apa salah faham atau masalah, tetapi hanya kerana kesibukan dan bidang kerja kami yang berbeza. Dia dalam dunia hiburan Islamiknya. Saya pula sibuk melsayakan pelbagai kerja – pada satu masa, daripada bertugas sepenuh masa sebagai ko-kaunselor, menulis artikel dan skrip, mengambil upah menaip, membuat  serta menjual kuih-muih dan nasi lemak.

Walaupun saya pernah menulis beberapa lirik nasyid untuk kumpulannya lama sebelum mereka tersohor, tetapi cabaran menyara hidup keluarga pada waktu itu begitu getir.  Mungkin itu menyebabkan kami renggang. Ketika dia di puncak, saya masih merangkak.  Walaupun begitu… ada masanya dia masih sudi singgah di meja tepi jalan tempat isteri saya menjual nasi lemak. Menurut isteri, kemesraan dan budi bahasanya masih kekal seperti dulu. Hati saya tetap menyimpan hasrat, mudah-mudahan dapat lagi berbual mesra dengannya seperti dulu-dulu…

Entah apa sebabnya, pada satu malam, ketika bersiap-siap untuk menghantar anak ke kelas malam di sekolah berhampiran, telefon di rumah berdering. Terkejut, rupa-rupanya dia yang membuat panggilan.

“Boleh saya nak berjumpa ustaz sekarang? Ada hal penting yang hendak dibincangkan.”

“Boleh…tapi saya perlu menghantar anak ke kelas malamnya dahulu,”jawab saya.

“Berapa lama tu?”

“InsyaAllah, lebih kurang 10 minit. Saya akan balik semula ke rumah.”

“Oklah,”jawabnya pendek.

Balik sahaja daripada menghantar anak, saya menunggu di tepi telefon. Saya belum mampu lagi memiliki telefon bimbit ketika itu. Saya menunggu dan terus menunggu. Ingin rasanya membuat panggilan, tetapi silap saya juga, tidak tahu nombor telefonnya. Malam itu berlalu tanpa panggilan darinya. Sekali-sekala saya menjenguk keluar tingkap kalau-kalau ada kereta yang singgah. Mana tahu, dia datang membuat kejutan.

Malam demi malam, hari demi hari, dan akhirnya beberapa bulan pun berlalu. Ingatan kepadanya cuma datang sekali-sekala terutamanya apabila telefon berdering. Diakah itu?

Tiba-tiba pada satu pagi, ketika berada di sebuah pusat latihan di tengah belantara, saya mendapat berita tentang pemergiannya. Dia mati mengejut ketika dalam perjalanan dari sebuah tugasan. Masih muda. Masih bertenaga. Masih membara dan menyala oleh jiwa kreatif dan inovatifnya dalam bidang yang diminatinya sejak lama. Namun maut, mana mengenal itu semua…Manusia merancang penuh harapan, Allah menentukan penuh kepastian.

Tanpa punya kenderaan dan kesempatan, saya yang berada jauh ketika itu hanya sempat mendoakan agar rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Sehingga sekarang, hati saya masih tertanya-tanya, apakah perkara penting yang hendak dikongsinya bersama saya pada malam itu? Mengapa dia tidak membuat panggilan semula? Mengapa dia terus menyepi? Pelbagai tanda tanya terus ternganga tanpa siapa pun dapat menjawabnya hingga kini…

Maut, begitulah tabiatnya. Tidak tercepat, tidak terlambat, walau sesaat. Ia menamatkan semua persoalan dan meranapkan segala jawapan. Bila Izrail sudah memanggil, setiap insan akan sibuk dengan dirinya masing-masing tanpa sempat memikirkan sedikit pun hal-hal yang lain. Hari kematiannya itulah yang jauh lebih besar, dahsyat dan hebat berbanding hari-hari istimewa sepanjang kehidupan kita.

III.

Ini cerita terakhir, cerita yang menghiris hati ku sehingga kini. Mesejnya, mati tidak kenal erti tunggu dan nanti.

Dia dan saya bukan sekadar besan tetapi sudah menjadi semacam sahabat yang akrab. Jarang bertemu, kerana saya tinggal di tengah, dia pula…nun di Selatan Tanah Air. Namun sekali bertemu, kami jadi sangat mesra. Seperti adik dan abang. Setiap kali bertemu saya akan menjadi pendengar setianya. Mendengar cerita lamanya sebagai peneroka tanah pertanian yang asalnya hutan belantara. Berbekalkan sabit, cangkul, parang dan sebagainya dia menerangi hutan.

Di situlah dia membina ‘istana’ buat keluarga yang dicintainya. Di tanah itulah dia ‘bertarung’ dengan segala cabaran dan kesusahan. Duri, ular, binatang buas dan sebagainya.  Semuanya diceritakannya satu persatu. Kesusahan, apabila sudah menjadi kenangan, akan membuahkan satu kepuasan. Kepuasan itulah kemanisan. Sambil bercerita, dia akan sibuk menyuruh saya makan, minum dan menjamu apa sahaja untuk meraikan kedatanganku.

“Ustaz, saya tidak ada ilmu…yang ada cuma pengalaman. Saya bekerja pakai tenaga, pakai otot, ilmu agama sekadarnya, tetapi cukuplah itu untuk mengenalkan anak-anak kepada agamanya. Isteri sayalah yang banyak mengajar anak-anak. Dia lebih banyak ilmu daripada saya,” begitulah selalu kata-kata yang diulang-ulang kepada saya. Bila sudah tua, kita akan cenderung menceritakan kisah yang sama berulang-ulang. Orang tua tidak ada cerita baru, yang ada hanya cerita lama yang masih baru dalam kenangan dan ingatannya. Untuk menyayangi mereka… cukup hanya dengan mendengar!

Saya masih ingat kali terakhir bertemunya, dia telah begitu uzur. Tidak mampu lagi melangkah kecuali dalam jarak yang dekat-dekat. Tetapi kemesraan kami berdua tetap hangat. Sambil dia bercerita, saya urut-urut tangannya. Kulit dan otot yang kendur itu umpama kanvas yang telah melukiskan segala perjuangan dan pahit getirnya membina sebuah keluarga yang stabil dan berjaya seperti yang sedang dinikmati oleh anak-anak, menantu dan cucu-cucunya sekarang. Kadangkala dia menangis sambil bercerita. Saya hanya mampu menahan sebak di dada.

“Ayah sunyi. Ayah semakin uzur,” kata menantu lelaki saya apabila saya bertanya khabar tentang ayahnya . Saya diam, itulah juga yang mula saya rasakan sekarang. Sunyi…kerana tidak ada lagi berita, cerita atau langkah baru. Usia tua bagaikan satu ‘raptai’ untuk tinggal di alam Barzakh. Tanpa amal, solat, sedekah, Al Quran, sebagai pendamping… hidup ‘di sana’ pasti sunyi. Justeru, saya bukan sahaja memahami bahkan merasai, kesunyian besan saya itu. Lalu setiap kali ke Selatan, jika punya masa dan kesempatan, saya akan menziarahinya di daerah pedalaman itu.

Saya masih ingat lagi pada suatu program latihan dan kuliah saya ke Selatan waktu itu. Saya betul-betul dalam dilema.  Oleh sebab terlalu ingin bertemu, saya ada membayangkan kepada menantu lelaki yang saya akan singgah menziarahi ayahnya. Saya tahu itu khabar gembira dan sangat dinanti oleh ayahnya. Namun, setelah melihat jadual yang padat… seakan-akan mustahil untuk saya memenuhi hajat itu.

Bayangkan, selepas memberi kuliah pada waktu pagi sampai tengah hari, dan perlu bergerak ke lokasi agak jauh pada waktu petang, dan perlu kembali semula ke Kuala Lumpur untuk program pada pagi berikutnya.

“Beritahu ayah,  mungkin  kami tak dapat singgah kali ini,”beritahu saya kepada menantu melalui telefon. Teman yang menjadi pemandu di sebelah saya mengangguk-angguk sama.   Dia juga keletihan. Program kami sangat padat. Saya penat melaksanakan program latihan, memberi kuliah dan mengendalikan sesi soal-jawab, manakala dia pula letih memandu berjam-jam di samping mengendalikan semua peralatan teknikal.

“Tidak mengapa, 2 minggu lagi kita akan ada program lagi di selatan. Kita boleh ziarah nanti, insyaAllah,” ujar pembantu saya menyedapkan hati saya. Agaknya dia boleh membaca keresahan di wajah saya. Saya mengangguk perlahan. Tetapi, entah mengapa hati saya masih resah.

Malam itu setelah tamat program kami berkejar pulang ke Kuala Lumpur. Esoknya, awal pagi saya terus mengendalikan program lagi. Mujur tidak jauh. Di sekitar Lembah Kelang juga. Hari-hari berikutnya, program latihan terus kami kendalikan. Inilah rutin yang saya istilahkan sebagai ‘tidak sempat letih’… (untuk merasa letih pun tidak sempat.)

Seingat saya tidak sampai 4 hari selepas program di Selatan itu, tiba-tiba pada satu senja saya mendapat panggilan daripada menantu, “ayah sakit kuat. Sekarang sudah berada di hospital.” Bayangkan, saya mendapat panggilan itu sebelum masuk waktu maghrib dan saya dijadualkan akan memberi kuliah selepas itu. Untuk tidak menghampakan ahli jemaah yang begitu ramai datang (ada majlis kenduri sempena maulidur Rasul atau maal hijrah…saya sudah tidak berapa ingat), saya memberi kuliah juga. Cuma setengah jam…saya mohon pada pengerusi untuk segera bergerak ke Selatan.

Sebaik masuk ke dalam kereta yang telah sedia menunggu di perkarangan masjid, saya terus berkata, “jom kita terus ke Selatan!” Semua ahli keluarga yang ada di dalam kereta menyepi. Senyap dan bungkam. Tiba-tiba, anak seorang anak lelaki saya bersuara perlahan…tetapi sangat jelas didengar, “ayah, Pak cik telah meninggal dunia sebentar tadi!”

Semacam luruh seluruh anggota saya. Saya menangis teresak-esak. Sebak. Sungguh ini tidak saya jangka. Tidak saya pinta. Namun, siapalah saya…untuk mohon menangguhkan kematian orang lain sedangkan kematian sendiri pun nanti, pasti saya tidak mampu minta penangguhannya.

Apabila sampai di rumah Allahyarham beberapa jam kemudian, saya hadir seperti orang yang bersalah dan kalah. Saya tidak dapat menahan tangis sewaktu solat jenazah dan mengiringi jenazahnya ke pusara. Selain saat pemergian ibu mertua dan ayah saya sendiri, itulah saat yang paling sedih dalam hidup saya. Saya mula memikirkan, apalah yang saya cari dan buru dalam hidup ini? Apabila saya lihat liang lahad tempat wajahnya bersentuh tanah, saya terus menangis… kenikmatan walau sebesar langit dan bumi, segala-galanya akan berakhir di sini.

Lebih menyedihkan apabila saya mendapat berita dari seorang anaknya yang meluahkan, “ ayah sebenar-benar sangat sedih bila ustaz tak jadi datang. Dia berkata, tak apa ustaz tu sibuk….bukan senang dia nak atur masa…”

“… Tetapi walaupun setelah berkata begitu, ayah masih dan terus berharap. Dia bergerak sekali-sekala ke depan rumah dan matanya menoleh pandang ke jalan raya di hadapan rumah, kami tahu, dia masih berharap ustaz datang…dia masih terus menanti,”sambungnya lagi.

Lalu apa yang saya rasa sebagai insan yang paling malang? Menghampakan harapan orang sesungguhnya lebih menyakitkan. Rasa bersalah yang menusuk pedih hingga ke saat ini. Jauh di sudut hati, menjerit-jerit mahu meminta maaf…namun pada siapa? Di mana? Bagaimana?  Sungguh saya berjanji pada diri, saya tidak akan berani lagi ‘bermain-main’ dengan mati… yang tidak pernah mengenal istilah tunggu dan nanti.

Lalu, ketika saya menulis artikel ini, yakni ketika sunyi-sunyi sendiri, ketika mendidik diri supaya sentiasa mengingati mati, saya tulis peringatan buat hati sendiri:

“Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita tidak akan tega untuk terus bersengketa.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan menghargai setiap pertemuan.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan bersedia memaafkan bahkan melupakan.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan menekuni ketaatan dan meminggirkan kemaksiatan.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan banyak memberi dan kurang menerima.

Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan memandang segalanya penuh cinta…penuh hiba! “

Ah, itulah kisah saya dengan wajah-wajah kematian orang. Akan tiba jua masanya kisah kematian saya pula ditulis orang… sudikah?

Pahrol Mohd Juoi
www.genta-rasa.com

“Terima kasih sebab buatkan kami kaum lelaki membayangkan colour breast anda”

“Terima kasih sebab buatkan kami kaum lelaki membayangkan colour breast anda”

Mesej ini saya dapat sebulan lepas. Saya delete dan biarkan seen. Selang beberapa saat, beliau menghantar satu lagi mesej.

” Jaja lah lagi gambar tangan dan jari yang lawa tu. Biar kami pandang dengan bernafsu “.

Masa tu saya rasa ‘tercabar’, orang gila mana ni hantar mesej bodoh dan biadap ? Saya try masuk ke akaun facebooknya tapi hampa, sikitpun gambar tidak ada di upload, status satu pun tiada. Saya klik button BLOCK. Biar p mampos lah kau manusia!!!!

Sebelum itu, saya nak bagitahu percayalah ini adalah pengalaman yang pernah saya alami.

Kalau kalian perasan, saya memang tak upload muka atau wajah. Tapi saya rajin upload gambar tangan. Pegang buku, pegang stering kereta, pegang pasport nak fly, pegang pen, pegang tiket ktm, pegang novel, pegang bunga, pendek kata pegang apa sekalipun saya akan bagi tengok tangan saya yang kononnya putih melepak dan gebu siap jari runcing lagi !

Bertahun-tahun saya dapat pujian, asal upload ja mesti ada yang komen,

Subhanallah ! Tangan je pon dah lawa.

Masya Allah cantiknya jari akak !

Subhanallah, runcing je jari dia !

I think you are a beautiful woman !

Walaupun yang komen tu majoritinya perempuan, tetapi sesekali ada juga 2,3 komen lelaki yang turut terselit di situ. Biasanya komen lelaki saya akan padam. Tapi kalau lah nak dibongkar messenger saya sekarang, sungguh ! Ramai lelaki yang tegur mengenainya.

Dulu saya pernah dapat teguran dari seorang lelaki, perlu ke upload tangan tu ? Saya balas apa masalah ? Sedang dalam mazhab syafie sendiri tangan bukanlah bahagian anggota yang DIHARAMKAN SAMA SEKALI.

Saya teruskan hidup macam biasa, tak melayan manusia yang hatinya konon penuh dengan negatif walhal saya rasa hati saya ini yang kotor dan negatif tak terima teguran orang.

Pernah juga ada lelaki hantar gambar jari saya di inbox dan meminta izin untuk save ? Saya tanya untuk apa ? Dia jawab dah awak upload, kami bebila ja save lagi-lagi kalau dah admire. Masa tu saya terus block. Sesiapa saja yang tegur saya tentang tangan jari saya rasa panas.

Ada juga yang berhemah,
” Delete lah jari tu. Tak elok walau ia antara anggota yang dibolehkan untuk dilihat “.

Ada juga yang memang gatal bunyinya,

” Cantik cari ukhtie. Jari pun jarilah “.

Semua mesej saya delete dan BLOCK.
Bagi saya sikit pun tidak ada salahnya nak upload. Tangan aku hak aku. Lagipun bukan aurat. Itulah yang ada di fikiran saya beberapa tahun lalu.

Sehinggalah saya didatangi oleh seorang lagi hamba Allah sebulan yang lepas, beliau berterima kasih sebab dari jari saya katanya dia dapat bayangkan colour breast saya. Saya tak tahu sama ada saya yang salah atau dia yang salah. Sama ada saya yang bodoh atau dia yang bodoh.

Saya luahkan semua pada ummi, dan ummi menjawab jujur,

” Betul. lelaki otaknya kita takleh jangka “.

Satu malam, saya menangis-nangis macam orang gila. Mengenang segala kebodohan sampai mata bengkak, banyak yang saya muhasabah ketika itu. Saya teringat kembali satu persatu kitab-kitab dan wasiat-wasiat yang telah saya pelajari di pondok bersama para murabbi. Sebak ! Sakit ! Pedih ! Sampai terketar-ketar suara saya beristigfar.

Kalaulah Rasulullah tahu.
Kalaulah Rasulullah nampak.

Betapa saya ini kononnya solehah tapi nama saya ada terdetik di hati para lelaki di luar sana, bayangan saya ini difikirkan oleh lelaki di luar sana, solehah ka ? Saya amat malu melihat aksi-aksi wanita berniqab hari ini. Kita boleh lihat di insta atau fb, Saya akui saya tak sempurna banyak kesilapan, aib, cela, buruk dan segala kekotoran di hati hanya Allah yang tahu.
Saya tak salahkan mereka yang tak mempunyai ilmu sebelum memakai niqab, tapi saya salahkan diri saya yang tak ada kesungguhan bimbing mereka.

Saya selalu berfikir, kalau perempuan free hair pun aku dah failed dakwah inikan pula perempuan bertutup ?

Saya nangis kadang-kadang bila stalk instagram muslimat sekarang. Kadang kita rasa apa yang kita upload tu bukannya aurat, tanpa kita sedar kita seperti ‘membuka’ peluang untuk mereka ‘mengenali’ satu per satu apa yang ada di anggota badan kita ini.

Saya selalu mempertahankan kesalahan dengan mengatakan saya BUKANNYA MAKSUM ! Tanpa saya lihat ‘kebaikan’ dalam nasihat itu sendiri. Guru kami ada kata, orang yang soleh ni walaupun dia banyak amal dia tetap takut tidak diterima amalnya sedangkan kita ini masih ketawa walaupun amalan tiada.

Ya Allah.

Betapa nak capai title solehah ini bukan calang-calang orang boleh dapat. 😢

Kalau terkenang cerita ustaz semasa beliau di Tarim, lagilah nak nangis sungguh-sungguh. Wanita di sana sangat terpelihara. Satu kehinaan bagi mereka jika lelaki memandang mereka dengan tajam dan tenung lama.

Ya Allah sungguh kami banyak dosa Ya Allah.
Ampunkan kami.

Sama-sama lah kita delete apa yang patut delete. Kalau tak sanggup, letaklah only me. Memang kadangkala apa yang kita buat tak haram, tapi kita tak sedar ia mengundang kepada datangnya ‘haram’.

Kucing mana yang tak terkam ikan di depan mata ? La hawla wala quwata illa billah, moga saja bila mati, Rasulullah sudi terima kita dan mengakui yang kita ini adalah umatnya. Allahumma solli ala sayyidina muhammad. 😢

Bagaimana mungkin selembar daun yang kecil dapat menutupi bumi yang luas ? Sedangkan menutup telapak tangan saja sudah begitu sukar. Tapi kalau daun kecil itu melekat di mata kita, maka tertutuplah bumi dengan daun.

Begitu juga bila hati ditutupi fikiran buruk, hatta sekecil manapun. Maka kita akan melihat keburukan dimana-mana, bumi ini sekalipun akan tampak buruk. Maka janganlah menutup mata kita, walaupun dengan hanya daun yang kecil. Janganlah menutup hati kita dengan sebuah fikiran buruk, walaupun cuma sehujung kuku.

Yang paling mengenali kita selepas Allah, mencintai kita, menyayangi kita, memahami kita, mengasihi kita, mengigati kita, dan menerima kita ialah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasalam. Maka jangan biar kita hidup ini sia-sia kerana usia yang berbaki adalah ‘tanggungjawab’ kita. 😢

Allahumma ajirna’ minan nar ya Allah.
Ya Allah ampunkan kami. 😢

Demi Allah, saya merayu kurangkanlah upload gambar.

Tak payah lebih baik. 😊

Sumber: whatsapp grup

Syuhada, Qari, Guru ke neraka?

Syuhada, Qari, Guru ke neraka?

api2Abu Hurairah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahualaihi wassalam bersabda, Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu ia pun mengenalinya. Allah bertanya kepadanya, Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu? Ia menjawab, Aku berperang semata-mata karena Engkau sehingga aku mati syahid.

Allah berkata, Engkau dusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang dirimu). Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (tertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka.

Selanjutnya Rasulullah Sahallahu alaihi wa sallam melanjutkan sabdanya, Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya.

Kemudian Allah menanyakannya, Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu? Ia menjawab, Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya serta aku membaca al-Quran hanyalah karena Engkau. Allah berkata, Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang alim (yang berilmu) dan engkau membaca al-Qur-an supaya dikatakan seorang qari (pembaca al-Qur-an yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu). Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka.

Rasulullah Sahallahu alaihi wa sallam menceritakan orang selanjutnya yang pertama kali masuk neraka, Berikutnya (yang diadili) adalah orang yang diberikan kelapangan rezeki dan berbagai macam harta benda. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengenalinya (mengakuinya). Allah bertanya, Apa yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat itu?

Dia menjawab, Aku tidak pernah meninggalkan shadaqah dan infaq pada jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata karena Engkau. Allah berkata, Engkau dusta! Engkau berbuat yang demikian itu supaya dikatakan seorang dermawan (murah hati) dan memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu). Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeretnya atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka, (Hadits ini diriwayatkan oleh Muslim, dan derajadnya Shohih).

3 Golongan Pembaca Al-Quran

3 Golongan Pembaca Al-Quran

KUALA LUMPUR 20 MARCH 2016. Peserta membaca Al-Quran pada Majlis Himpunan 20,000 Huffaz dan Perasmian Gabungan Persatuan Institusi Tahfiza Al-Quran Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Ibn al-Qudamah menukilkan riwayat, dari al-Hasan rahimahullah, bahawa beliau menyebutkan:

قُرَّاءُ الْقُرْآنِ ثَلاثَةٌ :

Pembaca-pembaca al-Quran itu ada tiga:

رَجُلٌ اتَّخَذَهُ بِضَاعَةً ،

(Golongan Pertama) Orang yang mengambilnya bagaikan barang dagangan,

يَنْقُلُهُ مِنْ مِصْرٍ إِلَى مِصْرٍ ،

Dibawanya dari satu tempat ke satu tempat,

يَطْلُبُ بِهِ مَا عِنْدَ النَّاسِ ،

Dengannya mereka mencari (ganjaran atau kedudukan dari) apa yang dimiliki manusia.

وَقَوْمٌ قَرَأُوا الْقُرْآنَ : حَفِظُوا حُرُوفَهُ ، وَضَيَّعُوا حُدُودَهُ ،

Dan, (Golongan Ke-2) Kaum yang membaca al-Quran, menghafal huruf-hurufnya, tetapi melanggar batasan-batasannya,

وَاسْتَجَرُّوا بِهِ الْوُلَاةَ ، وَاسْتَطَالُوا بِهِ عَلَى أَهْلِ بِلادِهِمْ ،

Mereka meminta upah dari bacaannya kepada para pemimpin, dan mereka menyusahkan dengannya (yakni: dengan hafalan alQuran mereka) warga masyarakat di negeri mereka.

فَقَدْ كَثُرَ هَذَا الضَّرْبُ فِي حَمَلَةِ الْقُرْآنِ ،

Semakin ramai golongan sebegini di kalangan pembawa (yang membaca dan menghafal) al-Quran.

قَالَ الْحَسَنُ : لا كَثَّرَهُمُ اللَّهُ ،

Al-Hasan berkata (menambah dengan doa): Semoga Allah tidak menambah ramaikan mereka.

وَرَجُلٌ قَرَأَ الْقُرْآنَ ، فَبَدَأَ بِمَا يَعْلَمُ مِنْ دَوَاءِ الْقُرْآنِ ، فَوَضَعَهُ عَلَى دَاءِ قَلْبِهِ ،

Dan (Golongan ke-3) Orang yang membaca al-Quran, lalu dia mulakan dengan apa yang dia ketahui sebagai ubat dari al-Quran, lalu diletakkannya (dengan membacanya) untuk (menyembuhkan) penyakit di dalam hatinya.

فَأَسْهَرَ لَيْلَهُ ، وَهَمِلَتْ عَيْنَاهُ ، وَتَسَرْبَلُوا بِالْحُزْنِ ، وَارْبَدُّوا بِالْخُشُوعِ ،

Lalu, dia menghidupkan malamnya, dan (bacaan al-Quran) membasahkan kedua matanya. Mereka diselubungi kesedihan, dan mereka dibaluti kekhusyukan,

وَرَكَدُوا فِي مَحَارِيبِهِمْ ، وَخَنُّوا فِي بَرَانِسِهِمْ ،

Dan mereka kekal di tempat-tempat beribadah mereka, dan mereka bersembunyi di sebalik jubah besar mereka (dari dilihat orang).

فَبِهِمْ يَسْقِي اللَّهُ الْغَيْثَ ، وَيُنْزِلُ النَّصْرَ ، وَيَدْفَعُ الْبَلاءَ ،

Lalu, dengan (sebab) mereka (yakni: hubungan mereka dengan al-Quran), Allah turunkan hujan, dan menghantarkan bantuan pertolongan, serta menghalang bala (dari menimpa),

وَاللَّهُ لَهَذَا الضَّرْبُ فِي حَمَلَةِ الْقُرْآنِ أَقَلُّ مِنَ الْكِبْرِيتِ الأَحْمَرِ

Demi Allah, untuk golongan ini, dari para pembawa (yang membaca dan menghafal al-Quran, (mereka ini sangat sedikit,) lebih sedikit dari belerang merah (satu bahan yang sangat jarang dan sukar ditemui).

[ar-Riqqah wal-Buka’]

Sumber: http://bit.ly/1UmaGmW

Menghayati keindahan Supermoon dari sudut pandang Rasulullah

Menghayati keindahan Supermoon dari sudut pandang Rasulullah

Pasti ramai yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena supermoon malam tadi. Supermoon atau lebih dikenali dengan nama saitifiknya iaitu Lunar Perigee adalah satu fenomena bulan penuh yang kelihatan lebih besar dan terang. Fenomena ini mengakibatkan kedudukan bulan menjadi lebih dekat dengan Bumi berbanding biasa. Bulan sebenarnya berputar dalam paksinya yang berbentuk bujur dan bukannya bulat. Ada masanya bulan akan berada dekat dengan Bumi dan kejadian ini akan mencetuskan fenomena supermoon.

Jarak yang dekat dengan Bumi dipanggil perigee dan jarak yang jauh dengan Bumi dipanggil apogee. Apabila bulan berada pada kedudukan perigee, bulan akan berada lebih dekat dengan Bumi dan kesannya bulan akan nampak lebih besar dan lebih bercahaya.

Foto ini diambil dari langit Eka Matahari, Negeri Sembilan

Namun, saiz sebenar bulan masih sama cuma apa yang berlaku adalah kesan ilusi yang juga dikenali sebagai ilusi bulan yang akan menyaksikan bulan menjadi besar ketika menghampiri ufuk.

Apa pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil dari fenomena yang kita lihat semalam?

Dari Jarir bin Abdillah al-Bajali radhiallahu’anhu, beliau berkata, “Kami sedang duduk bersama Rasulullah shalallahu’alaihi wa salam saat beliau melihat bulan di malam badar, beliau shalallhu’alaihi wa salam bersabda:

“Sesungguhnya kalian akan melihat Tuhan kalian seperti kalian melihat bulan ini, tidak membahayakan kalian saat melihatnya. Jika kalian mampu untuk tidak meninggalkan sholat sebelum terbit dan terbenamnya matahari maka lakukanlah” (HR. Bukhari no. 554 dan Muslim no. 632).

Kita berpeluang melihat Allah didalam syurga seperti mana melihat bulan di langit. Permandangan bulan itu sangat indah, jiwa yang memandang pasti akan tenang serta leka menikmati akan keindahannya. Lebih-lebih lagilah keadaan ahli-ahli syurga bila dapat menatap wajah Allah. Malah lebih indah yang tidak tergambarkan oleh kita keindahannya.

Supermoon sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah, walaupun supermoon itu hadirnya dan keindahannya tidak dapat dinikmati selalu. Tetapi tidaklah bagi Allah, Dia sentiasa wujud dan sentiasa terzahir kewujudannya dalam hati hambaNya yang sering mengingatinya setiap turun naik nafas. Limpahan kasih sayang yang terzahir dalam mengingatinya lebih indah dari menghayati keindahan bulan.

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (ar-Ra’d:28)

Dalam ayat lain Allah Ta’ala juga berfirman,

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

“Muka mereka (orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Rabbnya mereka melihat.” (Al-Qiyamah: 22-23)

Ibnu Katsir dalam tafsirnya terhadap ayat di atas menjelaskan, “Orang mukmin akan melihat Rabbnya secara nyata dengan mata kepala mereka, hal ini sebagaimana terdapat dalam hadist riwayat Bukhari rahimahullah,

‘Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian dengan mata kalian sendiri.’ (HR. Bukhari no. 485).

Kita ni hamba Allah atau hamba Ramadhan?

Kita ni hamba Allah atau hamba Ramadhan?

Alhamdulillah syukur, Allah tolong kita untuk dapat melaksanakan ibadah puasa kali ini. Hari raya adalah tanda kegembiraan kita kerana berjaya melaksana ibadah puasa, itupun kerana pertolonganNya, Alhamdulillah.

Kita sedia maklum, bagi pengguna-pengguna smartphone macam kita ni, talian agak sibuk sehari dua sebelum raya dan raya pertama. Penuh whatsapp dengan ucapan raya, meriah juga kan. Sampai kita ni kenalah buat ayat skema sikit untuk meng copy paste kan mesej yang dah siap dikarang untuk membalas ucapan-ucapan raya yang datang berduyun-duyun. Allahurabbi, inilah dia peralihan zaman yang kita terpaksa tempuh. Suatu ketika dulu, jangan mimpilah abang-abang posmen nak dapat cuti awal beraya, selagi tak settle hantar kad-kad raya yang berkoyan-koyan tu selagi itulah abang-abang posmen kita tak boleh nak cuti. Tapi zaman tu dah berlalu, walaupun saya ni dulu bukanlah jenis rajin menghantar kad raya, tapi bila dah dapat kad raya kawan-kawan tu terpaksalah balas juga. Mana tidaknya, kalau dah penghujung ucapan raya tu ada pulak pantun. Pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas… dah tu tak reti-reti nak membalasnya ke? kenalah beli kad raya nak membalasnya. Allahuakbar, nostalgia betul kan.

Antara banyak-banyak mesej dalam whatsapp yang diterima, ada satu ucapan yang berunsur nasihat membuatkan saya merenung tentang bait-bait nasihatnya. Biasa dengar dah sebelum-sebelum ni, cuma kali ini saya cuba ambil serius.

“Jadilah Hamba kepada Allah Jangan Jadi hamba kepada Ramadhan…. Amalan Pasti Berterusan. Bukan terhenti Selepas Ramadhan.”

Lama saya renungkan. Saya mula akur dengan nasihat ini. Ketika ramadhan tiba, semangat untuk melaksanakan ibadah tu jangan cakaplah kan, lebih-lebih lagi bila malam pertama ramadhan. Melimpah-melimpah jemaah yang hadir untuk solat terawikh. Solat Subuh pula kalau di surau dan masjid tu lebih ramai dari hari biasa. Semangat nak bertaddarus pun begitu juga dan juga sedekah serta amalan-amalan lain. Semangatnya lain macam untuk melaksanakan bermacam-macam ibadah dibulan ramadhan ni. Tapi bila berlalunya ramadhan, semuanya kembali seperti sebelum ramadhan… saya mula memikir apakah sebabnya? Apakah benar kita ni hamba ramadhan?

Apa erti sebenar hamba? Kalau menurut huraian dari Wikipedia, perkataan hamba berasal dari bahasa Mesir Purba Hem (Hm), yang bermaksud ‘tubuh’. Sistem hamba abdi ini telah wujud sejak berkurun lamanya. Misalnya piramid di Mesir, telah dibina oleh golongan ini.

Dalam segi penggunaan dalam dunia Melayu, hamba dibahagi kepada dua, iaitu hamba abadi – iaitu hamba yang kelak sepanjang hayat dan hamba – termasuk dapat ditebus selepas membayar hutang dan juga merangkumi golongan hamba abadi.

Mengikut huraian lainnya pula, hamba bermaksud budak suruhan. Hanya patuh dan taat mengikut apa sahaja arahan dari tuannya.

Berbalik kepada nasihat yang disebutkan sebelum ini, ‘jangan jadi hamba ramadhan, jadilah hamba kepada Allah’. Segala amalan yang dilaksanakan yang kita pulun sungguh-sungguh ketika hadirnya ramadhan seolah-olah kerana suruhan ramadhan? Ramadhan tuan dan kita pula hambanya, patuh dan taat apa yg disuruh? Seolahnya begitukah? Atau disebabkan dorongan kelebihan beramal di bulan ramadhan yang mendorong kuat kita untuk beramal bersungguh-sungguh? Mungkin ramai yang setuju dengan kenyataan ini, bahawa kita beramal bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan kerana fadhilat dan kelebihan yang ada pada Ramadhan itu sendiri. Adakah nasihat yang diberikan itu hanya bahasa kiasan, yang mengatakan bahawa beramal bersungguh-sungguh hanya di bulan ramadhan ibarat seperti hamba ramadhan? Jadinya kita beramal KERANA RAMADHAN…. Jadi, apabila ramadhan berlalu maka habislah KERANA RAMADAN itu? Betul kah begitu??? Hanya dengan KERANA itu, maka bila selesai KERANA itu, maka berakhirlah semuanya. Adakah betul begitu ya? Aduh macam pening ayatnya…

Oklah persoalannya sekarang, bagaimana nak betulkan KERANA itu? Sudah tentulah kita sekarang nak betulkan KERANA itu hanya untuk DIA (ALLAH).

Baiklah saya nak lihat dari sudut lain pula. Apabila berakhirnya ramadhan kita akan menghadapi dua musuh berbanding satu sahaja bila tiba ramadhan. Dua musuh itu iaitu NAFSU dan SYAITAN. Bila menjelang ramadhan tiada lagi syaitan, yang tinggal nafsu sahaja… menghadapi satu musuh lebih mudah daripada menghadapi keduanya sekali gus. Apakah ini salah satu faktor pendorong atau penyebab kita lebih mudah melaksanakan ibadah dari bulan-bulan lain dek kerana tukang hasut dah dirantai?

Ada pula orang cakap, kenapa ada juga orang buat dosa di bulan puasa ni? Syaitan kan ke dah kena ikat. Jawapan saya, syaitan ni pun cerdik cik abang cik akak… selama sebelas bulanlah dia dok pulun tarbiyah dan menghasut nafsu kita, lagipun sebulan je dia cuti… jadi kalau dah selama sebelas bulan tu nafsu kita dah serasi dengan maksiat hasil didikan syaitan, maka syaitan bolehlah relaks. Senang contohlahkan macam ni, ops sebelum tu nak minta maaf bagi perokok ye… hehe, sebab ambil contoh seorang perokok. Asal mula orang merokok ni (tidak semua) mulanya atas pelawaan kawan-kawan yang merokok juga, mula-mula tu atas ajakan. Bila dah lama-lama dah mula rasa nikmatnya merokok kawan yang mengajak tu pun dah tak perlu nak mengajak lagi dah, kita pun pandai sendiri pegi beli rokok dan hisap. Sama lah juga macam syaitan ni, mula-mula dia ajak dulu buat maksiat. Bila dah rasa seronok buat maksiat syaitan tak payah nak penat-penat hasut dah. Betul tak? Jadinya, bila tiba bulan ramadhan tu walau syaitan dah dirantai, orang yang dah terbiasa buat maksiat macam tiada apa-apa lah. Maksiat boleh on macam biasa tak gitu?

Berbalik kepada perbincangan asal kita pasal hamba ni. Ramadhan sebenarnya adalah sebagai alat manifestasi cinta Khaliq kepada hambanya. Lagi sekali saya ulang Ramadhan itu sebagai ALAT untuk Tuhan melahirkan rasa sifat Rahman dan RahimNya. Senang macam ni lah bagi nak mudah faham, pembaca yang budiman pasti pernah bercintakan? Kalau tak pernah saya no komen. Baiklah, saya nak cerita pengalaman saya senang sikit (cerita orang yang dah berkahwin ye). Dalam tempoh setahun bagi sayalahkan ada 2 hari istimewa yang saya sambut, yang pertama hari ulangtahun perkahwinan dan kedua hari lahir isteri saya. Biasanya pada hari tersebut saya akan beli bunga dan juga berserta hadiah iringan. Apa istimewanya dua hari tersebut? Pertama, sebab itulah tarikh bersejarah saya disatukan dengan isteri dan yang keduanya sebab tarikh lahir isteri saya. Jadi sebagai tanda kasih sayang, saya belilah hadiah yang kiranya istimewa jugalah untuk meraikan hari tersebut. Jadinya disini, HARI dan HADIAH itu sebenarnya hanyalah ALAT untuk meluahkan rasa KASIH dan SAYANG saya pada isteri. Kalau ada orang bertanya pada saya, perlukah hari tersebut disambut atau diraikan? Jawapan saya PERLU. Sebabnya sebagai untuk membugarkan atau menyegarkan kembali hubungan kasih sayang yang mungkin semakin luntur. Implikasinya nanti kan ke lebih baik selepas itu, kalau dulu khidmat kita dalam keluarga yang mula dah suam-suam kuku akan menjadi hangat semula. Kalau dulu picit-picit tu macam hendak tanak je buat, akan mula bersungguh semula tak gitu? Oklah berbalik cerita asal kita. Jadinya sekarang bolehlah saya misalkan bulan Ramadhan itu sebagai hari istimewa itu, manakala kelebihan beramal di bulan Ramadhan pula adalah bunga dan hadiah istimewa. Jadi sekarang apa yang kita boleh lihat dalam misalan ini? Boleh tak kita sama-sama ubah sekarang KERANA itu tadi? Jadinya adakah patut isteri saya bersungguh-sungguh melaksanakan rasa tanggungjawab dalam rumah tangga kerana dek hadiah yang saya beri? Kan lebih baik kerana saya, kerana suaminya yang dicintainya itu cewahh… kalaulah dek kerana bunga dan hadiah yang saya beri… maka keciwalah saya..

gambar-bunga-rosAllah dah bagi hadiah yang sangat istimewa dengan hadirnya Ramadhan. Allah sayang kita, Allah kasih kita. Dia beri hadiah sangat istimewa sebagai melahirkan kasih sayangNya kepada kita. Apakah wajar kita hanya melihat hadiah yang istimewa itu tanpa melihat si pemberi hadiah itu? Semoga hadiah pemberian yang kita terima itu sebagai alat untuk membugarkan semula cinta kasih antara TUHAN dan HAMBA. Semoga perkataan KERANA kita selepas ini menjadi lebih baik… iaitu KERANA ALLAH. Wallahuaklam…

Kisah yang membuatkan Muaz Ibn Jabal menangis…

Kisah yang membuatkan Muaz Ibn Jabal menangis…

tangisanImam Abdullah bin Al Mubarak radhiAllahu `anhu telah meriwayatkan di dalam kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (iaitu Khalid bin Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz bin Jabal: “Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah sollallahu `alahi wasallam.”

Berkata Rawi hadis tersebut (Khalid bin Maadan) lalu Muaz menangis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata:

Aku mendengar Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam pernah bersabda kepadaku: Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadis jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari kiamat nanti.

Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta`ala telah menjadikan 7 orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi kemudian lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama. Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu bekata malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah:

“Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas.”

Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (Malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, solat, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takkabur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takkabur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, solat, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke langit pintu yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu:

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub (bangga dengan diri sendiri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub terhadap dirinya.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima:

“Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad ia sangat hasad dengki kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasad ini melintasi aku.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada solat, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:

“Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tiada belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku.”

Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu ialah solat, puasa, nafkah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu 3000 orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:

“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat sum’ah (ingin masyhur). Aku akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namaya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya:

“Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas kepadaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui”.

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagiKu apa sahaja yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi”.

“PengetahuanKu atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuanKu atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hambaKu ini menipu Aku dengan amalnya ini?”

“Ia sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalan tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh kerana itu maka Aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.”

Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami sekelian bagi mereka.”

Dan semua yang di langit turut berkata, “Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat”.

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis teresak-esak dan berkata, “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dan apa yang diceritakan ini?”

Sabda Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam, “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan”.

Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya si Muaz bin Jabal (hamba Allah bukan Rasul), bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dan bahaya tersebut?”

Bersabda Rasullullah, “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain”.

“Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabbur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut kepadamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan merobekkan (pecah belah) peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing api neraka jahanam”.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Di neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia”.

Muaz berkata, “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”

Jawab Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam, “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah subhanahu wa ta`ala. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar.”

Kenapa Allah pilih puasa untuk capai darjat TAKWA?

Kenapa Allah pilih puasa untuk capai darjat TAKWA?

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” al Baqarah : 183

Kenapa Allah SWT memilih puasa sebagai alat untuk mencapai darjat takwa? Puasa mempunyai hikmah tersendiri sehinggakan Allah telah memilih puasa sebagai jalan mencapai takwa. “Semua amal anak Adam adalah untuk dirinya sendiri, kecuali ibadah puasa. Maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (dilakukan kerana Aku), maka Akulah yang akan membalas (menilainya).” (HR. Muslim, Ahmad dan An-Nasa’i).

Apa makna TAKWA?

Takwa merupakan masdhar (kata dasar/jadian) dari kata waqa’ yang berarti menghalangi diri dari segala hasrat biologis (Syahwat). Menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan, khususnya hal-hal syubhat, lebih-lebih yang haram.

Dalam bahasa Arab, perkataan ‘takwa’ berasal dari kata kerja ‘ittaqa’ bermaksud ‘berwaspada dan berjaga-jaga’ atau ‘takut kepada Allah dan menjauhi segala larangan-Nya’. Ittaqa juga bermaksud ‘menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara’.

Para ulama telah menjelaskan apa yang dimaksud dengan takwa. Di antaranya, Imam Ar-Raghib Al-Ashfahani mendefinisikan: “Takwa iaitu menjaga jiwa dari perbuatan yang membuatnya berdosa, dan dengan itu meninggalkan apa yang dilarang, menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan”.

Menurut tafsiran Saidina Ali bin Abi Talib ialah takutkan Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan merasa cukup dengan keadaan sedikit serta bersiap sedia setiap masa menghadapi kematian.

Sedangkan Imam An-Nawawi mendefinisikan takwa dengan “Mentaati perintah dan laranganNya.” Maksudnya, menjaga diri dari kemurkaan dan adzab Allah. Hal itu sebagaimana didefinisikan oleh Imam Al-Jurjani “Takwa iaitu menjaga diri dari pekerjaan yang mengakibatkan siksa, baik dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya.”

Imam Ghazali ketika menjelaskan manfaat takwa telah berkata:

“Takwa itu harta terpendam yang berharga sekali jika engkau mendapatnya. Maka seolah-olah berkumpul kebaikan dunia dan akhirat di dalam takwa itu. Dan perhatikan apa yang difirmankan dalam Al Quran mengenai takwa. Banyak sekali Allah memberi keuntungan, pahala yang besar dan keselamatan yang  disandarkan pada sifat takwa.”

Kesimpulannya takwa bermakna menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Rasulullah pernah ditanya tentang takwa oleh para sahabat, Rasulullah SAW menjawab, ‘Takwa ha huna, takwa ha huna, takwa ha huna.’ Takwa disini, takwa disini, takwa disini. Sambil menunjukkan kepada dadanya iaitu hati.

Hati adalah raja bagi tubuh. Maka jika baik hati itu maka seluruh tubuh akan turut baik begitulah juga sebaliknya. Seperti mana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَهً إِذاَ صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّه وَإِذاَ فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّه اَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

“Sesungguhnya didalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah badan seluruhnya. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! itulah hati.”

Merujuk kepada kitab Penawar bagi hati karangan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al mandili ada menerangkan diantara sebab kenapa hati itu perlu dijaga diantaranya ialah kerana

  1. “Allah Ta`ala Maha mengetahui barang yang ada dalam hati kamu, maka hendaklah kita takut daripada mengetahui oleh Allah pada jantung kita akan kejahatan” (Hal. 21, lihat juga maksud ayat 51 surah al Ahzab).
  2. Kerana hati jantung merupakan pemusatan segala-galanya, tempat di mana Allah akan menilik untuk dikira segala amal yang kita lakukan. disebut oleh as Syeikh al Mandili bahawa jantung (hati!) adalah “Raja bagi segala anggota, dan segala anggota itu mengikut ia akan perintah rajanya” ( Hal. 21).
  3. Jantung (hati) itu, “Tempat taruh (menyimpan) bagi segala sifat kepujian seperti iman, ma`rifat, tawakkal, redha dan pengetahuan (ilmu), maka patut sangat bagi petaruhan yang seperti ini bahawa dipelihara akan dia daripada segala kelakuan yang dicela dan dijaga daripada seteru iaitu syaitan” (hal. 22).
  4. “Bahawasanya jantung (hati!) itu tempat ilham daripada malaikat dan tempat waswas bagi syaitan, lagi tempat berperang akal dan hawa nafsu, maka akal itu menyeru ia kepada kebajikan dan hawa nafsu menyeru ia kepada kejahatan, maka sayugia bahawa tiada dilalaikan daripadanya tambahan bagi kesalahan jantung itu lebih besar” (hal. 22).

Kaitan puasa dengan takwa

Syeikh Abdul Qadir Abdul Mutalib ada menerangkan mengenai beberapa perkara yang boleh membawa mudarat bagi hati iaitu diantaranya:

  1. Bahawasanya banyak makan itu sebab bagi keras hati
  2. Banyak makan juga membangkitkan segala anggota pada yang sia-sia dan kejahatan
  3. Banyak makan membinasakan kecerdikan dan kepintaran dan sebab kepada sedikit faham dan pengetahuan
  4. Banyak makan sebab bagi sedikit ibadat kerana malas dan mengantuk
  5. Banyak makan sebab bagi ketiadaan merasai kelazatan beribadah

anatomi-tubuhJika mengikut anatomi tubuh manusia, kedudukan hati (jantung) adalah disebelah kiri dada dan dibawahnya adalah perut sila lihat rajah ‘Human Anatomy’. Apabila perut dipenuhi dengan makanan, maka akan menolak kedudukan jantung yang berada diatasnya. Sama ada kita sedar atau tidak, apabila kita makan melebihi dari had yang sepatutnya jantung kita akan mengepam lebih cepat dari biasa. Apabila jantung telah dihimpit oleh perut maka jantung sudah berada dalam situasi yang kurang selesa. Maka fungsinya pun juga turut terganggu. Apatah lagi dari sudut kerohaniannya.

Maka benarlah apa yang dikupaskan oleh ulama mengenai perihal hati (jantung) ia adalah tempat terbitnya sifat-sifat kepujian. Maka apabila kedudukannya sudah terganggu, sudah barang tentu jantung berada dalam keadaan yang kurang selesa dan tidak dapat berfungsi dengan sepatutnya maka akan menjejaskan fungsinya yang menjadi tempat terbitnya sifat-sifat kepujian. Apabila sifat-sifat kepujian tidak terzahir maka akan diganti pula dengan sifat-sifat terkeji seperti mana yang telah diterangkan diatas akibat perut yang dipenuhi dengan makanan. Rasulullah menyarankan agar perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi udara. Ini bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada hati untuk berfungsi dengan sebaik-baiknya.

Benarlah apa yang di firmankan oleh Allah SWT dengan berpuasa dapat meningkatkan darjat seseorang kepada maqam TAKWA.

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab, “Wahai Ubai, tahukah kamu apakah itu takwa?”. Ubai menjawab dengan pertanyaan kepada Saidina Umar, “Wahai Umar apakah yang akan kamu lakukan jika kamu melalui jalan yang banyak duri?”. Jawab Umar, “akanku angkat kainku dan berhati-hati melaluinya supaya tidak terkena duri-duri itu.” Balas Ubai  “Itulah takwa.”.

Istimewanya ramadhan Allah belenggu segala syaitan dan ditundukkan nafsu dengan jalan berpuasa supaya memudahkan kita untuk membina sifat-sifat kepujian yang dengannya kita akan mencapai darjat takwa. Mudah-mudahan, Allah akan angkat darjat kemuliaan kita seperti firmannya:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu.” (al Hujurat : 13)

Wallahuklam

Nak kahwin lagi boleh?

Nak kahwin lagi boleh?

“Aku nak kahwin lagilah San.”

“Hah kau nak kahwin lagi? Apa yang tidak kena dengan bini kau sekarang Din?”

“Tiada apa-apa yang kurang pun ok jer, tapi aku dah berkenan sorang budak perempuan lah San.”

“Budak mana pulak?”

“Aku kenal dalam internet aku dah jumpa budaknya, terus terang aku katakan yang aku dah suka sangat dengan budak perempuan ni.”

“Fikir banyak kali Din, tak kesian dekat bini dan anak-anak kau?”

“Kenapa San, salahkah aku nak berbini lagi, aku mampu.”

“Tak salah, cuma banyak sudut kau nak kena fikirkan. Yelah, keputusan nak kahwin lagi ni bukannya keputusan kecil. Ini soal hati dan perasaan.”

“Hati dan perasaan? Hati dan perasaan siapa, bini aku?“

“Ha’ah.”

“Sepatutnya bini aku tahu, agama kita membenarkan lelaki berkahwin empat. Benda halal bukan haram dan bukannya aku buat maksiat, sepatutnya dia rasa bersyukur aku mengambil keputusan berkahwin lagi. Kalau aku buat yang tidak elok kan ke lagi haru.”

“Ye betul, aku tidak nafikan soal tu dan aku rasa bini engkau pun tahu tentang perkara ni. Memang kita orang lelaki dibolehkan mengahwini lebih daripada seorang. Tapi mampukah kau berlaku adil?”

“San, engkaukan tahu apa pekerjaan aku. Dari segi kewangan insyaAllah, aku mampu beri bini baru aku seperti mana yang telah aku berikan pada bini aku sekarang. Rumah, kereta, dan macam-macam lagi, insyaAllah tidak pula aku akan abaikan bini yang sekarang. Aku memang mampu sangat-sangat, aku tak fikir aku tidak boleh berlaku adil”

“Jangan silap Din, adil bukan dipandang dari sudut kewangan saja. Tapi dari sudut perasaannya.”

“Perasaannya? Kenapa pula, aku masih sayangkan bini aku. Bukan bermakna aku kahwin lagi aku sudah tidak sayangkan dia.”

“Baiklah, aku nak tanya engkau Din. Engkau dah beritahu hasrat kau nak berbini lagi dengan bini kau?”

“Sudah.”

“Apa reaksinya?”

“Tidak bersetuju.”

“Agak-agak engkaulah, jika kau tetap teruskan hasrat kau untuk berkahwin lagi bagaimana agaknya perasaan sayang dia terhadap engkau selepas tu?”

“Emm… entahlah.”

“Agaknyalah dia sayang lagi tak dekat engkau.”

“Entahlah san. Mungkin berkurang sayangnya pada aku sebab tindakan aku tu”

“Dan mungkin bertukar benci. Itu yang aku maksudkan tadi Din soal hati dan perasaan. Bila dia sudah mula merasa benci atau tidak suka dengan tindakan kau, adakah engkau dapat menyayangi dia seperti mana engkau berkahwin dengan dia masa mula-mula dulu?”

“Emm… yelah, nak sayang macamana kalau orang dah benci. Tapi sepatutnya dia harus faham naluri seorang lelaki.”

“Kenapa? Kerana layanannya terhadap engkau tidak seperti baru-baru kahwin dulu? Aku rasa baik engkau cuba faham dia dulu sebelum engkau nak dia faham engkau.”

“Inilah perkara yang aku nak engkau fikir dan renungkan. Sepatutnya kau memikirkan perasaan bini engkau juga, kerana bini engkau yang sekarang ini terlalu banyak pengorbanannya, pengorbanannya terhadap keluarga yang terbina atas dasar kasih sayang. Dan juga pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan demi membina sebuah keluarga. Dan lihatlah pada kesetiaannya yang tak pernah pudar. Dia tidak pernah berkira tentang penat lelahnya dalam menguruskan rumahtangga dan melayani engkau… Ya semuanya itu kerana kasih sayang Din. Kasih kepada engkau dan keluarga yang telah terbina.”

“Dapat tak engkau bayangkan perasaannya setelah mengetahui engkau hendak berbini lagi? Seolah-olah pengorbanannya yang dibina atas dasar kasih sayang telah hancur dan sia-sia. Bagaimana pula suasana keluarga kau yang bakal engkau lalui selepas engkau berbini lagi. Bagaimana pandangan dan kasih sayang anak-anak engkau terhadap engkau pula nanti. Lainlah kalau engkau didik mereka dengan mendalam tentang kefahaman Islam dan cara hidup yang betul-betul ‘islamic’ mungkin mereka boleh menerima kehadiran ibu baru mereka. Aku bimbang suasana kasih sayang kekeluargaan yang telah terbina akan bertukar menjadi suram, dan ditakuti persepsi anak-anak engkau terhadap engkau akan berubah. Apakah itu yang engkau mahukan Din? Mampukah engkau menyayangi mereka dalam keadaan mereka seperti itu, atau kasih sayang mereka pudar kerana menganggap engkau seorang yang tidak bertanggungjawab kerana menyakiti hati ibunya? Ketika itu dapatkah lagi engkau berlaku adil dalam memberikan kasih sayang? Dan mungkin juga kasih sayang engkau akan beralih arah kepada bini yang barukan? Sudahnya penceraian sebagai jawapan.”

“Engkau ni San, buat aku rasa serba salah pula.”

“Bukan begitu Din, seperti yang aku katakan tadi ini soal hati dan perasaan. Jika isteri engkau dapat memahami dan menghayati hukum poligami tidak mengapa. Cuba engkau tengok sendiri, dia pun tidak bersetuju atas keinginan engkau nak berkahwin lagi. Disitu telah menunjukkan bahawa dia belum dapat menghayati dan memahami dengan sepenuhnya tentang poligami tu.”

“Aku rasa Din, baik engkau tumpukan pada kecantikan isteri engkau iaitu ‘kecantikan sejati’ isteri engkau selama ini.”

“Kecantikan sejati, kecantikan apa pula tu?”

“Ya kecantikan sejati, iaitu kecantikan hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga. Jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”